Ahad, 16 Februari 2014

Aishah: Saya memang menyanyi tapi tidak sekerap dulu

WAWANCARA|SAIDAH HAIRAN 


PADA bahagian pertama wawancara dengan Harakahdaily, AISHAH atau nama penuhnya WAN AISHAH WAN ARIFFIN  menjelaskan sebab beliau menyertai PAS dan apakah pengalaman yang beliau hadapi ketika aktif dalam politik dan menyertai pilihan raya umum (PRU) ke-13 mewakili PAS di kawasan Parlimen Jempol. Aishah, penyanyi popular asal Negeri Sembilan dan berkecimpung dalam bidang nyanyian selama lebih dua setengah dekad kini bertekad menjadikan bidang dakwah dan politik sebagai sebahagian rutin harian hidupnya.

Ikuti bahagian kedua wawancaraAhli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Pusat dengan wakil HarakahdailySAIDAH HAIRAN di kediaman Aishah di Ampang Jaya, baru-baru ini.

Komen Aishah tentang kecenderungan artis untuk bertudung dan mengikuti program anjuran PAS?

Alhamdulilalh saya seronok sangat. Apabila saya tengok adik-adik  sudah berani buat program, ini satu peredaran yang baik. Saya bukan hendak suruh semua orang jadi ahli politik. Kita kena sedarkan setiap orang apa juga pekerjaan mesti berdasarkan Islam. Kalau hendak jadi ahli sukan jadilah yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Kalau kita lihat pemain bola yang gaji hebat di luar negara, cukup masa dia akan letak bola dan solat. Kita harap golongan artis walaupun dia menyanyi, dia menutup aurat dan mengamalkan akhlak yang baik. Dia boleh jadi role model yang baik. Jika kita tidak tunjuk role model yang baik nanti orang luar yang ambik tempat itu. Itu yang ada K-pop dan sebagainya.

Artis memang seronok mereka diberi ruang untuk memberi pandangan. Masa zaman saya dulu bila hendak pakai tudung semua orang takut. Kalau aku pakai tudung orang panggil lagi tak untuk buat show. Anak pula kecil-kecil lagi. Ini yang sering bermain dalam fikiran artis. 

Jadi bila seorang sudah buat dan tengok semua kehidupan (artis bertudung) macam biasa, maka mereka kata ini satu perkara yang baik. Bagi saya bukan lagi isu tudung atau tidak bertudung tetapi macam mana kita hendak ajak mereka memperhalusi fesyen tudung.

Bagaimana hendak menutup aurat. Kalau kita lihat orang pakai tudung memang macam-macam. Sebab akhir zaman ini Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita ada orang yang pakai tudung, tapi macam orang yang tidak pakai baju (bertelanjang).

Jadi kita kena tambahkan ilmu tentang cara hendak menutup aurat yang sebenarnya. Bila artis berfesyen menutup aurat jadi peminat itu akan tahu, cara mereka berpakaian itu sebenarnya mereka mendidik peminat. Ini yang kita hendak.

Kita hendak tarbiyah supaya mereka ada ilmu ada kesedaran dan dia buat secara tak langsung peminat akan ikut. Jadi kalau artis yang disayang digilai dia pakai tudung dengan baik, peminat akan ikut sama. Ini kuasa atau kelebihan golongan artis, yang patut kita gunakan.

Adakah Aishah akan kembali menyanyi?

 Saya memang menyanyi tapi tidak sekerap dulu. Saya masih mahu berada dalam industri muzik. Saya akan tengok program, sebab saya hendak jumpa golongan artis ini susah. Ini sangat penting. Saya tidak pernah kata saya tidak akan menyanyi lagi. Berkenaan suara (wanita) ada khilaf di situ.
Sambutan tahun baru di Dataran Shah Alam saya nyanyi. Jadi kalau ada khilaf kita kena hormati khilaf itu, Kita tidak boleh kata haram bila ada perbezaan pendapat.

Perkara ini sangat sentisitif. Sebagai (pengerusi) lajnah baru (Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Pusat) saya perlu berhati-hati membawa isu ini. Sebab takut nanti ada golongan yang hendak bersama dengan kita akan jadi takut. Jadi kita kena ajar ada perbezaan pandangan.

Apa perancangan program lajnah yang Aishah ketuai?

Kebanyakan wanita suka hiburan sesama wanita. Pertama saya hendak lakukan latihan taknikal untuk setiap wakil dari setiap negeri supaya mereka belajar macam mana hendak uruskan sistem audio.

Kita mesti ada kumpulan teknikal. Apa pun program kita buat kalau sistem audio tidak bagus seluruh program itu jadi tidak bagus. Ini yang kita kena mulakan dulu.

Saya hendak ‘memelayukan PAS’ (baca: menarik sokongan Melayu kepada PAS). Ini sangat penting untuk masa depan kita bagi menghadapi PRU ke-14. Kita ada Lajnah Tarbiyah tapi sebenarnya Lajnah Kesenian dan Kebudayaan boleh menjalankan peranan yang penting untuk mendekatkan masyarakat luar bandar dengan PAS. Ini supaya orang luar tidak takut dengan PAS. Sekarang ini masih ada orang Melayu yang takut dengan PAS dan kita kena buka minda mereka.

Kita kena ajak orang kampung bersama-sama mendekati PAS. Seni ini macam-macam antaranya pantun, syair, gurindam, sajak dan lakonan. Bagi permulaan dalam lajnah ini, saya hendak AJK lajnah kena bagus bab kesenian. Kita mesti bersedia bila-bila masa jika diperlukan sama ada untuk marhaban, baca puisi, sajak dan apa-apa sahaja. Sebab itu apabila kita hendak jadi ketua kita kena tahu bidang kita. Saya hendak AJK lajnah mempunyai kepakaran dan kena belajar ini penting.

Kita kena perkenalkan AJK kita ini satu pembaharuan untuk menunjukkan kita ada kefahaman. Sekurang-kurangnya bila kita ada keyakinan kita akan rasa perasaan orang yang ada di atas pentas itu macam mana. Kadang-kadang kita tahu komen tapi kita tak tahu macam mana persiapan untuk buat persembahan. Jadi bila AJK tahu macam mana hendak buat persembahan, maknanya kita ada AJK yang faham situasi itu.

Saya hendak seni itu lebih daripada itu. Saya minat seni kraftangan. Ini orang Melayu suka. Jadi untuk kita dekat dengan orang Melayu kita anjurkan pertandingan kraftangan, gubahan dan sebagainya.

Sasaran saya apabila kita sudah buat bermacam-macam program di Muktamar nanti, kita boleh buat persembahan. Kita boleh buat persembahan di malam perasmian Muktamar adalah salah satu acara yang paling penting untuk PAS, jadi kita kena bagi ruang dan peluang tunjukkan apa yang lajnah kita buat. 

Tiada ulasan: