Harga ayam dijangka naik Zainordin menunjukkan ayam yang dijualnya pada harga RM7.80 sekilogram.


ALOR SETAR - Kebanyakan peniaga di Pasar Besar Alor Setar, di sini, menjangkakan berlaku kenaikan harga barangan mentah khususnya ayam menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Difahamkan, harga ayam pada minggu lalu dijual pada harga RM7.50 sekilogram, bagaimanapun ia kini naik kepada RM7.80 sekilogram.

Peniaga, Zainordin Zainol, 31, berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan terutama menjelang sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

“Ayam pada masa kini masih dijual dengan harga berpatutan. Walaupun harganya naik turun, tetapi ia tidaklah terlalu membebankan pengguna.

“Bagaimanapun, harga ayam mungkin naik antara 10 sen sehingga 20 sen lagi menjelang Tahun Baru Cina nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kenaikan harga tidak dapat dielakkan kerana berlaku permintaan yang terlalu tinggi daripada pengguna setiap musim perayaan.