Mazlan Aliman berkata, Felda telah memotong bajet tahunan kolej dari RM16 juta kepada RM5 juta.
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman menempelak Felda kerana memotong bajet kolej Felda dari RM16 juta setahun kepada hanya RM5 juta.
Pemimpin PAS Pusat itu menyindir Felda yang diterajui oleh Tan Sri Isa Samad tu.
“Beli hotel, apartmen, ladang dan berbagai pelaburan bernilai bilion ringgit dibuat dengan cepat, untuk pendidikan anak peneroka yang jumlahnya begitu kecil pun berkira,” kata Mazlan.
Isa juga adalah Pengerusi Yayasan Felda, manakala Pengarah Urusan Felda Datuk Faizoull Ahmad adalah salah seorang ahli lembaganya.
Mazlan turut mendakwa, projek usahasama pendidikan dengan Universiti Lim Kok Wing memakan belanja berkali ganda jika dibandingkan dengan Kolej Felda.
Kolej Felda, katanya tidak pernah disemak sejauh mana kejayaannya.
“Kenapa Kolej Felda yang cuma ada di Kelana Jaya, Trolak, Mempaga dan Raja Alias mahu di ganggu?.
“Mana dia pembangunan modal insan yang acap kali di sebut oleh Faizoull Ahmad?,” tanya Mazlan.
Beliau bertanya lagi, apa gunanya perjanjian persefahaman dengan Kolej West Cheshire dan Universiti Chester yang di war-warkan.
Kurang fokus
Dalam isu berkaitan, Mazlan mendakwa kertas cadangan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia yang menyebut secara jelas bahawa Felda akan mengurangkan fokus terhadap pembangunan sosial.
Hujahnya, FGVH adalah syarikat senaraian awam yang berteraskan perdagangan. Ia bukan lagi terikat kepada perkhidmatan seperti mula-mula ditubuhkan.
“Saya berpandangan inilah kesan2 yang menjadi mala petaka kepada warga Felda khususnya anak-anak peneroka yang dahagakan kursus dan latihan kemahiran.
“Pemotongan bajet terhadap Kolej Felda jika dilaksanakan akan membunuh impian ribuan anak-anak peneroka seluruh negara.
“Saya tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran Isa Samad dan Faizoul Ahmad. Saya mengharapkan mesyuarat Lembaga Pengarah Felda minggu depan, bukan memotong bajet untuk Kolej Felda, tetapi peruntukan ditambah sebanyak mungkin.
“Bukan itu sahaja, perkembangan pendidikan di Felda yang dulunya ada insentif untuk anak-anak yang berjaya masuk ke IPTA, peruntukan tuisyen percuma untuk UPSR/ SPM, pembangunan sekolah berasrama penuh Felda, MRSM Felda di Trolak ditingkatkan pembiayaannya agar lebih ramai yang beroleh manfaat,” kata Mazlan lagi.
Presiden Anak itu juga amat berharap Isa, Faizoull dan Ahli Lembaga Pengarah Felda waras dalam membuat perkiraan dan pertimbangan.
Katanya, jangan lupa sejarah panjang bagaimana Felda dibangunkan kerana kesilapan dalam membuat keputusan, kesannya amat dalam.
“Ada kuasa dan pengaruh, biar berjasa. Hidup dikenang orang, diingati khidmat baktinya sepanjang hayat. Jangan dibariskan sebagai petualang dan pengkhianat terhadap bangsanya sendiri,” tambah beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan