Ahad, 12 Januari 2014

25 premis di Kota Kinabalu rosak ditembak

MALAYSIAKINI


Kira-kira 25 premis sekitar bandar raya ini mengalami kerosakan termasuk cermin pecah apabila sekumpulan enam remaja yang menaiki tiga kenderaan melepaskan tembakan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata kejadian bermula 11.45 malam itu melibatkan 13 premis perniagaan di Karamunsing, sembilan di Luyang dan tiga bank di Inanam.
  
"Kejadian selama sejam itu menyasarkan premis bank, hotel, pusat kecantikan, pusat hiburan, pejabat dan restoran makanan segera," katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
  
Beliau berkata siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian itu dilakukan sekumpulan enam remaja menggunakan senapang angin berpelurukan guli.
  
"Kesemua premis terlibat mengalami kerosakan seperti cermin pecah dan kesan lubang pada bahagian pintu dan dinding kaca. Pemeriksaan awal menemukan tiga biji guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru senapang angin itu," katanya.
  
Jauteh berkata rakaman CCTV itu juga menunjukkan dua daripada kenderaan yang digunakan sekumpulan remaja terbabit dalam kejadian itu adalah pacuan empat roda.
  
Beliau menyifatkan kejadian yang dilakukan secara serentak itu adalah 'perbuatan sekumpulan remaja nakal' yang bertujuan menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat umum.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Juateh turut menafikan kejadian itu mempunyai kaitan dengan perbicaraan 30 individu yang didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Sabah awal tahun lepas, yang sedang berlangsung di Penjara Sabah.
  
Polis masih mengesan identiti kesemua suspek menerusi rakaman beberapa kamera litar tertutup, katanya.
  
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terutama penduduk di sekitar bandar raya ini agar tidak panik dengan kejadian itu.
  
Jauteh juga meminta orang ramai yang melihat sebarang kegiatan mencurigakan atau jenayah terutama melibatkan senapang angin supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Karamunsing melalui hotline 088-221191 atau menghubungi beliau di talian 019-8039520.- Bernama

Tiada ulasan: