SHAH ALAM - "Nak suruh rakyat ikat perut, kerajaan dan menteri juga perlu lakukan perkara sama," kata penganalisis politik, Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata demikian ketika mengulas soal fenomena kenaikan harga yang kian menjerut rakyat.
Selepas pengurangan subsidi minyak dan gula, rakyat menyaksikan beberapa siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain secara mendadak.
Meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 11 langkah penjimatan sektor kerajaan, Dr Maszlee berpendapat gaji atau elaun langsung kegunaan menteri yang wajar dipotong.
“Perdana Menteri mengumumkan 11 perkara tapi kalau kita lihat perkara pertama itu, hanya satu saja yang melibatkan menteri dan timbalan menteri. Itu pun berkaitan elaun keraian, sedangkan elaun keraian itu milik rakyat.
“Kalau nak, potong gaji atau elaun langsung kegunaan mereka. Itu mungkin rakyat akan nampak pengorbanan mereka di situ. Setakat ini yang kita nampak 11 langkah itu lebih berkaitan dengan pegawai-pegawai kerajaan tapi di pihak yang lebih tinggi, tidak berlaku,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Menurutnya, kerajaan meminta rakyat berjimat namun pada masa sama, kerajaan masih mengamalkan gaya hidup yang mewah.
“Saya rasa, bagi rakyat pun, realiti harga barang telah naik. Perkara itu sudah berlaku. Tapi, yang mungkin rakyat agak sensitif ialah dalam keadaan sebegini.
“Rakyat disuruh mengikat perut, mengubah cara hidup dan sebagainya tapi pada masa sama, kerajaan, pemimpin-pemimpin, menteri-menteri masih mengamalkan gaya hidup mewah serta perbelanjaan banyak juga sambutan-sambutan yang memakan perbelanjaan besar.
“Kalau nak ikutkan, nak suruh rakyat ikat perut, ubah gaya hidup dan sebagainya, di pihak kerajaan, menteri-menteri perlu melakukan perkara sama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan