SHAH ALAM: Penubuhan sebuah pakatan pembangkang baru yang bakal terdiri
daripada parti serpihan PAS iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB), DAP dan
PKR, tidak akan menjanjikan keuntungan kepada rakyat kerana ia dibentuk
atas dasar 'balas dendam', kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN)
Selangor, Datuk Satim Diman.
Katanya, pakatan pembangkang baru itu tidak akan mampu menjadi sebuah
pakatan yang baik pada masa akan datang kerana permuafakatan yang
dibentuk itu lebih bermatlamatkan kuasa politik berbanding kepentingan
rakyat.
(Penubuhan) GHB ini seolah membalas dendam kepada parti sendiri (PAS), pemimpin sendiri.
"Bila saling menuduh angkara satu sama lain, bermakna permuafakatan
mereka bukan permuafakatan yang ikhlas, semata-mata nak dapat kuasa,"
katanya ketika dihubungi Antarapos.
Bekas Ketua Pembangkang DUN Selangor itu menambah, beliau juga yakin
gabungan baru itu tidak akan mendapat sokongan daripada rakyat negeri
itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang susulan kemelut politik
berpanjangan membabitkan PAS, DAP dan PKR.
"Bila wujud Pakatan Baru, yang terdiri daripada GHB, PKR dan DAP...
jika ambil contoh di Selangor, sekarang mereka dapat 2/3.. dengan
perpecahan itu adakah mereka akan dapat 2/3 selepas ini? Mesti tak
dapat.. kalau tak dapat, bermakna ia pakatan yang rapuh. Maka adakah ia
satu pakatan yang baik pada masa akan datang," katanya yang juga bekas
ADUN Seri Serdang.
Krisis politik membabitkan ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang
itu semakin hangat, susulan tindakan kumpulan progresif PAS yang
mengisytiharkan mahu menubuhkan parti Islam baru menggantikan PAS bagi
membentuk sebuah pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan PKR.
Parti Islam baru yang masih belum didaftarkan itu iaitu GHB
dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, manakala
anggota jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Setiausaha Agung PAS,
Datuk Kamaruddin Jaafar; bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta
bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Terdahulu, kemelut membabitkan pakatan pembangkang itu semakin memburuk
apabila PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi bersama DAP selepas
beberapa siri tindakan biadap parti demokratik itu yang kerap kali
menghentam PAS dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Perkembangan kemelut tersebut secara tidak langsung menjadikan status
kerajaan negeri naungan pakatan rakyat sebelum ini khususnya Selangor,
menjadi tanda tanya ekoran terputusnya hubungan dua parti dalam pakatan
rakyat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan