Selasa, 21 Januari 2014

Pengusaha bas sekolah tersepit, mohon k'jaan tambah subsidi

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Rata-rata pengusaha bas sekolah melahirkan merasa tersepit dengan keadaan yang menimpa mereka antara beban kos yang terpaksa ditanggung dan rungutan oleh ibu bapa.

Seorang pengusaha bas sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Along berkata, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan tambang bas bermula sesi persekolahan awal tahun ini ekoran peningkatan kos operasi.

Menurutnya, tambang baru yang dikenakan kepada setiap pelajar adalah RM40 sebulan berbanding sebelum ini yang hanya RM35.

"Memang tidak dinafikan, ibu bapa merungut kata mahal. Saya faham sebab saya sendiri pun ada anak-anak sekolah.

"Tapi apa boleh buat. Saya juga terpaksa menanggung kos operasi yang meninggkat dari tahun-tahun sebelum ini ekoran harga diesel dan alat ganti meningkat," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Along berkata, pihak pengusaha bas sekolah sebelum ini pernah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung isu kenaikan tambang tersebut.

Namun rancangan itu ditangguhkan dahulu kerana ekoran bantahan dari pihak ibu bapa.

Tambah Along, apa yang diharapkan adalah pihak kerajaan sendiri membantu pengusaha bas sekolah sepertinya dengan menaikkan subsidi diesel bagi meringankan beban mereka.

"Dulu ketika harga diesel RM1.80 seliter, kami dapat subsidi beli dengan harga RM1.60 seliter.

"Namun selepas harga diesel naik 20 sen menjadi RM2 seliter lepas pilihan raya lalu, kami juga terpaksa beli dengan harga RM1.80 iaitu naik 20 sen dari sebelumnya," katanya sambil menambah kos bahan bakar sahaja bagi dua buah bas dan sebuah van miliknya adalah RM800 seminggu.

 "Kita sudah banyak kali mohon kepada kerajaan subaya subsidi ini dinaikkan supaya kita boleh 'cut cost' operasi dan menimbang untuk tidak menaikkan tambang pelajar.

"Tapi sehingga kini nampaknya tak ada jalan untuk kerajaan tunaikan permintaan kita itu," katanya dalam nada kesal.

Ujarnya lagi, sebagi pemandu bas sekolah, tugas mereka bukan sahaja mengambil dan menghantar pelajar, malah turut memikul amanah menjaga keselamatan pelajar berkenaan supaya selamat sampai ke sekolah dan pulang ke rumah juga dengan selamat.

Tiada ulasan: