Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Bendahari Agung MIC
yang baru dilantik Datuk R. Ramanan mengembalikan RM5.5 juta kepada
pakar psikiatri Tan Sri Dr M. Mahadevan yang diterimanya secara menipu
daripada Kementerian Pertahanan ketika “membantu Dr Mahadevan untuk
mendapatkan balik suatu bayaran empat tahun lepas”.
Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong berkata
beliau bersetuju dengan peguam yang mewakili Dr Mahadevan bahawa Ramanan
melakukan salah nyata tipuan kepada plaintif dan menyebabkannya
memindahkan wang berkenaan ke dalam akaun peribadi defendan pada 19 Mei,
2010.
Lee juga memutuskan bahawa defendan gagal membuktikan, seperti yang
terkandung dalam kenyataan bela dirinya, bahawa wang itu adalah untuk
cadangan projek pembangunan bandar di Sungai Petani, Kedah, di atas
tanah milik Dr Mahadevan.
Ramanan diperintah mengembalikan wang itu dalam masa 14 hari mulai hari
ini, tetapi mahkamah meluluskan permohonannya bagi mendapatkan
penangguhan sementara perintah itu sementara menunggu permohonan yang
akan dikemukakannya Isnin depan.
Dr Mahadevan, 85, bekas ketua pakar psikiatri kerajaan dan pengasas Persatuan Psikiatri Malaysia, hadir di mahkamah hari ini.
Menurut dokumen mahkamah, plaintif memfailkan tuntutan berjumlah RM26.6
juta daripada Kementerian Pertahanan kerana menggunakan tanah kepunyaan
Dr Mahadevan sebagai lapang sasar dari 1968 hingga 1988.
Pada Mei 2010, defendan mengaku kepada plaintif bahawa beliau boleh
membantunya mendapatkan tuntutan bayaran berkenaan, dan untuk tujuan
itu, beliau memerlukan RM6.5 juta.
Kedua-dua pihak kemudian bersetuju jumlah itu dikurangkan kepada RM5.5 juta.
Dalam penyata tuntutannya, Dr Mahadevan memasukkan sepucuk surat
bertarikh April 2010 daripada Kementerian Pertahanan, yang ditunjukkan
kepadanya oleh defendan, kononnya yang meluluskan tuntutan itu. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan