Sabtu, 26 Oktober 2013

Jamil Khir sifatkan ziarah PAS lawatan politik



Tindakan PAS menziarahi Baharom Ramli - ayah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom - yang menghidap sakit angin ahmar sejak tiga tahun, disifatkan menteri itu sebagai satu 'lawatan politik'.

Beliau bagaimanapun 'berterima kasih' kepada PAS atas kunjungan yang dibuat dua hari lalu ke rumah ibu-bapanya di Kampung Ulu Sedaka, Yan.

"Terima kasihlah pi (pergi). Terima kasih atas lawatan politik," kata Jamil Khir ringkas kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas kunjungan itu yang dilakukan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat itu dua hari lalu.

Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan akan berbuat demikian dalam sidang media.

Mahfuz sebelum ini dipetik sebagai berkata yang ayah Jamil Khir berjanji kepadanya untuk mengundi calon PAS dalam pilihan raya kecil ini kerana beliau didakwa merupakan ahli PAS dan membayar yuran keahlian setiap tahun.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dalam reaksinya semalam kesal PAS menggunakan lawatan itu untuk memperolehi kelebihan politik apabila berita tentang lawatan itu dimuat naik pada masa lawatan itu berlangsung.

Menurutnya, ia berbeza dengan BN yang turut mengunjungi balu almarhum Tan Seri Azizan Abdul Razak tetapi tidak pula menghebahkanya seperti PAS.

Tiada ulasan: