MALAYSIAKINI
Pasukan petugas khas mengenai isu 1MDB yang juga menyiasat dakwaan RM2.6
bilion didepositkan ke akaun bank peribadi perdana menteri, digesa
menyiasat dan mengambil keterangan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu siasatan.
Ini perlu dilakukan kerana Muhyiddin nampaknya mempunyai maklumat
mengenai dana yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank peribadi
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, kata aktivis Umno
Shahbudin Husin dalam posting blognya hari ini.
Ini ekoran tersebarnya video bocor yang menunjukkan Muhyiddin
memberitahu rakan-rakannya bahawa beliau telah bersemuka dengan Najib
mengenai perkara itu dan mendakwa perdana menteri mengakui wang itu dari
Timur Tengah dan didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya.
Dengan itu, kata Shahbudin, bukan saja Muhyiddin perlu disiasat dan
diambil keterangan dengan segera oleh pasukan petugas khas yang sedang
menyiasat isu wang RM2.6 bilion itu, malah juga Najib yang dikaitkan
oleh bekas timbalan perdana menteri itu.
"Tiada alasan lagi untuk berlengah daripada menyiasat dan mengambil
keterangan kedua-dua mereka kerana ia sudah menjadi perbualan yang
merata ketika ini," kata Shahbudin dalam blognya.
Selasa lalu, Muhyiddin digugurkan dari jawatan timbalan perdana menteri
dalam rombakan kabinet dan ini dikaitkan dengan tindakannya
mempersoalkan pengendalian isu 1MDB oleh Najib.
Pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB, dianggotai oleh pasukan polis,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara, dengan aspek
perundangannya diselaraskan oleh Jabatan Peguam Negara.
Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan
perkhidmatannya atas sebab kesihatan pada hari yang sama dengan rombakan
kabinet dan digantikan dengan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri
Mohamed Apandi Ali.
Shahbudin berkata pasukan petugas khas itu juga perlu mengambil
kenyataan Gani sama ada dia memiliki sebarang bukti sebelum
perkhidmatannya ditamatkan.
Bagaimanapun, beliau berkata pasukan petugas khas itu seolah-olah "senyap" sejak Gani ditamatkan perkhidmatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan