Khamis, 6 Februari 2014

Hampanya tiada penurunan tol tahun ini

DR RIDUAN MOHD NOR


Tidak ada berita yang menggemparkan dengan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tiada kenaikan tarif tol untuk tahun ini dan pengumuman itu tidak pula melegakan semua pihak. Jumlah pampasan yang dibayar kerajaan sebanyak RM 400 juta kepada syarikat-syarikat konsesi tol juga adalah berita biasa yang dihidangkan kepada rakyat, tiada yang sensasi.

Sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan meringankan beban  rakyat seboleh mungkin. Menjadi dasar kerajaan, duit kerajaan hasil cukai rakyat itulah yang seharusnya digunakan untuk membela kembali rakyat, agar jangan mereka terbeban lagi. Jika kerajaan menaikkan kadar tol dalam keadaan pampasan kepada syarikat tol juga sudah diberi, maka ia berhak menjadi berita sensasi negara.

 Cuma terkilannya, kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM 400 juta kepada syarikat konsesi tol ‘sebagai ganti rugi’ selepas semakan kadar tol dibekukan pada 2011 mengikut perjanjian konsesi. Ia bermaksud, dalam kata ‘ganti rugi’ tersebut syarikat konsesi tol masih mendapat keuntungan berlipat kali ganda, berjuta-juta ringgit dikumpulkan hasil tol manakala kerajaan pula ‘top up’ dengan ganti rugi kerana tidak mengikut perjanjian untuk menaikkan kadar tol tiga tahun lepas. Syarikat konsesi mendapat laba dan keuntungan dua kali, satu daripada rakyat yang membayar tol manakala satu lagi daripada pampasan kerajaan kepada mereka.

Pengumuman ini tidak melegakan rakyat kerana rakyat sudah tidak tertanggung dengan pelbagai bebanan kos hidup yang meninggi hasil dari kenaikan harga barangan terutama barang keperluan. Tidak menaikkan harga tol tidak bererti melapangkan dada rakyat yang sempit. Rakyat masih sukar bernafas, tercungap-cungap kelemasan namun belum sampai tahap nazak. Menaikkan harga tol mungkin akan menazakkan rakyat dan mungkin juga sesetengahnya akan ‘mati’.

Mengekalkan harga tol dalam keadaan sekarang tidak mengubah hidup rakyat, kerana kerajaan juga maklum rakyat sedia terhimpit dengan bebanan hidup. Yang rakyat mahukan bukannya dikekalkan harga tol dengan kadar sekarang, tetapi harga tol baharu yang diturunkan jika tidak pun dihapuskan terus seperti ikrar Pakatan Rakyat semasa kempen PRU ke 13 lalu. TPM nampaknya tidak berani mengambil langkah membela rakyat dengan mengurangkan harga tol. Idea ini seperti tidak terfikir dibenaknya kerana baginya langkah ini akan merugikan kerajaan serta syarikat konsesi tol, walaupun rakyat mendapat keuntungannya.

Malangnya inilah mentaliti pemimpin negara sekarang. Bagi mereka biarlah mereka dan kerajaan untung dan kaya raya, asalkan rakyat rugi dan merana. Lebih mengecewakan apabila mereka sanggup mengikut kehendak syarikat konsesi tol, sekalipun terpaksa membayar pampasan jika tidak menaikkan kadar tol mengikut tempoh yang ditetapkan, daripada mengikut kehendak dan kemampuan rakyat di negara ini. Besarnya nilai beberapa kerat tokoh korporat kaya raya itu di mata mereka daripada nilai berjuta rakyat di negara ini.

*Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Tiada ulasan: