MSO
Kata Zahid Hamidi perlantikan beliau sebagai pengganti Timbalan
Perdana Menteri mengganti Muhyiddin Yassin bukan merupakan satu ghanimah
atau pun habuan. Itulah ulasan dan tanggapan Zahid sebaik beliau
diumumkan akan menjadi timbalan perdana menteri. Kenapa Zahid memilih
ayat dan perkataan itu? Ghanimah.
Dari segi psikologisnya apabila seseorang itu bercakap mengenai sesuatu
tajuk dan tema tertentu, bermakna dia bergulat dalam tajuk atau tema
tersebut. Kalau dia berada di luar tema dan tajuk itu dia tidak akan
bercakap mengenainya. Zahid akan memilih perkataan lain untuk
menyanjungi dirinya. Bolehlah difahami bila Zahid menggunakan tajuk dan
tema itu dia dibayangi tema dan tajuk itu.
Ghanimah, bererti harta yang diperolehi hasil dari
peperangan. Harta musuh yang dirampas. Ia halal untuk dimakan atau pun
diguna pakai, tetapi bukan berlebihan. Mereka yang berhak mendapat
ghanimah ialah mereka yang terlibat dengan peperangan dalam membela dan
mempertahankan sesuatu. Dalam konteks Islam pembelaan dan pertahanan
yang dimaksudkan ialah Islam.
Jadi apabila Zahid Hamidi diberi jawatan itu ia tidak dapat menafikan
jawatan itu adalah ghanimah kepadanya. Ia adalah habuan atas pembelaan
yang diberikan Najib kepadanya. Ini bermakna selama ini, sepanjang
krisis antara Najib dengan Muhyuddin, Zahid adalah pembela Najib nombor
satu. Zahid sebagai menteri tidak menilai tindakan Muhyiddin dari jalur
kebenaran tetapi mengutamakan hubungan personalnya dengan Najib.
Zahid mempunyai merit untuk berbuat demikian. Najib adalah bos sejak di
zaman Pemuda Umno lagi sekitar tahun 80an. Zahid juga menjadi setiausaha
politik kepada Najib didua kementerian. Bolehlah dianggap Zahid adalah
rakan atau boy yang dididik oleh Najib. Banyak cerita ceriti mengenai Zahid dan kesanggupan Zahid sepanjang menjadi boy kepada anak bangsawan bernama Najib.
Politik Zahid bervariasi sebenarnya. Kerencaman politiknya sudah
kelihatan dari awal lagi. Mereka yang rapat dengannya akan mengetahui
hal ini. Zahid seorang politikus persis chemeleon (Pak Ko). Dia pandai
dan bijak mengambil kesempatan. Zahid adalah orang yang mempunyai dua
kepala. Dia menahan lukah di dua pergentingan dalam satu masa.
Kerencaman politiknya macam gamat yang akan hidup dan bertangkup semula
kalau pun dikerat 18.
Orang seperti ini sebenarnya tidak boleh dijadikan ketua kerana ia akan
meninggal gelanggang. Jauh sekali untuk menjadi pilot kerana ia akan
terjun dahulu sebelum kapal terhempas. Sebelum ini pun Zahid sudah
melanggar undang-undang penerbangan? Terjun menyelamatkan diri dan
membiarkan penumpang berkecaian.
Dalam berketuakan Najib Razak dia juga berketuakan kepada Anwar Ibrahim.
Inilah cara permainan dan politik Zahid. Apabila ada orang-orang Najib
meragui akan keikhalasan Zahid kepada Najib, satu masa menyebabkan Zahid
membuat kenyataan bahawa dia bukan dari "Kabilah Anwar". Demikian sikap
dan fiil Zahid.
Bagaimana pun penafian itu terbatal apabila Anwar Ibrahim dipecat
daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Zahid nanar dan seakan hilang
punca seketika. Dia membuat istikharah politik seketika. Akhirnya dia
memilih untuk menjelma sekejap dalam kumpulan Anwar. Berada di rumah
Anwar untuk menzahirkan simpati kepada Anwar yang dipangil "Imam".
Kebetulan bermula pada hari Anwar dipecat 3 September 1998 saya sendiri
berada di rumah Anwar lebih 73 jam saya menyaksikan sendiri Zahid dan
isterinya Hamidah Khamis di rumah Anwar. Saya masih ingat Hamidah
menangis terisak-isak kerana sedih atas nasib yang menimpa Anwar.
Sesiapa ini mengenang peristiwa ini sila bacakan buku saya berjudul "Sumpah dan Airmata - Reformis Bangsa". Kempen sikit!
Beliau tidak bertahan lama untuk bersama Anwar bagi menggerakkan
reformasi menurunkan Dr Mahathir Mohamad. Zahidlah orang yang harap akan
memegang panji-panji Reformasi. Zahid tidak betah dengan perjuangan dan
cabaran yang terpaksa didepaninya. Tribulasi dihadapinya menguji
keimanan perjuangannya. Masalah peribadi dikatakan menjadi penyebab maka
beliau terpaksa berundur menyelamatkan diri.
Kerana desakan dan kepayahan itu Zahid mengambil keputusan drastik yang
mecemarkan maruah diri dan politiknya apabila membuat pengakuan dia
diperalatkan oleh Anwar Ibrahim. Pengakuan inilah adalah atas kehendak
dan tekanan Dr Mahathir menyebabkan dunia mula nampak akan "kong
kalikong" Zahid dalam politik dimana ianya sangat murah nilainya.
Latar itu memberi petunjuk jelas perlantikan Zahid sebagai Timbalan
Perdana Menteri oleh Najib Razak bukan berasaskan kapasiti dan material
sebenar sebagai seorang timbalan, tetapi ia dibuat sebagai bayaran
kepada kesetiaan Zahid terhadap Najib. Ia adalah upah (ghanimah) kepada
najib sebagai promotor mengangkat Rosmah pada setiap kali perhimpunan
agung Umno.
Jadi bagi saya jawatan itu adalah ghanimah buat Zahid dimana ia tidak
sepatutnya diterima kerana Zahid adalah seorang pejuang yang mempunyai
banyak wajah.
Cerita tentang Zahid akan ada lagi selepas ini. Catatan kenangan saya bersamanya di Makkah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan