Murid
dari Kampung Orang Asli Paya Besar selesa menggunakan pengangkutan lori
ke sekolah setiap hari memandangkan perkhidmatan ‘bas sekolah’ itu
telah beroperasi sejak 11 tahun lalu.
CHENOR - Jika dahulunya lori tiga tan milik seorang penduduk Kampung Orang Asli Paya Besar dekat sini digunakan untuk mengangkut buah kelapa sawit, namun kini tidak lagi apabila ia menjadi ‘bas sekolah’ kepada murid Orang Asli itu dan telah berkhidmat sejak 11 tahun lalu.
Pengangkutan yang diubahsuai di ruang belakang dengan tempat duduk untuk keselesaan hampir 30 murid itu berulang-alik seawal jam 6.30 pagi ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kertau dengan kos dibiayai sepenuhnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).
Pemandu kenderaan tersebut, Yusri Supoi, 21, berkata, walaupun jarak penempatan Orang Asli itu tidak sampai lima kilometer daripada sekolah berkenaan namun kepentingan ‘bas sekolah’ tersebut meringankan beban ibu bapa.
Menurutnya, selain mengurangkan kos dan masa menghantar serta mengambil anak masing-masing, ia secara tidak langsung menggalakkan murid Orang Asli hadir ke sekolah.
“Bapa saya mendapat kontrak ini sejak 11 tahun lalu sementara saya dan abang lain membantu sebagai pemandu lori.
“Dulu waktu sekolah rendah, saya menjadi penumpang tetapi kini saya masih ke sekolah sama setiap hari, cuma beza dulu penumpang, sekarang sudah jadi pemandu.
“Lori ini bergerak dalam kawasan kampung sahaja dan saya keluar mengambil murid di depan rumah mereka seawal jam 6.30 pagi dan menghantar kembali selepas tamat waktu sekolah pada 1.05 petang,” katanya.
Yusri berkata, ibu bapa mempunyai pilihan sama ada mahu membenarkan anak mereka menaiki lori berkenaan atau menghantar sendiri ke sekolah kerana tiada sebarang bayaran dikenakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan