Khamis, 2 Julai 2015

Perlukah DAP malu kerana mendedahkan skandal 1MDB, soal Tony Pua

Tony

Roketkini.com


PETALING JAYA: Ketakutan para pemimpin Barisan Nasional terhadap DAP dalam isu skandal 1MDB yang melibatkan RM42 bilion semakin ketara apabila mereka cuba membuang Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Komplot itu bermula apabila peguam UMNO, Tan Sri Mohammed Shafee Abdullah, mendesak Tony menarik diri daripada PAC lima hari lalu, yang mana seruannya disokong oleh pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen, Tan Sri Shahrir Samad.

Menurut Tony, semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula “mengamuk” mendesak beliau keluar dari PAC dengan menuduh Tony dan DAP memalukan PAC dan Parlimen.

Katanya, beliau tidak faham mengapa perlu rasa malu atas kenyataan-kenyataan yang dibuatnya terhadap skandal 1MDB tersebut.

“Saya juga tak tahu hujung pangkalnya mengapa parti saya, penyokong saya dan “sesiapa sahaja yang berkaitan” perlu rasa malu apabila mendedahkan penyalahgunaan dan salah pengurusan 1MDB,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, beliau yakin, rakyat Malaysia akan marah dan merasa jijik, serta kewibawaan PAC akan terjejas, jika beliau dipaksa keluar dari PAC oleh BN.

Menurutnya, yang patut merasa malu adalah para Menteri dan pemimpin BN yang secara membuta tuli menyokong usaha menyelamatkan 1MDB yang mempergunakan wang rakyat.

Malah, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, menjelaskan bahawa Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Halmi sendiri sudah memberi jaminan untuk hadir ke prosiding PAC nanti, dengan menyatakan 1MDB yakin sepenuhnya terhadap proses PAC.

“Jika Arul Kanda dan Datuk Shahril tidak takut untuk hadir ke prosiding PAC yang mana saya ada di dalamnya sebagai anggota jawatankuasa, mengapa tiba-tiba menteri takut dengan saya?” soal beliau.

Beliau juga terkejut dengan sikap Menteri yang seolah-olah tidak yakin dengan kebolehan dan keanggotaan lapan Ahli Parlimen BN di dalam PAC.

Dalam jawatankuasa itu, wakil-wakil BN adalah Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Datuk Chua Tee Yong (Labis), Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baru), Liang Teck Meng (Simpang Renggam), Datuk Madius Tangau (Tuaran), Hasbi Habibollah (Limbang) dan Datuk Wee Jeck Seng (Tanjung Piai). – Roketkini.com


Tiada ulasan: