KUALA LUMPUR, Penggiat seni dan perfileman tanah air mahukan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru di kalangan individu yang lebih memahami hala tuju anak-anak seni tanah air berbanding mendahului kepentingan politik semata-mata.


Setiausaha Kehormat Persatuan Penulis Kreatif Malaysia (CGM), Riduwan Rahmat berkata, persatuan tiada masalah mana-mana individu daripada kementerian atau ahli politik diberikan jawatan sebagai Pengerusi Finas.

Namun katanya, individu dilantik itu kelak dapat membela dan membawa hala tuju yang lebih baik terhadap perkembangan seni dan perfileman tanah air serta memahami keperluan anak-anak seni.

“Kami tiada masalah siapa yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Finas yang baru. Sama ada individu itu kelak datang dari kementerian atau di kalangan orang politik.

“Cuma apa yang saya kesalkan pendekatan seorang pemimpin politik itu tidak sama berbanding individu yang sememangnya terbabit secara langsung dalam industri seni dan perfileman tanah air.

“Dulu kenapa dia terima jawatan sebagai Pengerusi Finas kemudian apabila ditawarkan dengan kenaikan jawatan baru dalam Kabinet, dia mahu melepaskan jawatan yang telah sedia untuk dipikul sebelum ini?” ujarnya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Pengerusi Finas, Datuk Seri Azalina Othman hari ini, mencadangkan jawatan yang bakal dilepaskannya diberikan kepada pemimpin UMNO supaya selari dengan wawasan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tiada isu timbul sekiranya ahli politik sepertinya mempengerusikan perbadanan berkaitan industri kreatif itu memandangkan ahli lembaga pengarah lain terdiri daripada penggiat seni berpengalaman.

Bagi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi pula berpandangan, sekiranya Finas diterajui di kalangan pemimpin UMNO sekurang-kurangnya ia memberi akses mudah kepada pengiat seni tanah air untuk menyampaikan buah fikiran dalam memperjuangkan nasib mereka.

Namun begitu katanya, barisan kepimpinan Finas itu perlulah diberikan kepada persatuan-persatuan seni dan perfileman tanahair.

“Dulu masa kepimpinan Tan Sri Rais Yatim memegang jawatan Pengerusi Finas, ahli lembaga pengarahnya adalah terdiri daripada presiden-presiden beberapa persatuan yang menganggota Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM).

“Namun selepas itu kami tidak lagi melihat mana-mana wakil persatuan di bawah GAFIM dilantik menjadi ahli lembaga pengarah.

“Saya harap jika pelantikan baru ini dilakukan, mendahului individu yang terbabit secara langsung dalam persatuan-persatuan yang sedia ada berbanding seorang anggota politik atau pegawai kementerian,” ujarnya yang turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan Azalina menyertai semula kabinet Perdana Menteri.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Johor dilantik menerajui Finas berkuatkuasa 1 Jun lalu dan perlu melepaskan jawatan berkenaan selepas diumumkan menganggotai Kabinet kelmarin. Menerusi rombakan Kabinet yang baharu itu, beliau dipertanggungjawabkan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri.