Ahad, 5 Januari 2014

'K'jaan gagal bersuara isu demo depan gereja'

MALAYSIAKINI




Aktivis sosial Datuk Marina Mahathir menyelar pemimpin kerajaan yang menurutnya gagar bersuara apabila muncul golongan yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi di depan gereja sejak seminggu lalu.

Beliau merujuk kepada tindakan kumpulan pendesak Solidariti Ummah Klang yang menuntut agar golongan Kristian menurut larangan kerajaan yang menghalang penganut tersebut dari menggunakan kalimah 'Allah'.

Marina pada pagi ini hadir dalam perhimpunan di hadapan gereja Lady of Lourdes di Klang bersama kira-kira 40 orang yang kebanyakan penganut Islam, sebagai tanda solidariti dengan penganut Kristian.

Pada masa sama, kumpulan kira-kira 100 orang bersama Solidariti Ummah Klang berhimpun di satu kawasan padang berhampiran.

Marina berkata kerajaan enggan menghalang tindakan kumpulan konservatif tersebut yang mengambil pendirian yang bertentangan.

"Pemimpin kita tidak harus diam,” katanya yang mendakwa menerima banyak aduan berhubung sikap kerajaan dalam isu ini.

“Semua orang terkejut, bukan saya seorang. Semuanya bertanya, di mana pemimpin kita? Sebagai pemimpin yang hebat, dia sepatutnya berada di sini, bersama kita,” katanya tanpa menamakan mana-mana individu.

Ditanya sekiranya beliau merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata: ”Sesiapa saja. Dia sepatutnya ada di sini. Seorang pemimpin sepatutnya lebih baik dari kami.”

Tiada ulasan: