Selasa, 4 Februari 2014

Ketandusan ketelusan & demokrasi dalam PKR

NATHANIEL TAN

 

 
 
 
ULASAN Isu Kajang merupakan titik perubahan untuk saya. Saya tidak mampu lagi mempertahankan perkara yang tidak boleh dipertahankan.

Perubahan pendirian sering kali dikaitkan dengan habuan. Saya berpendapat syak wasangka seperti ini biasanya memang wajar.

Selepas penulisan saya sebelum ini, beberapa orang bertanya mengenai untung yang saya perolehi ketika bekerja dengan kerajaan Selangor.

Dalam 3 tahun saya bekerja di sana, saya tidak kekurangan, dan pendapatan saya lebih kurang sama dengan rakan-rakan sekolah saya. Pertengahan tahun lepas, saya diberitahu perkhidmatan saya sudah tidak diperlukan.

Bekas majikan saya tidak memberitahu sebab-sebab perkhidmatan saya ditamatkan, dan saya juga tidak bertanya. Hari terakhir kerja saya adalah sekitar November 2013, dan saya tiada urusan dengan kerajaan Selangor sejak itu.

Sesiapa yang ingin melobi untuk kerja di kerajaan Selangor, saya cadangkan untuk bodek geng Anwar, bukan geng Khalid. Pada waktu ini, bodek Khalid tiada manfaatnya. Berdasarkan pengalaman saya, bodek Khalid pada bila-bila masa pun tiada manfaatnya.

Kebelakangan ini, muncul perkataan-perkataan seperti ‘taktik’, ‘strategi’, ‘Mahathirsime’, ‘ketegangan kaum dan agama’, ‘menguatkan Pakatan Rakyat’, dan sebagainya.

Saya akan menghuraikan perkara ini nanti, tetapi saya rasa isu yang paling penting tidak termaktub dalam senarai di atas.

Politik PKR diselubungi kegelapan

Pada hemah saya, masalah sebenarnya adalah pendekatan Anwar dan geng beliau dalam memimpin PKR, yang semakin ketandusan ketelusan, kebertanggungjawaban, dan prinsip-prinsip demokrasi.

Kita tanyakan soalan mudah: Bagaimanakah keputusan untuk melaksanakan pelan Kajang diputuskan?

Saya tidak tahu, anda?

Ramai yang buat spekulasi (termasuk saya), ramai yang menuduh ini dan itu, tetapi hakikatnya: tiada sesiapa di luar lingkaran (‘inner circle’) Anwar sendiri yang tahu.

Dalam PKR wujudnya Majlis Pimpinan Pusat yang terdiri daripada mereka yang kebanyakannya diundi secara demokratik, dan sebuah biro politik yang lebih kecil. Boleh kita katakan secara pasti bahawa semua anggota dua badan ini diberi peluang untuk memberi pandangan? Apakah wujudnya minit mesyuarat yang kita boleh rujuk?

Selain PKR, wujudnya pemimpin-pemimpin PAS dan DAP, serta anggota-anggota Dewan Negeri Selangor - semuanya yang dilantik secara demokratik sebagai wakil ahli-ahli parti serta rakyat. Beberapa antara mereka dirujuk dalam proses membuat keputusan besar ini yang melibatkan ketua kerajaan Selangor?

Adakah pandangan mana-mana wakil demokratik ini diminta? Ataupun ‘projek’ dilaksanakan dahulu baru seterusnya yang lainnya ‘dibuli’ untuk terima sahaja?

Pada hari Lee Chin Cheh letak jawatan sebagai ADUN Kajang, seorang pemimpin yang dari segi jawatan dikira antara sepuluh pemimpin tertinggi PKR berkata kepada saya: “I guess I’m always the last to know. Sigh.”

Kalau beliau pun tidak dimaklumkan, apa lagi kita di akar umbi?

Ini insiden terkini - dan pada saya yang akhirnya melampaui batasan - dalam budaya PKR yang ghairah berpolitik dalam gelap, serta menolak ketelusan dan demokrasi dan menggantinya dengan urusan bilik-bilik sulit yang hanya dihadiri pihak-pihak tertentu dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya.

Mungkin kita yang bodoh-bodoh menantikan demokrasi dari parti yang ketua umumnya tiada sebarang mandat demokratik pun.

Isu-isu ini bukan jadi tumpuan media, tetapi pada saya, implikasi budaya politik ini yang semakin berleluasa adalah faktor yang paling penting dalam seluruh krisis ini.

‘Rancangan lebih besar’

Sebelum ini, saya sehaluan dengan mereka yang percaya bahawa walaupun apa-apa masalah PKR, yang pentingnya adalah ‘bersatu’ menentang Umno.

Memang sedih apabila tiba harinya kita sedar bahawa mereka yang kita perjuangkan selama ini sanggup meniru budaya musuh demi mencapai matlamat politik sendiri.

Ramai antara yang kita semakin terdesak untuk meyingkirkan Umno - usaha yang tetap harus diperjuangkan.

Bagaimanapun, a) kita tidak wajar menggilakan matlamat tersebut sehingga melupakan prinsip, b) keterdesakan rakyat untuk menggantikan Umno tidak wajar diperalatkan oleh ahli-ahli politik lain.

Sudah terlalu lama sekarang, Anwar, PKR dan Pakatan merasai bahawa demi matlamat menumpaskan BN, semua cara dihalalkan.

Pada mereka, selagi tiada pilihan selain Pakatan dan Anwar (contohnya parti lain atau Khalid), rakyat akan terus sokong mereka walau apa pun dosa-dosa mereka.

Saya dulunya berfikir ada had pada pendekatan ini. Nampaknya tersilap.

Dua cerita

Kita mesti selalu berwaspada apabila kedengaran ahli politik kuat membuat kenyataan yang tidak masuk akal, sekaligus menganggap rakyat akan terima sahaja.

Dalam cerita The Life of Pi, dua orang Jepun diberi dua cerita dan ditanya: cerita mana yang anda lebih suka?

Soalannya bukan cerita mana yang anda fikirkan adalah benar. Soalannya adalah yang mana anda lebih suka?

Sering kali kita percaya apa yang kita mahu percaya, bukan apa yang disokong oleh fakta. Demokrasi kita tidak boleh matang selagi kita gagal menjadikan pertimbangan objektif sebagai tunjang pemikiran politik kita.

Cerita pertama

Terdapat dua cerita yang bakal membolehkan kita memahami motivasi sebenar projek Kajang.

Yang pertamanya telah dihuraikan dengan petah sekali oleh Rafizi Ramli. Kebijaksanaan dan kemahiran politik beliau jelas ternampak dalam cara beliau menulis pendapat-pendapat beliau.

Cerita ini menyatakan bahawa kita berada di ambang sebuah krisis politik, di mana geng-geng Mahathir kini bergerak untuk menyingkirkan Najib dan mewujudkan kembali ketegangan kaum dan agama yang serius.

Menurut cerita ini, demi menentang gerakan ini dan menakluk Putrajaya, Anwar mesti jadi ADUN Selangor.

Rafizi ingin kita percaya bahawa Pakatan mesti ada pilihan. Memilih antara Anwar atau Khalid sebagai MB kononnya akan jadi punca kestabilan.

Saya tidak berapa faham logik ini. Memandangkan proses yang perlu dilakukan untuk menukar MB dan pendirian PAS yang masih belum tentu, nampaknya projek Kajang sendiri yang bakal mewujudkan ketidakstabilan, yang sebelum ini hanya wujud akibat gerakan politik yang tak habis-habis oleh pemimpin parti.

Kita juga diberi amaran bahawa Selangor bakal menjadi seperti Kedah. Logik sekali lagi kurang kelihatan. Pakatan tewas di Kedah dalam PRU 13. Selangor pula bertambah lapan kerusi di bawah Khalid.

Ada pihak yang ingin kita percaya bahawa ada sebab-sebab lagi yang tidak boleh dibincangkan atau rahsia-rahsia yang kita tidak akan faham.

Kalau sebab-sebab sebenar berlakunya projek Kajang didedahkan, saya rasa bukannya rakyat tidak akan faham. Lebih mungkin rakyat tidak akan suka.

Cerita kedua

Kita boleh pertimbangkan juga cerita kedua. Dalam cerita ini, Khalid mentadbir kerajaan negeri dengan cara yang buat rakyat gembira, tetapi mengakibatkan politikus tidak gembira.

Tidak wajar kita buat dakwaan yang tiada bukti langsung. Dalam PRU 13, hanya tiga kerajaan negeri sahaja berjaya menambah jumlah kerusi dalam DUN. Negeri Sembilan (satu kerusi), Pulau Pinang (satu kerusi ) dan Selangor (lapan kerusi).

Ramai yang suka mendakwa tanpa bukti kukuh bahawa ini yang rakyat suka, itu yang rakyat tak suka. Adakah antara mereka mempunyai statistik yang lebih meyakinkan berkenaan prestasi atau ‘kegagalan’ Khalid?

Dalam tinjauan akhbar yang dibuat minggu lepas, 43 peratus responden kata Khalid harus terus jadi MB. Rafizi dapat 24 peratus, Anwar dapat 21 peratus.

Dalam cerita ini, faktor paling penting berkenaan Khalid adalah bahawa beliau tidak mudah dipengaruhi politik. Kalau tanya kepada musuh beliau, mereka akan kata ini adalah dalam isu dasar-dasar (tetapi saya tidak boleh fikirkan banyak dasar yang menjadi kontroversi). Kalau tanya pada penyokong beliau, mereka akan kata ini berkenaan keinginan pihak-pihak tertentu untuk jadikan Selangor sebagai ‘sumber’ yang lebih besar untuk aktiviti-aktiviti parti.

Adakah krisis ini semuanya hanya tentang duit?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu menilai secara objektif apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin terlibat. Kalau masuk akal, jawapannya tidak. Kalau tidak masuk akal, jawapannya mungkin ya.

Politik feudal dan DNA Umno

Ramai yang telah membandingkan PKR dengan Umno, tetapi jarang membuat dakwaan khusus. Dalam cara apakah PKR sama atau tidak sama dengan Umno?

Pada saya, PKR paling merupai Umno dari segi budaya feudal. Bos feudal yang paling klasik adalah Azmin Ali, manakala gaya feudal Anwar lebih cenderung kepada melagakan pemimpin bawahan antara satu sama lain, untuk memperkukuhkan kedudukan beliau sendiri.

Politik feudal tidak boleh wujud tanpa duit dan kuasa untuk diagihkan. MB Selangor ada banyak yang boleh diagihkan. Ketua Pembangkang agak kurang sedikit.

Dalam cerita kedua, mungkin projek Kajang didorong oleh keinginan untuk pemimpin tertentu terus relevan, dan menyuntik semangat kepada penyokong-penyokong yang semakin kehilangan keyakinan. Masalahnya adalah apabila matlamat ini dikejar tanpa mengira prinsip.

PAS dan DAP

Nampaknya pendirian PAS belum 100 peratus jelas. Ada yang kelihatan tidak senang dengan projek Kajang, manakala ada yang ‘dipujuk’ untuk ikut sahaja ‘demi kebaikan Pakatan’. Saya tidak berapa faham mengapa PAS selalu biarkan dirinya dibuli seperti ini.

Bagi DAP, nampaknya seperti mereka percayai Anwar boleh menangani isu Allah dengan lebih dinamik.

Kalau mereka rasakan Anwar boleh selesaikan masalah ini dengan cara yang lebih memuaskan dalam jangka masa panjang, saya rasa mereka akan cukup kecewa.

Cukuplah dengan politik ketakutan

Kita percaya apa yang kita ingin percaya. Dalam keinginan kita untuk melihat perubahan terus membara, bersama keinginan untuk wira-wira yang akan membawa perubahan ini, ia kadang kala mengakibatkan kita mula menyembah dewa-dewi yang bukan-bukan dengan membuta tuli.

Saya sedih melihat Lim Kit Siang menggunakan Mei 13 untuk menakut-nakutkan rakyat, selepas bertahun-tahun mengecam MCA kerana membuat perkara yang sama.

Sekiranya kita membaca tulisan Rafizi yang indah berseri dengan lebih teliti, akan ternampak politik ketakutan yang sama: kita mesti bertindak kerana ancaman Umno; kita mesti bertindak kerana tanpa Anwar, Selangor akan jatuh macam Kedah; kita mesti bertindak kerana hanya cahaya Anwarlah yang boleh menentang kegelapan yang akan datang.

Memang menakutkan. Tetapi, fakta-fakta nampaknya tidak menyokong kenyataan-kenyataan beliau.

Dalam pasar raya idea-idea yang bebas, setiap antara kita akan terpaksa memilih cerita mana yang paling masuk akal, dan kita akan terpaksa menerima sebarang akibat daripada pilihan kita. Teringat pepatah Inggeris: “We get the government we deserve.”

Perkembangan-perkembangan politik Malaysia terus mencabar, tetapi saya tidak seminit pun berputus asa atau putus harapan demi masa depan yang lebih cerah.

Yang perlu hanya mencari jalan baru, walau berapa sukar sekali pun.


NATHANIEL TAN aktivis dan penulis politik.

Tiada ulasan: