Khamis, 30 Julai 2015

'Badan petugas perlu ambil keterangan bekas TPM'

MALAYSIAKINI


 


Pasukan petugas khas mengenai isu 1MDB yang juga menyiasat dakwaan RM2.6 bilion didepositkan ke akaun bank peribadi perdana menteri, digesa menyiasat dan mengambil keterangan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu siasatan.

Ini perlu dilakukan kerana Muhyiddin nampaknya mempunyai maklumat mengenai dana yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, kata aktivis Umno Shahbudin Husin dalam posting blognya hari ini.

Ini ekoran tersebarnya video bocor yang menunjukkan Muhyiddin memberitahu rakan-rakannya bahawa beliau telah bersemuka dengan Najib mengenai perkara itu dan mendakwa perdana menteri mengakui wang itu dari Timur Tengah dan didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Dengan itu, kata Shahbudin, bukan saja Muhyiddin perlu disiasat dan diambil keterangan dengan segera oleh pasukan petugas khas yang sedang menyiasat isu wang RM2.6 bilion itu, malah juga Najib yang dikaitkan oleh bekas timbalan perdana menteri itu.

"Tiada alasan lagi untuk berlengah daripada menyiasat dan mengambil keterangan kedua-dua mereka kerana ia sudah menjadi perbualan yang merata ketika ini," kata Shahbudin dalam blognya.

Selasa lalu, Muhyiddin digugurkan dari jawatan timbalan perdana menteri dalam rombakan kabinet dan ini dikaitkan dengan tindakannya mempersoalkan pengendalian isu 1MDB oleh Najib.

Pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB, dianggotai oleh pasukan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara, dengan aspek perundangannya diselaraskan oleh Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatannya atas sebab kesihatan pada hari yang sama dengan rombakan kabinet dan digantikan dengan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Shahbudin berkata pasukan petugas khas itu juga perlu mengambil kenyataan Gani sama ada dia memiliki sebarang bukti sebelum perkhidmatannya ditamatkan.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan petugas khas itu seolah-olah "senyap" sejak Gani ditamatkan perkhidmatannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.