PETALING JAYA: Syarikat penerbitan terawal negara, Berita Publishing Sdn Bhd menamatkan operasi empat majalahnya selepas mencatatkan jualan merudum terutama sejak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Menyifatkan GST sebagai pembunuh utama operasi syarikat itu, Pengarah Eksekutifnya, Juhaidi Yean Abdullah berkata, majalah tidak lagi dijual, sebaliknya ia dipulangkan peniaga dalam kuantiti besar sejak April lalu.
"Bayangkan daripada 30,000 naskhah majalah yang diterbitkan, jumlah yang dipulangkan kepada kami mencecah 28,000, ia sama sekali tidak menguntungkan.
"Tiga faktor utama yang menyebabkan syarikat terpaksa mengambil keputusan menamatkan penerbitan majalah adalah saingan yang semakin hebat termasuk pengiklanan yang merosot, kesukaran mengekalkan kakitangan dan paling membunuh adalah GST," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.
Antara syarikat penerbitan tertua negara, Berita Publishing adalah penerbit majalah popular seperti Malaysian Business, Jelita, Anjung Seri dan Madam Chair.
Sejak ditubuhkan pada 1973, syarikat berkenaan melalui proses transformasi apabila bertukar milik daripada anak syarikat The New Straits Times Press (M) Bhd kemudiannya berpindah milik kepada Alaf Positif Sdn Bhd.
Menamatkan operasi majalah syarikat itu pada Selasa, jelas Juhaidi, langkah kerajaan mengenakan GST kepada penerbitan majalah memerlukan peniaga menaik taraf mesin juruwang selewat-lewatnya Oktober ini.
Bagaimanapun, katanya, sejak April lalu, pihaknya mendapati ramai peniaga tidak lagi menjual majalah kerana ada yang masih belum mengubah sistem pembayaran supaya seiring dengan pelaksanaan sistem percukaian baharu itu.
"Pembeli tidak puas hati apabila jumlah yang dibayar tidak sama dengan catatan pada resit yang dikeluarkan, dan kerana bimbang dikenakan tindakan pekedai mengambil jalan mudah dengan meletakkan majalah di bahagian bawah, bukannya di rak untuk menarik perhatian ramai," katanya.
Mengenai kakitangan syarikat, kata Junaidi lagi, seramai 50 pekerja berpengalaman - ada sesetengahnya sehingga 40 tahun dalam bidang masing-masing termasuk pemasaran, pengedaran, editorial dan pentadbiran - terpaksa diberhentikan.
"Sebagai majikan, kami tetap menjalankan tanggungjawab untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara.
"Selain pampasan setimpal, syarikat juga mengeluarkan testimonial dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan tetap," katanya sambil menambah ketika ini syarikat itu hanya mengekalkan baki 10 pekerja sahaja.
Bagaimanapun, Junaidi menegaskan syarikat itu tidak akan ditutup, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada perniagaan penerbitan secara kontrak dan penerbitan lain.
Katanya, pihak syarikat bercadang menceburi bidang lain seperti perundingan, berdasarkan kepakaran serta pengalaman sedia ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan