Nadzim Johan  
Nadzim Johan


SHAH ALAM - Tindakan memboikot barangan sebagai bantahan harga naik perlu dilakukan secara bersama dan serius supaya peniaga terlibat sedar akan kuasa yang dimiliki pengguna.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sekiranya perkara itu menjadi pilihan, semua pihak mesti ada jalinan kerjasama dan tidak dilakukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

“Boikot boleh, tapi kena buat betul-betul, berpakat dan jangan buat sekejap-sekejap sahaja.

“Kalau mahu buat sekalipun, perlu perancangan yang jelas supaya ia mencapai sasaran dan memberikan kesan selepas boikot,” katanya, semalam.

Menurutnya, sebelum memboikot sesuatu produk, pengguna perlu perancangan yang baik supaya tidak pula mendatangkan masalah kepada mereka.

“Kalau betul-betul mahu boikot dengan mengambil contoh ayam, jika pengguna boikot tidak beli ayam hanya untuk seminggu rasanya (daripada) pengeluar hingga peniaga akan mengalami kerugian.

“Sekurang-kurangnya mereka tahu akan hak pengguna yang tidak mahu lagi ditipu oleh peniaga dan orang tengah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga tidak boleh lepas tangan, sebaliknya menubuhkan satu suruhanjaya pemantau bagi mengelakkan pengguna dibebani kenaikan harga berganda akibat ditipu peniaga.

"Kerajaan perlu proaktif dengan menghalang kenaikan harga barang sebelum menjadi semakin parah. Selain itu, pengguna juga perlu merancang perbelanjaan mereka dan sering menyemak harga barangan,” katanya.