Harakahdaily, |
|
KUALA LUMPUR: Ekoran kekalahan teruk dalam pilihan raya umum ke-13, beberapa perwakilan di persidangan perwakilan nasional Gerakan hari ini mempersoalkan hubungan parti itu dengan rakan komponen Umno dan ada juga yang menggesa parti itu supaya meninggalkan BN, lapor Malaysiakini.
Anggota perwakilan dari Johor, Tan Lai Soon merasakan Gerakan tidak diberi penghormatan sepatutnya sebagai rakan dalam BN.
"Kita tidak boleh lagi memberi alasan - bahawa jika kita diberi jawatan (dalam kerajaan), maka Umno melayan kita dengan baik. Ini tidak boleh diterima.
"Adakah resolusi Gerakan sedang dikaji dan diambil kira oleh kerajaan yang diterajui Umno untuk dilaksanakan sebagai dasar negara? Saya rasa tidak," tegasnya.
Jadi, tegas Tan, apa gunanya setiap tahun di mesyuarat agung tahunan, resolusi yang baik dan munasabah, selepas dicadangkan dan diluluskan, tidak diendahkan oleh kerajaan.
Selain itu katanya, apabila MCA memutuskan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan walaupun Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin telah memperuntukkan dua jawatan untuk MCA, maka tanggapannya salah satu daripada jawatan itu akan diberikan kepada Gerakan.
Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan dan sebaliknya, Adun MCA Pulai Sebatang, Tee Siew Kiong dilantik ke jawatan itu, manakala Adun tunggal Gerakan di negeri ini, Lau Chin Hoon, tidak diberi sebarang jawatan .
Menteri besar Johor, tegas Tan, telah berkata 'tidak' kepada Gerakan dan Tan mendakwa Umno tidak pernah bekerja bersama-sama dengan Gerakan.
Oleh itu tegasnya, apabila mereka mengatakan tidak kepada Gerakan, maka mengapa parti itu masih mahu menyokong mereka secara membuta tuli.
Tan berkata, apabila Gerakan menyertai Perikatan untuk membentuk BN pada tahun 1974, parti itu membantu mengukuhkan kuasa parti pemerintah, namun kini perkara itu telah dilupakan.
Ketika ditemui selepas ucapannya, Tan menegaskan tidak ada sebab untuk Gerakan terus kekal dalam BN jika ia tidak dilayan sebagai rakan kongsi yang saksama.
Menurut Tan, ramai pemimpin akar umbi parti itu berkongsi pandangan beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan