Khamis, 16 Januari 2014

Anwar: Utusan selayaknya ‘dihukum’ kerana terus memfitnah

Oleh: NAZLI IBRAHIM


PETALING JAYA : Akhbar kawalan Umno, Utusan Malaysia wajar menerima hukuman setimpal berikutan akhbar itu berterusan melemparkan pelbagai fitnah terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) khususnya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, akhbar harian itu mengambil sikap demikian bagi melindungi kepentingan politik Umno-BN dan sekaligus memastikan kelangsungan parti itu terus bertahan tanpa mengambil kira soal maruah, moral dan etika kewartawanan yang sepatutnya dipelihara.
utusan fitnah grafik 
“Memang dah lama terbukti Utusan adalah media fitnah, terus menerus memfitnah dan selayaknya dihukum kerana memang kerja dia untuk terus menerus memfitnah,” kata Anwar ketika ditemui Selangor Kini selepas menghadiri sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kemenangan beliau dalam isu saman RM50 juta terhadap Utusan, Anwar menggesa agar pengamal media di negara ini mengamalkan etika kewartawanan yang sihat dengan melaporkan isu sebenar dan menolak politik fitnah bagi menjatuhkan musuh politik mana-mana pihak.

Semalam Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelumnya memutuskan bahawa dua artikel yang cuba memberi gambaran kononnya Anwar tidak layak memegang jawatan dan mempunyai pendapat yang berbeza dengan ajaran Islam diterbitkan Utusan Malaysia (M) Sdn Bhd bersifat fitnah.
anwar white 
Utusan Malaysia sebuah akhbar yang menyebarkan propaganda Umno bukan kali pertama tewas dalam perbicaraan yang melibatkan isu fitnah di mahkamah.

Selain Anwar yang kali kedua menang saman fitnah terhadap Utusan, Utusan juga tewas saman fitnah yang melibatkan fitnah terhadap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin; Ahli Parlimen Bukit Gelogor, Karpal Singh; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Selain itu, Utusan juga terpaksa membuat penyelesaian damai dengan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dengan bersetuju menarik balik fitnah dan membayar kos RM40,000 kepada Husam bagi mengelakkan dikenakan bayaran ganti rugi lebih tinggi.

Utusan juga membuat penyelesaian di luar mahkamah berhubung saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadap akhbar itu.

Ketika ini Utusan masih mempunyai kes saman fitnah yang menunggu masa untuk dibicarakan di mahkamah termasuklah dua saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
EZY

Tiada ulasan: