Isnin, 17 Februari 2014

PRK Kajang: Dapatkah Zaid buat kejutan?

Kini Zaid muncul sebagai calon Bebas di PRK Kajang pada 23 Mac ini. Adakah beliau akan kehilangan wang pertaruhan seperti calon-calon Bebas dalam PRU tahun lepas?




PETALING JAYA: Hari penamaan calon PRK Kajang (11 Mac) akan berlangsung 22 hari lagi.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Januari lepas bagi memberi ruang kepada Anwar untuk bertanding.

Barisan Nasional (BN) belum mengumumkan siapa calonnya. Walaupun kerusi DUN Kajang milik MCA, Umno dikatakan turut mengintai kerusi yang ada 48 peratus pengundi Melayu itu.

Kerusi yang mempunyai 38,965 pengundi berdaftar mempunyai 48 peratus pengundi Melayu, 41 peratus pengundi Cina, 10 peratus pengundi India dan lain-lain kaum 1 peratus.

Pada PRU tahun lepas, seramai 87.9 peratus keluar mengundi dengan 541 undi rosak. Calon PKR, Lee Chin Cheh mendapat 19,571 undi manakala calon BN, Lee Ban Seng mendapat 12,747 undi, Calon Berjasa, Mohamad Ismail mendapat 1,014 undi. Manakala tiga orang calon Bebas, Mohd Iwan Jefrey Abdul Majid mendapat 249 undi, Ong Yan Foo mendapat 85 undi dan Mohd Khalid Kassim 83 undi. Lee menang dengan majoriti besar sebanyak 6,824 undi.

BN dijangka membuat pengumuman sama ada akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang minggu ini.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, beberapa mesyuarat penting bakal diadakan pada minggu ini dan ketetapan mengenai perkara itu dijangka dibuat dalam tempoh terdekat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, dari segi tempoh masa ia merupakan saat yang sesuai bagi pucuk kepemimpinan BN membuat satu ketetapan untuk memberikan satu kepastian muktamad kepada jentera parti di peringkat akar umbi yang kini berada dalam keadaan tidak menentu.

“Daripada maklum balas yang saya terima daripada Umno Bahagian Hulu Langat, mereka sudah bersedia menghadapi PRK ini. Mungkin dari segi pengesahan pucuk kepemimpinan BN , saya yakin akan datang dalam masa terdekat dan satu ketetapan akan dibuat pada minggu ini,” katanya.

Jika BN mengekalkan status quo, maka MCA akan meletakkan calon menentang calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah disahkan sebagai calon pada 28 Januari walaupun SPR belum bermesyuarat menentapkan tarikh penamaan calon dan tarikh pembuangan undi.

MCA dikatakan menyenaraikan lima nama sebagai calon iaitu Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun dan Ketua Pergerakan Pemuda MCA, Chong Sin Woon. Selain dua tokoh MCA Pusat itu, parti berkenaan turut menerima tiga lagi nama daripada MCA Bahagian Hulu Langat yang mahukan anak tempatan menjadi calon.

Mereka ialah Ketua Pemuda MCA Bahagian Hulu Langat, Pang Wai Hoong; Ketua Wanita MCA bahagian itu, Loh Lai Kuen dan bekas calon BN di kerusi DUN Kajang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Lee Ban Seng.

Politik liar

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim semalam mengumumkan secara rasmi akan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bulan depan.

Keputusan itu katanya, demi memastikan usaha menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan mengangkat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai kerajaan negeri tidak berjaya.

“Mandat dan kepercayaan rakyat terhadap Khalid jelas tidak boleh dikikis semata-mata kerana menjaga kepentingan Anwar dan jika Khalid perlu disingkir biarlah ia dilakukan melalui proses demokrasi seperti undi tidak percaya di dalam sidang DUN.

“Jadi atas pertimbangan membela prinsip politik yang sihat saya membuat keputusan untuk bertanding, dan lebih utama adalah untuk memastikan rancangan Anwar mahu menjadi menteri besar tidak berjaya,” katanya dalam sidang media.

Beliau juga menyifatkan perbuatan Anwar sebagai “satu tindakan politik liar yang perlu dihalang dan tidak wajar direstui pengundi di Kajang.”

Bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) itu juga bertekad menggunakan sesi kempen untuk menjelaskan kepada rakyat akan kepentingan mempertahankan kepimpinan yang bertanggungjawab, malah mendakwa jika menang, beliau mampu menstabilkan keadaan politik di Selangor serta membawa pembangunan ke Kajang.

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin dalam pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) yang boleh dijadikan landasan dalam merencana pembangunan di kawanan ini.

“Jadi, saya harap pengundi Kajang dapat membuat pilihan bijak dalam usaha menyelesaikan krisis Khalid-Azmin dan Anwar yang jelas memberi kesan kepada pembangunan negeri,” katanya.

Ditanya peluang untuk menang, Zaid berkata, peluangnya tetap ada jika ‘tiga pemimpin gergasi’ BN iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak turun berkempen menentangnya dalam pilihan raya itu.

Dapatkah Zaid menarik undi orang Melayu jika MCA bertanding mewakili BN? Tindakan Zaid menentang Anwar dikatakan sebagai calon Bebas yang heavy weight. Apatah lagi beliau yang juga bekas ahli parlimen Kota Bharu itu pernah bertanding di atas tiket PKR dalam PRK Hulu Selangor pada Oktober 2010.

Beliau menyertai PKR pada 13 Jun 2009 selepas dari dipecat dari Umno. Beliau adalah menteri undang-undang yang berprinsip. Apabila Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar menggunakan ISA, maka beliau meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan ISA itu.

Dua anak Ibrahim

Sewaktu berkempen dalam PRK Hulu Selangor, masa lampau beliau dicerca sebagai kaki botol, berjudi, memiliki kuda lumba dan hidup mewah. Lantas beliau mengakuinya ketika beliau masih dalam Umno.

Malahan beliau meminta para menteri Umno tidak hipokrit, malah patut mengaku pernah terlibat. Kuda bernama ‘Kelantan’ bernilai $NZ135,000.00 miliknya cukup bagus dan kini dipelihara diKota Bharu, Kelantan.

Tentang hartanya, beliau mencabar para menteri turut mengisytiharkan harta masing-masing dan dibuat perbandingan.

Adakah Umno akan menggunakan isu yang sama menyerang Zaid? Nampaknya BN kena bekerja keras kerana terpaksa menyerang dua anak Ibrahim, Anwar dan Zaid dalam PRK Kajang ini.

Pada 16 Oktober 2010, Zaid mengumumkan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti pada tahun tersebut. Akan tetapi, pada 8 November 2010, gara-gara dakwaan bahawa pemilihan parti dicemari kecacatan dan tidak telus, Zaid mengumumkan penarikan dirinya daripada pertandingan jawatan timbalan presiden sambil meletak semua jawatannya dalam parti.

Pada 14 November, Zaid secara rasminya mengumumkan pengunduran diri dari Parti Keadilan Rakyat. Perletakan jawatannya sebagai ahli PKR diterima oleh parti serta-merta pada 22 November  (walaupun menyerahkan notis supaya beliau berundur secara rasmi pada 16 Disember), dan beliau meluahkan hasrat untuk menubuhkan parti baru menjelang pilihan raya umum ke-13.

Pada 13 Disember 2010, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), sebuah parti pembangkang kecil yang bertapak di Kelantan, mengumumkan penyertaan Zaid Ibrahim sebagai ahli parti, dengan harapan agar beliau memimpin dan merombak AKIM supaya menjadi parti politik yang berdaya maju untuk pilihan raya umum ke-13.

Parti itu juga menjelaskan bahawa Zaid sudah menyerahkan permohonan keahliannya untuk menyertai AKIM pada November 2010 selepas PKR menerima perletakan jawatan beliau.

Pada mesyuarat am tahunan parti ini pada 15 Disember 2010, Zaid dilantik sebagai presiden baru parti, menggantikan Zakaria Salleh. Pihak AKIM juga mengumumkan hasratnya untuk menukar nama parti menjadi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

Zaid juga mengumumkan bahawa KITA akan menjadi sebuah parti demokratik berbilang kaum yang terbuka kepada semua kaum di Malaysia, biarpun saiznya masih kecil, namun ia bermatlamat untuk meninggalkan impak dalam arena politik Malaysia dengan memberikan tumpuan kepada matlamat jangka panjang. Tetapi beliau tidak kekal lama dalam KITA dan terus keluar dari parti itu.

Kini Zaid muncul sebagai calon Bebas di PRK Kajang pada 23 Mac ini. Adakah beliau akan kehilangan wang pertaruhan seperti calon-calon Bebas dalam PRU tahun lepas iaitu Mohd Iwan Jefrey Abdul Majid mendapat 249 undi, Ong Yan Foo mendapat 85 undi dan Mohd Khalid Kassim 83 undi? Sama-samalah kita tunggu 23 Mac.

Tiada ulasan: