Sabtu, 26 Oktober 2013

RM20 juta perbaiki asrama Unisel, siap Jun 2014


asrama-unisel-bestari-jaya


BESTARI JAYA  : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan penambahbaikan asrama Universiti Selangor (Unisel) dan dijangka siap selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun hadapan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri komited membaikpulih bangunan asrama yang tidak boleh digunakan lagi itu bagi tujuan kemudahan infrastruktur pelajar institusi pengajian tinggi berkenaan.

“Blok bangunan itu sudah tidak boleh pakai dan kita akan adakan program penambahbaikan ‘Repairs and Maintenance’ dan peruntukan diberikan kepada pihak universiti untuk bergerak pada pembaikan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Unisel Ke Lapan di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya di sini.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad.

Seramai 2,003 graduan bakal memperolehi ijazah masing-masing termasuk tujuh orang menerima ijazah kedoktoran falsafah dan profesional.

Manakala 34 orang menerima ijazah sarjana dan 1,024 orang menerima ijazah sarjana muda dan 937 orang menerima diploma.

Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata masyarakat diharap tidak beranggapan bahawa graduan Unisel sebagai ‘graduan pasang siap’ iaitu kemampuannya terbatas.

“Saya mahu dan bahkan seluruh rakyat Selangor mahu, bahawa Unisel ini sebenarnya sentiasa mengeluarkan graduan yang mempunyai pelbagai kemahiran berfikir, budiman, pencinta ilmu dan berperibadi mulia.

“Kesepaduan jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah kriteria penting untuk menjadi graduan cemerlang,” ujarnya.

Abdul Khalid berkata, Unisel sehingga kini mampu mengekalkan status sebagai antara graduan yang tertinggi memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Tiada ulasan: