Rabu, 8 Januari 2014

Tiga anggota polis antara diberkas dalam kes samun

 

 
 
Tiga anggota polis adalah antara lima yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes samun di sebuah rumah di Taman Impian dekat Kuantan malam tadi.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, anggota tersebut bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri.
  
Beliau berkata kelima-lima suspek yang berusia antara 19 hingga 37 tahun itu kini direman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
  
"Suspek telah mendatangi rumah mangsa kira-kira jam 10 malam ketika dia yang berusia 28 tahun dan empat yang lain sedang menonton televisyen.
  
"Tiga daripada suspek memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis yang kemudiannya bertindak menggeledah rumah mangsa dan dilaporkan turut membelasah mangsa.
  
"Suspek kemudiannya melarikan sebuah komputer riba dan dua buah jam tangan," katanya.
  
Mohd Zakaria berkata mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan tidak lama selepas itu kesemua suspek berjaya diberkas di kawasan berhampiran rumah mangsa.
  
Beliau berkata polis menemui semula barangan yang dilarikan itu.
  
Pihak polis turut menyiasat sama ada mereka juga terbabit dalam kes samun lain di sekitar Kuantan, katanya.- Bernama

Tiada ulasan: