MALAYSIAKINI
Haruskah Umno memecat presidennya, Datuk Seri Najib Razak atau timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Soalan ini dibangkitkan sejak Mei lalu, selepas Muhyiddin berkongsi kebimbangannya bersama pemimpin Umno dalam satu pertemuan tertutup di Janda Baik, Pahang.
Antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah naib presiden Umno ketika
itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan anggota majlis tertinggi, Datuk
Ahmad Maslan.
Dalam video itu, Ahmad Zahid ketawa besar apabila Muhyiddin menyebut
mengenai pemimpin Umno yang “tunjuk tahu tapi tidak tahu” dan “macam
pandai tapi tak pandai”.
LIHAT VIDEO DI SINI
Para hadirin juga ketawa berdekah-dekah tetapi Ahmad Maslan hanya mampu
tunduk dan tersenyum simpul sambil meneguk air botol apabila Muhyiddin
berkata demikian.
Namun apapun cerita di sebaliknya, Ahmad Maslan dan Ahmad Zahid masih
berada dalam kabinet. Lebih untung, Ahmad Zahid, yang kini menggantikan
Muhyiddin di jawatan timbalan perdana menteri.
Ahmad Maslan, MP Pontian itu pula menjadi timbalan kepada Datuk Seri
Mustapa Mohamed di kementerian perdagangan antarabangsa dan industri
selepas serangan hendap Najib, Selasa lalu ke atas Muhyiddin.
Muhyiddin yang 'lebih tahu'
Antara perkara yang disebut oleh Muhyiddin selepas digugurkan dari
Kabinet, beliau “lebih tahu sedikit” mengenai 1MDB berbanding orang
lain.
Sedikit demi sedikit, kita mendapat pembayangnya. Semalam, bocor lagi
satu video yang menunjukkan Muhyiddin berkongsi mengenai perbualannya
dengan Najib.
Dalam video itu, Muhyiddin berkata beliau antara lainnya bertanya kepada
PM, mengapa wang RM2.6 bilion itu masuk ke dalam akaun peribadi Najib.
LIHAT VIDEO DI SINI
Muhyiddin tidak perlu menunggu lama jika beliau mahu menafikan perkara
itu. Rumahnya di Bukit Damansara tidak putus-putus dihurung para
wartawan hingga ke hari ini.
Tidakkah Umno cukup hairan jika presiden mereka memiliki wang sebanyak itu dalam akaun peribadi? Bagi salah seorang pemikirnya, Tun Faisal Ismail Aziz, perkara itu seolah-olah tidak ada apa-apa masalah.
"Duit yang masuk ke dalam akaun peribadi, itu hak dan rahsia peribadi
individu yang tidak perlu diisytiharkan kepada orang ramai,” katanya.
Maka, kita boleh melihat dua aliran dalam Umno. Yang pertama, selari
dengan pandangan Tun Faisal, yang juga penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas.
Aliran kedua pula akan bersolidariti dan simpati dengan Muhyiddin.
Mereka pastinya melihat ada sesuatu perkara yang tidak kena apabila
seorang PM boleh memiliki wang sebanyak itu dalam akaun peribadi.
Tersungkur di Putrajaya
Lebih tidak kena, Muhyiddin hilang jawatannya selepas mempersoalkan perkara itu.
Mengulas dakwaan mengenai wang dalam akaunnya, seperti dilapor The Wall Street Journal, Najib sekadar berkata beliau tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri.
Tetapi, tidak kiralah bagaimana wang itu dibelanjakan. Sekiranya benar
wang itu masuk ke akaun Najib dan dibelanjakan, perkara itu sudah cukup
untuk menimbulkan persoalan.
Umno tidak perlu menunggu sehingga habis siasatan sebelum bertindak ke atas pemimpin yang didakwa rasuah.
Parti itu mempunyai piawai dan pemikiran yang berbeza dengan badan siasatan kerajaan atau mahkamah.
Sebelum
ini, kita pernah melihat tokoh yang dijatuhkan hukuman di mahkamah
kerana kesalahan rasuah tetap terpilih ke jawatan utama dalam parti.
Maka tidak hairanlah sekiranya Najib boleh kekal sebagai presiden parti
walau mahkamah kelak mendapati perdana menteri itu terlibat dengan
rasuah.
Tapi Umno kali ini perlu bertindak lebih baik dari itu. Umno terpaksa
menunjukkan imej yang bersih untuk membolehkannya meraih kepercayaan
pengundi bagi mengekalkan kuasa dalam pilihan raya akan datang.
Kebetulan pula, Muhyiddin dalam kenyataannya selepas digugurkan dari
Kabinet menyatakan ikrar serupa – untuk mengembalikan keyakinan kepada
Umno.
Bibit-bibit penentangan ke atas Najib kini mula dilihat, namun akar umbi
Umno nampaknya sedang mengambil masa untuk pulih dari trauma dan
memahami perkara yang terjadi.
Tumpuan perlu diberikan kepada sentimen di kalangan Umno Johor
memandangkan Muhyiddin merupakan tokoh utama yang memacu sokongan
daripada negeri kelahiran parti itu.
Tidakkah orang Umno Johor tertanya-tanya, apakah perkara yang lebih diketahui oleh Muhyiddin?
Tidakkah mereka cukup hairan apabila maklumat itu menyebabkan Muhyiddin tersungkur di Putrajaya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan