Seorang Senator bebas Australia
Xenophon yang mendarat di Kuala Lumpur pada jam 6.40 pagi semalam ditahan oleh pihak Immigresen
negara dan di hantar pulang ke Australia
setelah ditahan selama 14 jam di lapangan terbang LCCT. Kerajaan BN telah
menyenarai hitamkan nama beliau dan negara menganggap beliau sebagai musuh
negara Malaysia
yang 'demokratik' ini.
Sesiapa pun yang mempunyai
pemikiran yang sedikit waras akan faham yang penahanan beliau itu merupakan
tindakan politik sempit dan sedikit sebanyak menunjukkan kepada masyarakat
antarabangsa yang negara kita tidak mengambil kisah tentang kewibawaan hubungan
antarabangsanya. Kenyataan Hishamudin Hussein semalam membayangkan yang beliau
mempunyai ‘diplomatic language’ yang begitu rendah dan memalukan.
Senator ini telah menjadi mangsa
politik negara kerana bercakap benar tentang keadaan demokrasi negara
kita. Kesalahan Senator ini sebenarnya sangat besar. Kesalahannya ialah kerana
bercakap benar dan tidak mahu berbohong. Mungkin sebelum ini Senator ini belum
memahami undang-undang negara ini. Beliau tidak memahami yang di negara ini
bercakap benar itu adalah dicegah (forbidden).
Berjuang untuk menghapuskan
rasuah itu salah. Sesiapa yang memperjuangkan untuk diadakan pilihanraya bebas
itu lebih salah sehingga ada seorang bekas Perdana Menteri menyarankan supaya
di pinda perlembagaan supaya membolehkan Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga
dilucutkan kerakyatannya. Senator ini mungkin menganggap demokrasi itu semuanya
sama seperti yang wujud di semua negara maju yang lain di dunia ini.
Beliau tidak tahu yang Malaysia
mempunyai demokrasi acuannya tersendiri. Sepatutnya Senator ini belajar tentang
latar belakang demokrasi di negara ini sebelum berbuat apa-apa dalam negara
ini.
Apa yang kerajaan Malaysia
marahkan Xenophon itu mudah sahaja. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana
komen beliau tentang cara Bersih di kendalikan oleh pihak berkuasa Polis Malaysia pada
28hb April tahun lepas. Xenophon berada di sini semasa itu untuk melihat
sendiri bagaimana ‘rally Bersih’ itu berjalan.
Xenophon sepatutnya jangan
bercakap benar yang pihak Polis lah yang memulakan keganasan itu yang di
mulakan dengan beberapa orang anggota Polis yang menyamar dan menjadi sebagai
agen ‘provocateur’ bagi mencetuskan pertempuran di antara Polis dengan peserta
rally itu..Di sini bukan tempatnya untuk memberikan pandangan yang adil. Di
sini ialah tempat di mana hanya pihak kerajaan sahaja yang benar.
Kenyataan Xenophon yang
memberikan kenyataan yang lebih dari dua ratus ribu peserta adalah salah.
Xenophon sepatutnya memberikan angka yang sama seperti yang di berikan oleh
Rais Yatim, iaitu 22,700 orang sahaja. Senator itu mesti juga memahami yang
berjalan beramai-ramai ke tempat rally itu dianggap sebagai demonstrasi jalanan
di sini. Kerajaan pimpinan UMNO mahukan semua peserta rally itu terbang dan
terus sahaja mendarat di tempat rally
itu diadakan.
Sesiapa bercakap yang tidak di
sukai oleh pimpinan UMNO itu dianggap sebagai musuh negara. Jika kita tutup
tindakan rasuah yang dilakukan oleh pimpinan UMNO barulah boleh datang ke sini.
Sesiapa juga yang membawa berita yang anak seorang Perdana Menteri suatu ketika
dahulu telah mengambil wang rakyat hampir RM2 billion itu amat salah kerana
anak dan keluarga pimpinan BN di berikan keistimewaan menggunakan wang rakyat
untuk menyelesaikan masalah perniagaan mereka.
Menjaga maruah dan integriti
bukan perkara penting bagi pimpinan kita. Yang penting ialah kuasa dan kali ini
kuasa itu mahu dikekalkan untuk menutup dan menjauhi segala kesalahan mereka di
ketahui oleh rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa.
Xenophon telah melanggar semuanya
ini, maka terpaksalah beliau kembali ke negara beliau serta merta. Kalau
setakat hendak sampai ke LCCT itu boleh lah. Xenophon jangan sekali-kali datang ke sini lagi kerana
jika beliau berada di sini beliau akan menjadikan negara kita ini tidak selamat
lagi. Bercakap sahaja perkara yang tidak di sukai oleh pihak parti pemerintah,
maka orang itu akan di kurung dan dijadikan ‘banduan’ sementara.
Xenophon mesti memahami kenyataan
yang rakyat Malaysia tidak akan bercakap tentang segala ketidak adilan tidak lama lagi, kerana mereka
akan bertindak dan berusaha untuk menolak pimpinan dan parti yang sedang
berkuasa ini dalam pilihanraya yang akan datang. Sesungguhnya kerajaan kita
bukannya mengurung Xenophon atau sesiapa.
Sebenarnya mereka sedang mengurung diri mereka sendiri untuk mengelak
diri mereka di kenali sebagai pemimpin otokratik yang berselindung di sebalik
demokrasi acuan kita sendiri itu.
Setelah parti yang berkuasa
sekarang sudah tidak diberi mandat lagi Xenophon boleh lah datang kembali ke
sini. Semasa itu nanti barulah beliau boleh bercakap apa yang benar tanpa
was-was. Bukannya lama untuk menunggu perubahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan