Jumaat, 17 Januari 2014

Sekat laporan BBC petanda bermulanya sekatan internet, kata DAP

THE MALAYSIAN INSIDER

 


































DAP membidas pentadbiran Putrajaya yang menyekat kandungan laporan berita antarabangsa BBC, menyifatkannya petanda era sekatan internet akan kembali.

Ketua strategi media sosial DAP Yeo Bee Yin (gambar) berkata kontroversi tersebut menimbulkan tanda tanya pendirian kerajaan yang ingin memastikan kebebasan internet dan media sosial.

"Ia menghantar isyarat penting kepada Pakatan Rakyat tentang kejujuran Putrajaya dalam menghormati komitmen untuk tidak menyekat seperti termaktub dalam rang undang-undang jaminan seperti  yang dijanjikan dengan syarikat-syarikat Koridor Raya Multimedia," kata Yeo hari ini.

Yeo berkata, internet adalah satu-satunya medium yang dimiliki oleh Pakatan untuk berkempen, sekiranya disekat pastinya ia akan menggugat peluang mereka dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) selepas ini.

"Kami sangat bimbang Barisan Nasional akan bermain kotor dalam isu internet ini untuk menghadapi PRU14 yang lebih sengit," tegasnya lagi.

Meskipun kandungan berita BBC tersebut sudah boleh dilayari semula selepas kritikan orang ramai, Yeo masih mempertikaikan kejujuran Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Secara faktanya, TM tidak menafikan menyekat artikel tersebut dan kenyataannya ‘TM berhasrat untuk menegaskan sebarang isu tentang sekatan kandungan nasional perlu ditujukan kepada SKMM’ menunjukkan wujud arahan daripada atas," ujar Yeo lagi.

Yeo juga menggesa SKMM supaya tampil menjelaskan mengenai isu sebenar tentang kontroversi sekatan berita BBC tersebut.

Semalam, SKMM telah menafikan bahawa mereka terlibat dalam sekatan akses pengguna internet daripada melayari artikel mengenai kangkung yang disiarkan BBC.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini membuat kenyataan berkenaan harga kangkung yang turun dan meminta rakyat agar memuji kerajaan sehingga mencetuskan kontroversi.

Kenyataan beliau telah dimuat naik ke laman video YouTube dan mendapat tontonan ramai rakyat yang juga turut memerli beliau di laman media sosial.

Ekoran itu, laman berita antarabangsa BBC telah melaporkan tentang kejadian tersebut dengan tajuk "Berhati-hati apabila bercakap tentang kangkung" melalui BBC Trending.

Tiada ulasan: