Khamis, 30 Julai 2015

Gugur Muhyiddin: Najib belum selamat lagi?

Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin
Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin 
 
 
SHAH ALAM – Kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri didakwa masih belum 'selamat' lagi meskipun beliau sudah menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Kabinetnya.

Demikian kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin sambil menegaskan bahawa Najib hanya selamat jika beliau boleh memecat keahlian Muhyiddin dalam Umno seperti yang pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

“Adakah Najib sanggup menanggung risiko selepas ini? Muhyiddin ada kuasa dan keupayaan khususnya untuk berjumpa bahagian demi bahagian, cawangan demi cawangan terutamanya ketika musim pemilihan sekarang ini.

“Ataupun Najib terpaksa mengambil tindakan drastik seperti mana yang diambil oleh Dr Mahathir pada 1998 apabila dia bukan saja menggugurkan Anwar, tapi dia memecat Anwar daripada kedudukan Timbalan Presiden Umno,” katanya kepada Sinar Online.

Dalam pada itu, Shaharuddin selaku Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) juga berkata, karier politik Muhyiddin bergantung kepada keupayaannya sendiri, sama ada hanya berdiam diri setelah dipecat ataupun terus bergerak mengumpul kekuatan untuk menjatuhkan Najib.

“Semua bergantung kepada dia, sama ada dia nak melawan ataupun mengambil tindakan yang agak agresif, (ketika itu) Muhyiddin kena bersedia hadapi risiko-risiko yang bakal dihadapi seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

“Jika Muhyiddin tidak buat begitu atau tidak melawan, maknanya Najib dengan sendirinya akan bebas atau tiada ancaman di situ. Apa pun semuanya bergantung kepada kekuatan Muhyiddin dengan kekuatan orang-orang yang berada di belakangnya,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai peluang Muhyiddin untuk bertanding semula dengan tiket BN di kerusi Pagoh yang dimenangi pada PRU13 lalu, Shaharuddin bagaimanapun berkata, peluang Timbalan Presiden Umno itu agak tipis kerana Najib masih berkuasa.

“Peluang dia memang tak ada, selagi Najib ada di situ, melainkan kalau mereka berdamai, tapi saya tidak yakin pendamaian itu boleh berlaku.

“Bila Najib ambil tindakan sampai ke situ, maknanya sudah wujud perpecahan itu, tapi dia kena ingat, kalau Najib lakukan apa-apa kepada Muhyiddin pun, Muhyiddin ada kedudukannya sebagai ahli parlimen,” dakwanya.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata lagi, Muhyiddin masih mempunyai keupayaan untuk terus menyerang serta menjatuhkan Najib kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu sebagai ahli parlimen dengan membuat undi tidak percaya pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

“Dia (Muhyiddin) boleh buat beberapa muslihat dari segi politik, ditambah sekarang ini kedudukan Umno BN sekarang ini bukannya kuat sangat. Dia juga boleh buat rundingan dengan sesiapa saja yang dia nak untuk menjatuhkan Najib.

“Dia masih pegang jawatan kedua tertinggi dalam Umno dan dia masih ahli parlimen yang mempunyai kuasa. Sekarang dia mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Najib, antara kuasa itu undi tidak percaya di Parlimen,” katanya lagi.


Tiada ulasan: