Rabu, 30 Oktober 2013

Azmin: K'jaan BN hidapi 'lelah kewangan'

 

 

Ahli parlimen Gombak Azmin Ali mendakwa Bajet 2014 menunjukkan kerajaan kini menghidapi penyakit "lelah kewangan" ekoran displin fiskal yang lemah sehingga menyebabkan beban hutang negara semakin "membengkak".

Beliau membuat perumpamaan tersebut berdasarkan jangkaan penganalisis ekonomi bahawa kadar hutang negara mencecah 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014.

Katanya, unjuran yang dikemukakan Maybank baru-baru ini mengunjurkan bahawa jumlah hutang negara mencecah RM541 bilion pada tahun ini dan meningkat menjadi RM578.4b pada tahun depan.

Timbalan presiden PKR itu berkata, perkara ini menyebabkan rakyat berasa bimbang dengan kemampuan kerajaan untuk menyelesaikan hutang tersebut.

"Malaysia di bawah pengurusan Umno, sedang mengalami satu penyakit, yang dinamakan lelah kewangan, tercungap-cungap.

"Biasanya orang yang lelah ni, dalam beberapa ketika, akan masuk ICU. Lepas ICU tu, dia laksana GST (cukai barangan dan perkhidmatan), Insya-Allah, kita akan menyaksikan pengebumian Umno.

"Bila kita hadapi negara sedang mengalami penyakit lelah fiskal, (ini) kerana tidak ada ruang fiskal untuk berbelanja. Maka terpaksa hutang meningkat.

"Dan yang pasti membebankan rakyat terbanyak dan (mereka) tidak ada keazaman politik untuk menyelesaikan masalah yang dibangktilan ketua audit negara," katanya membahaskan ucapan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Tiada ulasan: