MALAYSIAKINI
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk
Abdul Rashid Harun mengesahkan berlaku kes berbalas tembak antara
anggota keselamatan dengan suspek penjenayah rentas sempadan di kawasan
perairan Pulau Pom Pom, Semporna kelmarin.
Bagaimanapun katanya dalam kejadian jam 3 pagi itu, tiada anggota pasukan gerakan am (PGA) yang tercedera.
"Kira-kira jam 3 pagi, anggota satu daripada pos kawalan mendengar bunyi
enjin bot menghampiri pulau. Apabila anggota PGA menyuluh ke arah bot
berkenaan, pihak PGA mendengar dua das tembakan dilepaskan.
"Dalam keadaan itu, anggota PGA membalas semula tembakan, yang memaksa
suspek melarikan diri dalam gelap," katanya kepada Bernama.
Menurut Abdul Rashid ketika kejadian jarak antara bot suspek dengan pos kawalan PGA ialah antara 200 hingga 300 meter.
Abdul Rashid berkata dalam keadaan gelap itu jelas kelihatan percikan
daripada bot berkenaan ketika tembakan dilepaskan namun tidak mengenai
apa-apa.
"Kejadian berlaku di dalam kawasan perintah berkurung. Kami tidak pasti
berapa ramai suspek di dalam bot itu dan apa niat mereka," katanya.
Abdul Rashid berkata pemeriksaan oleh anggota keselamatan di lokasi pada
keesokan paginya tidak menemui apa-apa tanda bot itu terkena tembakan
anggota PGA.
Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan anggota
keselamatan sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi
sebarang bentuk ancaman daripada penjenayah rentas sempadan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan