Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seramai 10,000 penguatkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta Polis Diraja Malaysia menyertai operasi paling besar yang pernah dilakukan Imigresen itu.
Ahmad Zahid berkata selepas kerajaan memberi tempoh tiga bulan kepada majikan iaitu bermula 21 Oktober tahun lepas hingga semalam untuk mendaftarkan pekerja mereka di bawah PKPP, kini tiba masanya KDN bertegas terhadap mereka yang enggan melakukannya.
"Di Dalam mesyuarat pasukan Petugas khas, kita bersetuju bahawa PKPP tidak akan disambung kerana majikan telah diberikan tempoh waktu yang panjang.
"Kita memberi peluang kepada majikan kerana kasihan melihat mereka mendakwa ditipu oleh ejen tetapi mereka tetap melengahkan sehingga melanggar undang-undang dan kita tidak akan berkrompomi terhadap mereka," katanya pada sidang media semasa menyertai operasi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berhampiran Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, awal pagi Selasa.
Operasi yang melibatkan 700 penguatkuasa itu, turut disertai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.
Ahmad Zahid berkata operasi tersebut akan diadakan berterusan dan mereka yang ditangkap akan dihantar pulang dalam masa tujuh hari bagi mengelak kesesakan di pusat tahanan serta mengurangkan kos perbelanjaan.
"Terdapat 15 pusat tahanan imigresen di seluruh negara dan kita juga telah wartakan beberapa tempat untuk dijadikan pusat tahanan sementara," katanya.
PKPP dilaksanakan bagi menyelesaikan permohonan majikan yang tidak dapat memutihkan Pati diebabkan kes penipuan ejen/syarikat pengurus, mengurangkan jumlah Pati sedia ada, memastikan pematuhan undang-undang berkaitan dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
PATI yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal dengan kosnya ditanggung oleh pekerja, majikan atau kedutaan manakala majikan yang menggaji PATI itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan