DALIA ISMAIL
Penggiat seni mahukan
individu yang dilantik sebagai pengerusi Finas dapat membela dan membawa
hala tuju yang lebih baik terhadap perkembangan seni dan perfileman
tanah air.
KUALA LUMPUR, Penggiat seni dan perfileman tanah air mahukan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru di kalangan individu yang lebih memahami hala tuju anak-anak seni tanah air berbanding mendahului kepentingan politik semata-mata.
Setiausaha Kehormat Persatuan Penulis
Kreatif Malaysia (CGM), Riduwan Rahmat berkata, persatuan tiada masalah
mana-mana individu daripada kementerian atau ahli politik diberikan
jawatan sebagai Pengerusi Finas.
Namun katanya, individu dilantik itu
kelak dapat membela dan membawa hala tuju yang lebih baik terhadap
perkembangan seni dan perfileman tanah air serta memahami keperluan
anak-anak seni.
“Kami tiada masalah siapa yang bakal
dilantik sebagai Pengerusi Finas yang baru. Sama ada individu itu kelak
datang dari kementerian atau di kalangan orang politik.
“Cuma apa yang saya kesalkan pendekatan
seorang pemimpin politik itu tidak sama berbanding individu yang
sememangnya terbabit secara langsung dalam industri seni dan perfileman
tanah air.
“Dulu kenapa dia terima jawatan sebagai
Pengerusi Finas kemudian apabila ditawarkan dengan kenaikan jawatan baru
dalam Kabinet, dia mahu melepaskan jawatan yang telah sedia untuk
dipikul sebelum ini?” ujarnya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Pengerusi Finas, Datuk Seri Azalina
Othman hari ini, mencadangkan jawatan yang bakal dilepaskannya diberikan
kepada pemimpin UMNO supaya selari dengan wawasan Barisan Nasional
(BN).
Beliau berkata, tiada isu timbul
sekiranya ahli politik sepertinya mempengerusikan perbadanan berkaitan
industri kreatif itu memandangkan ahli lembaga pengarah lain terdiri
daripada penggiat seni berpengalaman.
Bagi Presiden Persatuan Seniman Malaysia
(Seniman), Zed Zaidi pula berpandangan, sekiranya Finas diterajui di
kalangan pemimpin UMNO sekurang-kurangnya ia memberi akses mudah kepada
pengiat seni tanah air untuk menyampaikan buah fikiran dalam
memperjuangkan nasib mereka.
Namun begitu katanya, barisan kepimpinan Finas itu perlulah diberikan kepada persatuan-persatuan seni dan perfileman tanahair.
“Dulu masa kepimpinan Tan Sri Rais Yatim
memegang jawatan Pengerusi Finas, ahli lembaga pengarahnya adalah
terdiri daripada presiden-presiden beberapa persatuan yang menganggota
Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM).
“Namun selepas itu kami tidak lagi melihat mana-mana wakil persatuan di bawah GAFIM dilantik menjadi ahli lembaga pengarah.
“Saya harap jika pelantikan baru ini
dilakukan, mendahului individu yang terbabit secara langsung dalam
persatuan-persatuan yang sedia ada berbanding seorang anggota politik
atau pegawai kementerian,” ujarnya yang turut mengucapkan tahniah di
atas pelantikan Azalina menyertai semula kabinet Perdana Menteri.
Azalina yang juga Ahli Parlimen
Pengerang, Johor dilantik menerajui Finas berkuatkuasa 1 Jun lalu dan
perlu melepaskan jawatan berkenaan selepas diumumkan menganggotai
Kabinet kelmarin. Menerusi rombakan Kabinet yang baharu itu, beliau
dipertanggungjawabkan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana
Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan