JOHOR BAHRU - Umno Johor menyeru seluruh ahli parti itu agar terus
menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden parti
walaupun beliau telah digugurkan dari barisan Kabinet.
Pengerusinya, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak
menghalang sekiranya terdapat mana-mana bahagian mengundang Muhyiddin
bagi merasmikan mesyuarat di peringkat bahagian masing-masing.
"Diharap semua pihak terus menghormatinya dan saya tiada halangan bagi
mana-mana bahagian di Johor yang telah dan ingin menjemput beliau untuk
merasmikan mesyuarat Umno di bahagian masing-masing.
"Saya juga berharap rakyat dan ahli-ahli Umno khususnya dari negeri ini
dapat bersabar dan melalui saat-saat ini dengan kekuatan. Semoga Allah
memberi kita semua kekuatan untuk menemui kebenaran," katanya dalam satu
kenyataan.
Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata, Umno Johor menyokong
rombakan barisan Kabinet dan ketetapan ke atas Muhyiddin sekiranya
tindakan itu dapat memberi kekuatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak menyelesaikan masalah khususnya berkaitan 1MDB.
"Ketika lawatan Perdana Menteri ke Johor pada 15 Mei lalu, Perhubungan
Umno Johor telah membuat keputusan bahawa beliau perlu diberi kekuatan
untuk menyelesaikan segala isu dan masalah khususnya berkaitan 1MDB.
"Oleh itu, jika soal untuk mempunyai kekuatan itu termasuk rombakan
barisan kabinet dan terpaksa menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita
menerima ketetapan itu, lebih-lebih lagi kita sedar ia adalah hak dan
budi bicara Perdana Menteri," katanya.
Beliau turut berharap agar barisan kabinet yang baru dibentuk mampu
menyelesaikan masalah yang dihadapi negara seiring dengan keyakinan
Perdana Menteri untuk menyelesaikannya mengikut kesesuaian masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan