KUALA LUMPUR: Dalam suasana Umno dan BN masih kalut bagi menghadapi pilihanraya kecil Dun Kajang iaitu sama ada BN perlu bertanding atau tidak dan sama ada calon Melayu atau Cina yang perlu diletakkan bertanding di kawasan itu, Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN berpegang kepada prinsip ‘lawan tetap lawan’ bagi menghadapi pilihanraya itu.
Pendirian dan sikap tegas Zahid itu tidak ada yang peliknya, malah itulah kewajaran yang sepatutnya bagi mana-mana juga pemimpin politik, tulis Shahbudin Husin.
“Tetapi yang menimbulkan sedikit pelik dan tanda-tanya ialah bila mana Zahid menggunakan ungkapan ‘lawan tetap lawan’ kerana semua orang tahu ungkapan itu begitu sinonim digunakan oleh Anwar Ibrahim sejak dipecat daripada Umno dan kerajaan pada 1998 lagi,” tulisnya di dalam blog http://shahbudindotcom.blogspot.com/.
Menurutnya, dalam kempen PRU 13, ungkapan itu menjadi lebih popular kerana Anwar hampr menyebutnya dalam setiap ceramahnya bagi menaikkan semangat dan menggelegakkan lagi darah perjuangan pengikut serta penyokongnya.
Baginya, apabila Zahid tiba-tiba menggunakan ungkapan itu, sedangkan beliau boleh memilih menggunakan ungkapan lain atau setidak-tidaknya mengulangi frasa-frasa kata yang kerap disebut oleh Najib, timbul tanda-tanya mengenai kecenderungan dan kekagumannya terhadap Anwar Ibrahim.
“Apakah beliau masih mengkagumi Anwar Ibrahim seperti dahulu?” tanya Shahbudin
Menurutnya lagi, menyanjung ungkapan ‘lawan tetap lawan’ yang dipinjamnya daripada Anwar Ibrahim sebagai menunjukkan nilai perjuangan yang seharusnya didukung oleh Umno dan BN sekarang, ia turut menunjukkan pengiktirafan dan adanya kebersamaan beliau dengan bekas ‘taukenya’, malah seperti menunjukkan darah perjuangan Anwar masih mengalir dalam tubuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan