Isnin, 13 Januari 2014
Gaji MB, speaker, timbalan, exco Selangor dipotong, kenaikan diteruskan, kata exco
Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor mengesahkan gaji menteri besar, speaker dan timbalan speaker serta exco akan dipotong dan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan untuk membantu rakyat negeri itu.
Ia dibuat selepas pentadbiran kerajaan negeri dikritik hebat kerana kenaikan terlalu mendadak. Namun, gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan dikekalkan.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad bagaimanapun berkata, kenaikan yang diputuskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tetap kekal.
"Kenaikan gaji masih kekal seperti yang diluluskan DUN bagaimanapun dipotong untuk dimasukkan ke tabung negeri bagi melaksanakan program kebajikan demi kesejahteraan rakyat Selangor," kata Iskandar yang dipetik dalam akhbar Sinar Harian hari ini.
Iskandar berkata, kadar pemotongan tersebut berbeza-beza tetapi kadarnya masih lagi belum dimuktamadkan.
"Peratusan memotong untuk setiap jawatan berkenaan adalah berbeza-beza," katanya.
Iskandar memberi alasan langkah untuk mengubah gaji baru perlu melalui proses rumit, oleh sebab itu kaedah pemotongan adalah jalannya.
"Kalau hendak ubah gaji kena pinda dalam DUN, ia terlalu rumit.
"Oleh itu, dimuktamadkan sebulat suara gaji menteri besar, speaker, timbalan speaker dan exco dipotong untuk disalurkan ke tabung kebajikan untuk tujuan kebajikan," katanya.
Beliau juga menafikan laporan gaji dibekukan seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini.
Persidangan DUN Selangor pada November lalu meluluskan kenaikan gaji untuk semua 56 Adun berkuatkuasa 1 Januari 2014, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.
Ia melanggar ranking perjawatan sebelum ini kerana biasanya gaji menteri besar paling mahal diikuti exco, speaker dan timbalan speaker.
Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.
Gaji menteri besar dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN (RM6,109.29 kepada RM22,500); timbalan speaker (RM3,327.50 kepada RM15,750) dan Adun (RM6,000 kepada RM11,250).
Bagaimanapun, langkah tersebut menerima kritikan hebat daripada pemimpin PR sendiri.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penasihat ekonomi negeri Selangor berkata, kenaikan gaji pemimpin tertinggi kerajaan dan Adun di Selangor terlalu tinggi dan dibuat secara mendadak.
Katanya, walaupun setuju dengan cadangan kenaikan gaji itu, beliau berpendapat kadar kenaikannya tidak munasabah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan