Jumaat, 31 Julai 2015

#KitaLawan lancar siri jelajah, gerak anak muda ke Bersih 4.0

Oleh: Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR- Gerakan #KitaLawan akan memulakan siri jelajah besar-besaran bagi menggerakkan anak muda ke Himpunan Bersih 4.0 yang bakal diadakan 29 dan 30 ogos hadapan.

Bermula di Sabah pada 2 Ogos nanti, program yang dinamakan pentas #KitaLawan itu akan meneruskan siri jelajahnya ke Kuala Terengganu ada 7 Ogos.

Kitalawan

Beberapa pemimpin pembangkang seperti pengerusi Gerakan Harapan Baru, Mohammad Sabu, Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli serta pemimpin muda di kalangan aktivis dan pemimpin pelajar turut dijangka hadir.

“Malah kita jangka lebih ramai pemimpin akan hadir, kita buka kepada semua pemimpin rakyat.

“Kalau Tan Sri Muhyiddin dan Tun Mahathir mahu datang pun kita akan alu-alukan,” jelas Wakil Sekretariat #KitaLawan, Akmal Nasir dalam sidang akhbar hari ini.

Tidak terhenti setakat itu, siri jelajah tersebut akan diteruskan ke Machang di Kelantan dan Sarawak pada 8 Ogos, sementara 14 Ogos di Perak.

Menyifatkan gerakan ini sebagai satu gerakan habis-habisan dari anak muda untuk menyelamatkan negara, #KitaLawan turut akan mengadakan beberapa program lain menjelang himpunan BERSIH 4.0 nanti.

“Setiap minggu kita akan adakan kempen seperti Flashmob dan sebagainya untuk menaikkan semangat rakyat,”

“Anak muda akan terus memperjuangkan hak rakyat di negara ini,” tegasnya.

#KitaLawan berkata, mereka akan meneruskan siri jelajah tersebut ke Melaka dan Negeri Sembilan pada 16 Ogos, yang terakhir akan diadakan di Pasir Gudang dan Tebrau, Johor pada 22 Ogos nanti.

Tiada ulasan: