SHAH ALAM: PAS mengkritik tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol
RON95 dan RON97 dan menyifatkan langkah berkenaan sebagai tidak wajar
setelah rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barangan setelah
pelaksanaan cukai GST, 1 April lalu.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, kerajaan sewajarnya
mengambil pendekatan yang lebih bijak untuk mengurangkan beban rakyat,
apatah lagi sambutan Aidilfitri akan berlangsung kira-kira dua minggu
saja lagi.
"Kerajaan Malaysia didesak untuk membatalkan kenaikan harga runcit
Petrol RON 95 sebanyak 10 sen seliter dan Petrol 97 sebanyak 20 sen
seliter serta merta.
"Tindakan menaikkannya adalah sangat tidak munasabah kerana berdasarkan
Crude Oil Brent, harga pasaran dunia dalam relatif rendah," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97 sebanyak 20 sen
seliter bagi Julai 2015 berkuat kuasa tengah malam tadi. Namun harga
diesel kekal pada RM2.05 seliter.
Ini menjadikan harga RON95 pada waktu kini RM 2.15 manakala RON97 adalah RM 2.55.
Nasrudin dalam pada itu juga membidas tindakan kerajaan yang
memaklumkan notis pemberitahuan mengenai perubahan harga minyak hanya
akan diberikan kepada pengusaha minyak, setiap hujun bulan.
"Kerajaan Malaysia juga dilihat cuba mengelirukan rakyat apabila
mengambil sikap lepas tangan dengan tidak lagi memberikan notis awal
kenaikan bahan api ini setiap hujung bulan.
"Ini sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk membela
nasib rakyat apatah lagi untuk mengambil langkah konstruktif
mengurangkan beban rakyat," ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Temerloh itu, tekanan kos sara hidup dan
peningkatan inflasi ini dijangka akan terus berlarutan dan ia akan terus
menekan golongan berpendapatan rendah.
"PAS mendesak sekali lagi supaya kerajaan membatalkan kenaikan ini
serta merta kerana tidak terdapat justifikasi kukuh," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan