Rabu, 29 Julai 2015

Muhyiddin: Sebagai Islam, saya tak boleh bohong

Muhyiddin
Sidang media bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abd Rahman di rumah kediamannya hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM oleh Sinar Harian
 
 
KUALA LUMPUR -  Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan tidak pernah menyesal mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meskipun tindakan itu menyebabkan beliau kehilangan jawatan nombor dua dalam negara.

Menurutnya, sebagai pemimpin yang menggalas tanggungjawab dan amanah, beliau tidak boleh pecah amanah.

"Sebagai ahli parti yang bertanggungjawab dan waktu itu saya menjadi ahli jemaah menteri, saya percaya sebagai Timbalan Perdana Menteri waktu itu dan masih Timbalan Presiden Umno, saya mempunyai tanggungjawab... amanah yang harus saya pikul dengan sebaik-baiknya.

"Jika saya tidak memikul tanggungjawab itu, bermakna saya pecah amanah, tidak bertanggungjawab untuk membantu parti, rakyat dan negara, maka saya akan gagal melaksanakan tugas saya," katanya pada sidang media, di kediamannya, hari ini.

Sehubungan itu, tegasnya, beliau menerima takdir itu dengan hati terbuka dan mengakui tidak pernah menyesal bertindak menegakkan kebenaran.

"Sebab itu apabila saya digugurkan, saya terimalah ini mungkin sudah ditakdirkan. Sebagai seorang Islam, kita tak boleh menolak semua ini. Saya terima dengan hati terbuka.

"Saya tidak pernah menyesal tentang apa yang telah berlaku terhadap diri saya hanya kerana saya menyatakan apa yang saya fikir adalah hak, apa yang saya fikir adalah benar," katanya.

Katanya, sebagai orang Islam, beliau tidak boleh berbohong bagi menutup kesalahan.

"Kerana sebagai seorang (ahli) politik yang lama berjuang, landasan perjuangan saya ialah apa yang dianggap oleh agama saya adalah sesuatu yang betul.

"Sebagai seorang Islam, saya tidak boleh berbohong. Sebab itu apabila ada sesuatu perkara yang saya fikir perlu saya berikan pandangan walaupun mungkin agak pedas didengar oleh pihak-pihak tertentu, itu harus saya laksanakan.

"Sebab itu bagi saya, apa yang saya telah lakukan itu perlu dibuat dan saya akan lakukan jika saya perlu memberikan penjelasan pada masa akan datang," katanya.

Muhyiddin semalam digugurkan dari senarai rombakan Kabinet dan tempatnya digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Tiada ulasan: