Datuk Dr S Subramaniam  
Datuk Dr S Subramaniam


PETALING JAYA - Sebanyak 20 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan estet akan dipindahkan ke kawasan baharu bagi mengatasi masalah kekurangan murid, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
  
Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata sekolah berkenaan merupakan antara 25 SJKT yang mempunyai bilangan pelajar kurang daripada 60 orang, untuk tahun ini.
  
Pada tahun lepas, sebanyak 19 SJKT telah dipindahkan ke kawasan baharu yang mempunyai kepadatan penduduk India yang lebih tinggi, katanya kepada pemberita pada majlis jamuan makan malam amal anjuran Tamil Foundation Malaysia di sini, malam ini.
  
"Ada SJKT mengalami masalah di mana bilangan murid berkurangan berikutan perpindahan penduduk keluar dari kawasan perladangan, sehingga tinggal lima atau lapan keluarga saja dalam satu-satu kawasan itu," katanya. - Bernama