MALAYSIAKINI
Harga minimum rokok dinaikkan daripada RM7 kepada RM9 sekotak bermula
Sabtu ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini.
Beliau berkata perkara itu diputuskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa
Pemandu Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau di Putrajaya hari ini.
"Harga minimum ini akan dinaikkan kepada RM10 mulai 1 Ogos 2016,"
katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di
kementeriannya.
Beliau turut mengumumkan dua peraturan baru melibatkan kawasan zon
larangan merokok, melibatkan tempat awam dan tempat makan berhawa
dingin.
Dr Subramaniam berkata bermula 1 Januari tahun hadapan, taman awam
kecuali tempat letak kereta terbuka akan diwartakan sebagai tempat
dilarang merokok.
"Malah, beberapa kawasan tumpuan awam seperti tapak perkhemahan, menara
tinjau dan laluan kanopi (jambatan gantung) di 35 Taman Negara juga akan
diwartakan sebagai tempat dilarang merokok," katanya.
Selain itu, Dr Subramaniam berkata keseluruhan tempat makan berhawa
dingin juga telah diisytiharkan sebagai tempat dilarang merokok.
"Kalau dahulu, kita membenarkan satu pertiga daripada tempat makan
berhawa dingin di bawah Peraturan 21 sebagai tempat merokok. Sekarang ia
dimansuhkan," katanya.
"Penguatkuasaan larangan merokok di taman awam dan Taman Negara akan
dijalankan oleh renjer hutan dan pihak berkuasa terlibat dan mereka akan
diberikan kuasa untuk menguatkuasakan warta ini," katanya lagi.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan