Tarmizi Mohd Jam & Arif Atan, |
Beliau bertugas di Sabah sebagai Pengurus Cawangan Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB) pada tahun 1985-1988 dan diberi peranan penting oleh Tun Datu Mustapa Datu Harun dengan sokongan padu Kuala Lumpur untuk merangka "grand design" dan seterusnya mengetuai operasi "Projek IC" ini.
Walaupun namanya diutarakan kpeada RCI tetapi beliau tetap tidak dipanggil. Kenapa?
Ikuti butiran lanjut DATO' TARMIZI MOHD JAM dan ARIF ATAN membongkar projek ini daripada "arkitek" sebenar yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Foto MOHD NASIR SUDIN.
Kami difahamkan saudara orang kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak sekian lama dan di kalangan Umno saudara terkenal sebagai "gurka setia" akar umbi Pak Lah sehingga ke saat ini. Boleh ceritakan sedikit bagaimana saudara boleh akrab dengan Pak Lah dan sedia diwawancara oleh kami daripada Harakah?
MAT SWANDI AWI: Saya mula berkenalan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sejak tahun 1978. Apabila saya dipinjamkan (seconded) dari Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) ke Jawatankuasa Pemandu (JKP), Bahagian Penyertaan Bumiputera, Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri Pulau Pinang untuk membantu Bumiputera yang tertekan dengan sifat anti-Melayu, anti DEB dan anti Kerajaan Pusat dan Kerajaan Gerakan pada masa itu. Pada masa itu gandingan 2M - Mahathir Musa Hitam amat hebat dan digeruni kawan dan lawan.
JKP yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah ICU, iaitu allahyarham Dato’ Mohd. Saffian Abd. Majid dan dianggotai oleh semua ketua-ketua pengarah agensi Kerajaan Pusat seperti MARA, UDA, Bank Pertanian Malaysia, MARDI, MIDF, BPMB, dll bertindak sebagai badan penyelaras kepada semua agensi-agensi pusat ini dalam usaha membantu Bumiputera P. Pinang dalam segala aspek, seperti pembangunan usahawan, urusan pinjaman bank sekiranya ada karenah dari bank-bank yang berkenaan, pembangunan hartanah, seminar-seminar keusahawanan, membantu usahawan-usahawan Bumiputera mendapatkan kontrek, pengagehan rumah-rumah yang dibangunkan oleh Penang Development Corporation (PDC) kepada Bumiputera yang mahu membelinya dan sebagainya.
Ini kerana aktiviti-aktiviti penting ini memerlukan seorang pegawai yang tahu dalam aspek banking dan pembangunan usahawan, rezeki badan saya terpilih dari kalangan ramai pegawai yang dikenalapsti dari agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti MARA, MIDF, Bank Pertanian dan sebagainya.
Pengarah JKP pada masa itu ialah Mohd. Hanafiah Omar, orang kelahiran Penang, adik Tan Sri Alias Omar, orangnya amat baik. Sayahormat beliau sampai sekarang walau dah sama-sama tua ini.
Pada masa itu Tun Abdullah baru menjawat jawatan sebagai Setiausaha Parlimen di JPM, orangnya masih muda dan kacak. Beliau yang dilahirkan dari keluarga yang alim banyak mendidik dan membimbing saya dalam kepimpinan, baik politik atau kemasyarakatan. Teguran-teguran beliau, kadang-kadang pedas sampai menyusuk kedalam jantung adalah ilmu yang saya warisi sampai ke akhir hayat saya. Lagi pedas dan panas teguran beliau kepada saya lagi saya suka sebab itu adalah tanda kasih sayang beliau kepada saya supaya saya jadi orang. Ilmu dari Tun Abdullah ini tidak boleh saya perolehi dari mana-mana universiti dalam dunia ini. Semuanya lahir dari keikhlasan hati beliau.
Begitu juga dengan allahyarham Tun Mustapa Datu Harun, bimbingan, tunjuk ajar dan teguran beliau tidak dapat saya nilaikan dengan apa sahaja pun. Semoga jasa allahyarham yang banyak mendidik dan menegur segala kesilapan saya menjadi pahalanya dialam barzah dan insyaallah diakhirat nanti. Semoga Allah SWT menempatkan roh allahyarham dikalangan hamba-hambaNya yang soleh. Siapalah saya dalam masyarakat dan dalam dunia politik tanpa Tun Abdullah dan tanpa allahyarham Tun Mustapa.
Sejak Pak Lah diberhentikan secara paksa oleh Mahathir, Najib dan Muhyiddin, kami difahamkan saudara selalu hadir dalam ceramah-ceramah Pakatan, mengapa?
Memang benar. Sejak Pak Lah disondol keluar oleh gerombolan Mahathir, Najib dan Muhyiddin yang tidak sabar-sabar untuk mengambil alih jawatan tertinggi negara daripada Pak Lah, saya sudah hilang hormat kepada kepimpinan UMNO sekarang ini. Mereka memaksa Tun Abdullah turun kononnya Pak Lah lembik, tak ada uumppp memimpin, tak ada hala tuju, lemah, tidak konsisten dalam keputusan dan pendiriannya dan macam-macam lagi.
Mereka anggap mereka adalah manusia terhebat, terpandai, jauh lebih hebat dari Pak Lah dalam memimpin negara dengan falasafahnya “transformasi”, semuanya nak ditransform, tetapi seperti mana yang rakyat jelata dapat lihat sekarang ini, semua semakin meleset, UMNO semakin hancur, semakin berkecamuk, semakin ditolak oleh rakyat, teramat takut untuk mengadakan PRU.
Bukankah beberapa hari lepas Mahathir akui Najib lebih lemah daripada Pak Lah?
Dr. Mahathir (Mohamad) yang bekerja keras sebagai "defacto-PM" mengakui sendiri secara umum bahawa Najib jauh lebih lemah dari Pak Lah dan tidak mampu memimpin sehingga Najib terpaksa akur dengan segala permintaan dari banyak pihak, terpaksa membazir wang rakyat untuk BR1M1 dan 2, terpaksa akur kepada permintaan untuk membina banyak tokong dan macam-macam lagi dan ini belum pernah berlaku dalam sejarah politik negara kita dimana seorang PM terpaksa tunduk kepada “political ransom” sepertimana yang dilakukan oleh Najib sekarang ini diatas macam-macam alasan kononnya dia amat perihatin dan rakyat didahulukan.
Kalau 30 tahun dulu rakyat bolehlah "diboyok" kata orang Sabah, tapi bukan sekarang "ini lagi bah". Orang sudah boleh fikir bah, kau kasi aku ambillah, tapi undi sory lah. Di manakah maruah seorang PM, UMNO dan Melayu kita sekarang ini yang terpaksa tunduk kepada semua tuntutan.
Mukaddimahnya sahaja “1Malaysia” ditolak bulat-bulat oleh orang Melayu sehingga Muhyiddin terpaksa melaungkan “1Melayu” untuk menyejukkan hati orang Melayu. Kata orang Sabah kau sudah kena ketulahan bah!
Berbalik kepada "Projek IC" di Sabah. Mengapa saudara sedia bersama Harakah untuk membongkar rahsia sebenar operasi ini?
Selama ini saya hanya mengikuti perkembangan RCI melalui akhbar-akhbar samada secara "hardcopy" atau melalui website mereka dengan penuh minat. Kadang-kadang lucu kerana rahsia sebenar "Projek IC" ini tidak langsung di ketengahkan, seolah-olah mahu disorok daripada pengetahuan umum.
Tetapi apabila nama Pak Lah yang tidak pernah terlibat dengan perkara ini diheret ke kancah polemik ini, saya sebagai "gurka setia" yang terlibat secara langsung dalam operasi khas ini terpanggil untuk mendedahkan rahsia sebenar "Projek IC" ini, sekaligus untuk bersihkan nama baik Pak Lah. Apabila sahabat saya Dato' Rameli Buyong memaklumkan saya, Harakah sedia mewawancara saya, saya kata OK. Saya ucapkan terima kasih kepada Harakah kerana akhbar-akhbar pro-BN sudah pasti tidak berani mendedahkan apa yang Harakah mampu buat.
Saudara marah dengan dakwaan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang meminta RCI memanggil Pak Lah dan Mahathir untuk memberikan keterangan...
Tidak sekali. Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah banyak kali mengatakan bahawa beliau tidak pernah dan tidak langsung terlibat dengan "Projek IC" biru ini dalam cara atau dalam bentuk apa pun, tetapi Mahathir yang berdendam kesumat dengan Anwar terus menerus menghentam dan mendakwa Anwar terlibat dalam "Projek IC" biru walaupun beliau mengaku tidak ada bukti.
Sebelum itu Mahathir pun menyalahkan allahyarham Tunku Abdul Rahman, dah nyanyuk betul Mahathir ni. Dulu dia kata Melayu mudah lupa. Celupar betul mulutnya, cakap macam orang tak beriman, main syok aje fitnah sana fitnah sini. Tak takut azab Allah SWT dunia akhirat. Malah Tun Abdullah pun pernah bertanya kepada saya dua bulan lepas samada Anwar terlibat dalam "Projek IC" biru ini dulu, saya dengan tegas mengatakan Anwar tidak pernah terlibat langsung dalam "Projek IC" biru ini sebab semua orang UMNO tahu bahawa Anwar bukannya "bed fellow" dengan allahyarham Megat Junid (Megat Ayob) dan juga dengan Pak (Tan Sri Aziz Samsudin) dan mereka tidak pernah sebulu.
Malah allahyarham Tun Mustapa dulu pun ada terguris hati dengan Anwar, jadi macam mana Anwar nak terlibat dalam "Projek IC" biru ini. Saya tak salahkan Anwar meminta RCI memanggil Tun Abdullah ke RCI. Itu mungkin jawapan beliau secara "impromptu" atau mungkin beliau sengaja menjolok Tun Abdullah untuk menghentam balik Mahathir. Biasalah orang politik memancing respons, apa pun Tun Abdullah dah dengan tegas menafikan pembabitan dalam projek IC biru ini.
Tun Abdullah tidak memerlukan projek macam ini untuk menaikkan nama baik beliau. Semua orang tahu bahawa Tun Abdullah tak pernah buat yang bukan-bukan, beliau keturunan keluarga ulama besar, beliau banyak beristigfar sebelum melalukan sesuatu itu.
Macam mana saudara boleh diberi kepercayaan oleh Tun Mustapa untuk ketuai "Projek IC" ini, sedangkan saudara adalah anak Semenanjung?
Saya diperkenalkan kepada allayarham Tun Mustapa Datu Harun oleh adik allahyarham yang bernama Datu Abdul Salam yang datang berjumpa saya memohon pinjaman untuk menyiapkan hotelnya di Kudat yang sekian lama terbengkalai sejak USNO dikalahkan oleh Berjaya pada tahun 1976 dengan hanya “super structure”yang siap.
Pada awal perkenalan dengan allahyarham Tun Mustafa, saya hanya menceritakan latar belakang dan pengalaman pekerjaan saya, tak lah seberapa sangat sebab pada tahun 1986 itu pun saya berumur 36 tahun dan terlalu banyak lagi yang perlu saya pelajari dalam hidup ini. Saya juga maklumkan kepada allahyarham Tun Mustafa bahawa saya adalah gurka akar umbi Tun Abdullah.
Rupa-rupa allahyarham Tun Mustapa pun menghormati keperibadian dan latar belakang Tun Abdullah dan perbualan semakin rancak sehingga meliputi isu-isu politik semasa. Agaknya allahyarham Tun Mustafa tertarik dengan kareer banking saya dan mungkin juga dengan sedikit pengalaman saya yang belajar mengenai perjuangan serta kepimpinan politik dari Tun Abdullah, lalu allahyarham Tun mengupas luas sejarah perjuangan beliau menentang penjajahan Jepun dulu, sejarah penubuhan, perjuangan dan kesilapan USNO, masaalah “generation gap” diantara kepimpinan vetran USNO dengan generasi muda terpelajar anak-anak Melayu, masalah kesukuan diantara Bumiputera Islam, kepincangan ahlak dikalangan sesetengah pemimpin USNO, struktur organisasi USNO yang tidak tersusun terutamanya diperingkat bahagian dan cadangan dan banyak lagi.
Banyak yang saya pelajari dari penjelasan allahyarham sambil makan malam di rumah allahyarham di Tanjong Aru dan banyak pula “case studies” yang boleh saya buat dari banyak masaalah yang allahyarham kemukakan itu. Saya hanya memberikan ulasan dan cadangan-cadangan yang saya fikirkan praktikal dan boleh pula dilakukan tanpa banyak masaalah.
Allahyarham Tun Mustapa menunjukkan minat yang mendalam untuk membawa saya ke jemaah “inner circle” nya dan saya teramat bersyukur kerana mula diberikan penghormatan untuk memberikan cadangan-cadangan yang mampu saya hujjahkan dalam beberapa kes yang tertentu.
Ujian tugas pertama yang allahyarham Tun Mustapa berikan kepada saya ialah membawa seramai mungkin generasi muda terpelajar dari kalangan kakitangan Kerajaan Negeri dan Pusat untuk menyokong perjuangan USNO dan untuk menjadi “core supporters” allahyarham.
Bagi saya tugas ini mudah sangat sebab dengan kedudukan saya sebagai seorang pengurus bank yang masih muda dan bertenaga serta ramai kenalan, amat mudah sekali saya mempelawa generasi muda terpelajar datang berborak-borak dengan saya selepas pejabat dan juga semasa makan tengahari, tambahan lagi saya mempunyai elaun keraian.
Disamping itu sebagai ketua jabatan agensi Pusat, saya kerap dijemput untuk menghadiri mesyuarat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Kementerian Kewangan Sabah, Kementerian Kebudayaan dan Sukan Sabah dan banyak lagi lah. Dari situlah saya berkenalan dengan Shafie Apdal, Marsidi Manjun, Mustapa Kula, Kasitah Gadam, Karim Bujang, Dr. Yusuf Yakob, Ansari Abdullah, Aizah Mohd. Dun, Sapawi Ahmad, Yahya Husin, Mohd. Nor Mokhtar, Basalie Ahmad, Datu Nashrun dan ramai lagi.
Syukur alhamdulillah buat pertama kali saya dapat menjemput dan mengumpulkan sahabat-sahabat saya di atas dan ramai lagi selain dari pegawai-pegawai Kerajaan Pusat dirumah allahyarham Tun Mustapa yang turut dihadiri oleh Tun Sakaran Dandai, Tan Sri Ampong Puyon, Datuk Askalani, Railey Jeffery dan ramai lagi veteran USNO.
Selepas sesi pertama ini saya meneruskan dengan sesi perjumpaan hari raya dan sesi-sesi yang lain di rumah allahyarham Tun Mustafa dengan ramai lagi generasi muda terpelajar dan sokongan akar umbi allahyarham Tun Mustapa semakin baik.
Saya juga diminta oleh allahyarham Tun Mustafa membuat audit dibeberapa buah bahagian USNO, tetapi akhirnya saya diherdik dan diumpat oleh kebanyakkan ketua dan AJK bahagian kerana mereka yang tidak pernah mengalami audit seperti ini tidak boleh menerima laporan professional yang sistematik dan tidak boleh menerima teguran serta cadangan yang membina. Dalam pepatah Inggeris kita kata “old habits die hard”.
Saya juga berjaya merayu kepada beberapa orang pemimpin veteran USNO seperti Karim Ghani dan Yahya Lampong berhenti dari terus mengkritik kepimpinan allahyarham Tun Mustapa sebab masa itu kita sedang berhadapan dengan tentangan Kerajaan PBS yang berjaya mengambilalih kuasa dari Berjaya dalam pilihanraya negeri pada bulan April 1985 yang memenangi kalau tidak silap mengikut catatan saya 26 dari 48 kerusi DUN.
Saya menjemput pemimpin-pemimpin veteran USNO yang kritis ini berbincang dipejabat saya selepas jam 1700. Jadi bilik mesyuarat bank saya jadi bilik perbincangan politik selepas jam 1700.
Apa yang saya lakukan saya berikan laporan bertulis ringkas kepada allahyarham Tun Mustapa. Disamping itu apabila masuk waktu saya tetap istiqomah menunaikan kewajipan saya sebagai orang Islam yang tetap menjaga solat fardunya, termasuk ketika saya berada di rumah allahyarham atau dipejabatnya di bangunan USIA.
Semuanya ini membuat allahyarham Tun Mustafa semakin selesa dan semakin yakin dengan saya sehinggalah beliau boleh menceritakan secara terperinci kepada saya hubungan beliau dengan allahyarham Tunku Abdul Rahman dan allahyarham Tun Abdul Razak dan macam mana kita membantu perjuangan Moro. Semuanya ini akan saya khazanahkan sebagai sejarah bertulis untuk pengetahuan dan rujukan anak-anak cucu cicit saya agar mereka boleh juga menjadi pejuang yang ikhlas untuk ugama, keluarga, bangsa dan negara, tetapi tidak boleh dijadikan sebagai rujukan awam.
Baiklah, sekarang saudara cerita secara terperinci macam mana saudara terlibat dalam perancangan "grand design" Projek IC yang kesannya berlanjutan sehingga sekarang ini.
Sebelum saya menghuraikan perkara ini dengan lanjut, saya ingin mengimbas sedikit sejarah politik Sabah dari mulaPBS memenangi pilhanraya negeri pada bulan April tahun 1985 itu. Selepas ubahsuai pejabat cawangan BPMB siap pada awal tahun 1985, kalau tidak silap pada bulan Februari 1985, saya sepatutnya terus berpindah dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu untuk memulakan operasi pejabat cawangan ini.
Tetapi apabila Kerajaan Berjaya yang banyak membantu saya dalam urusan penyediaan pejabat cawangan BPMB ini kalah kepada PBS yang memenagi 26 dari 48 kerusi DUN, saya pun amat berat untuk berpindah ke Kota Kinabalu sebab saya tahu PBS ini anti-Melayu / anti-UMNO / anti-Islam dan anti-Semenanjung sedangkan pada masa itu semua kakitangan pejabat cawangan bank sudah saya pilih dan lantik untuk memulakan tugas, hanya tunggu saya membuka pejabat. Akhirnya apabila pengurusan bank memberikan kata dua kepada saya, saya dalam protes terpaksa juga terbang ke Kota Kinabalu.
Saya amat kecewa apabila pelanggan-pelanggan KDM yang dulunya amat baik berulang alik dari KK ke KL untuk menguruskan pinjaman mereka amat baik dengan saya tiba-tiba boleh bersifat anti-Semenanjong dan menjadi tidak mesra dengan saya. Pagi-pagi buta saya sudah mendapat panggilan telefon dari orang-orang KDM meminta orang Malaya balik berambus sebab Sabah boleh hidup tanpa orang Malaya, bank kau boleh tutup bah, dan macam-macam lagi sehingga saya terpaksa memasang alat perakam suara untuk saya berikan kepada ibu pejabat saya.
Saya berjumpa dengan OCPD KK pada masa itu (Sup Haji Ishak Awadan) untuk memohon perlindungan polis. Syukur alhamdulillah semakin lama semakin ramai kenalan dari kalangan pelanggan orang-orang Melayu kita termasuk saudara Ansari Abdullah dan Pandikar Amin Mulia yang saya lantik sebagai panel peguam bank.
Keadaan sosio-politik dan sosio-ekonomi Sabah sejak PBS memerintah amat bercelaru sehingga banyak “capital flights” berlaku.
Muluk Awang Damit (bekas MP Labuan) yang bertugas sebagai pengurus cawangan City Finance Bhd. milik Musa Aman meminta pertolongan saya untuk mendapatkan pelanggan untuk menyimpan / menabung di syarikat kewangannya. Keyakinan perniaagaan amat rendah sekali. Hidup rakyat hari-hari hanya dipenuhi dengan cakap-cakap politik untuk menjatuhkan Kerajaan PBS manakala kepimpinan PBS terus memperkukuhkan kedudukan mereka dengan menaikkan pangkat pegawai-pegawai KDM kejawatan-jawatan penting. Ini membuat orang Melayu semakin marah kepada PBS.
Ringkas cerita, akibat tentangan hebat gabungan USNO-Berjaya yang berterusan yang mengakibatkan tidak ketentuan dan ketidak setabilan politik negeri, PBS terpaksa membubarkan DUN sekali lagi pada bulan Februari 1986 setelah 10 bulan memerintah dan dalam pilihanraya semula kali ini PBS menang dengan majoriti 34 dari 48 kerusi DUN dan kedudukan mereka semakin kukuh manakala tentangan dari USNOdan Berjaya semakin rancak lagi.
Pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong USNO-Berjaya yang terus tidak puas hati dengan kemenangan besar PBS terus menerus menjolok penyokong masing-masing yang berakhir dengan perarakan besar di Kota Kinabalu pada 13 Mac, 1986 yang diketuai oleh Tun Sakaran Dandai yang menyebabkan rusuhan, letupan bom, pembakaran kedai dan kenderaan-kenderaan di Karamunsing dan juga menyebabkan kematian sehingga menyebabkan perintah berkurung.
Pada masa itu saya baru keluar dari mesyuarat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dan terperangkap di tengah jalan. Saya kembali ke pejabat, menutup pejabat dan mengarahkan semua kakitangan pulang segera untuk keselamatan diri mereka. PBS berjaya menjadi anggota komponen BN kalau tidak silap pada bulan Jun 1986.
Bagaimanapun keanggotaan PBS dalam BN tidak juga mengendurkan tentangan ahli-ahli USNO dan Berjaya yang tetap tidak puas hati dengan Kerajaan PBS yang dilihat sebagai anti-Melayu / anti-Islam.
Perniagaan bank saya tidak mencapai kemajuan yang saya harapkan dan saya terpaksa berpeluh melaporkan masaalah sosio-politik di Sabah pada masa itu kepada ibu pejabat saya di Kuala Lumpur sedangkan saya sebagai pengurus cawangan BPMB di Pulau Pinang pada tahun 1980-1983 dimahkotakan sebagai diantara pejabat cawangan yang mencapai prestasi yang terbaik.
Saya terus diminta oleh allahyarham Tun Mustapa untuk membantu memperkuatkan sokongan akar umbi USNO dengan mendekati masyarakat KDM, khasnya kaum Dusun sebab ramai diantara mereka yang berugama Islam.
Ketika saya sedang bekerja di pejabat pertengahan tahun 1987, allahyarham Tun Mustafa memanggil saya ke London untuk membincangkan perkara yang amat penting. Saya kebingungan kerana saya tidak mempunyai sebarang alasan untuk mengambil cuti kecemasan untuk keluar negara yang saya tidak tahu berapa hari pula saya mesti bercuti.
Saya menjelaskan kepada allahyarham Tun Mustafa kerumitan saya, tetapi beliau bertegas demi berjuangan untuk ugama, bangsa dan negara saya tidak ada pilihan dan beliau kata beliau akan menyelesaikan dengan pengerusi BPMB iaitu allahyarham Tan Sri Samad Idris sekiranya BPMB mengambil tindakan terhadap saya.
Dengan hati yang berat dan penuh serba salah, saya pun melangkah ke lapangan terbang KK untuk ke London melalui Singapura.
Sampai di Heathrow, pengurus MAS London menunggu saya dengan pemandu allahyarham Tun Mustapa dan mereka memberikan “greeting” kepada saya dengan kata-kata aluan “welcome to London Mr. Mat, special assistant to Tun Mustapa”. Saya ketawa dalam hati dengan gelaran tersebut.
Saya terkejut bila pemandu allahyarham Tun Mustafa mempersilakan saya naik kereta Rolls Royce nya! Allahyarham Tun Mustapa memberitahu saya bahawa dengan cara apa pun kita mesti menjatuhkan PBS dalam pilihanraya negeri yang berikutnya pada atau sebelum tahun 1990. Jadi kita mesti memikirkan sesuatu yang terbaik dan paling berkesan untuk memperkuatkan sokongan akar umbi USNO, satu daripadanya ialah dengan menambah undi dari:
• Orang Islam dari kalangan penduduk tetap Filipina yang sudah lama tinggal di Sabah.
• Tentera dan polis yang bertugas di Sabah tetapi undi mereka belum dipindahkan ke Sabah dan juga tambahan undi anggota dari Semenanjung.
• Guru-guru, pegawai-pegawai dan kakitangan agensi-agensi Persekutuan yang bertugas di Sabah.
• Peneroka-peneroka Felda sekiranya ada yang dipindahkan dari Semenanjung ke Felda seluruh Sabah.
• Sahabat-sahabat kenalan dan semua ahli keluarga saya yang undi mereka dipindahkan ke Sabah.
• Mendaftarkan semua orang Melayu / Bumiputera Sabah sebagai pengundi.
• Saya yang juga dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) mesti memastikan semua ahli DPBS menyokong USNO.
Saya bertanya kepada allahyarham Tun Mustapa samada gerakan seperti ini pernah dilakukan di zaman USNO dan juga di era Kerajaan Berjaya. Allahyarham Tun Mustafa memaklumkan saya bahawa semasa era USNO, anak-anak pendatang asing Filipina Islam yang berkelayakan professional diberikan kerakyatan dengan mudah dan diberikan juga peluang pekerjaan di Sabah.
Ramai juga permastautin tetap Islam Filipino yang sudah lama tinggal di Sabah diberikan kerakyatan, tetapi itu semuanya dilakukan secara adhoc kerana di zaman USNO tidak ada keperluan untuk menambahkan kekuatan sokongan akar umbi USNO. Semasa era Kerajaan Berjaya, allahyarham Tun Mustafa mengatakan ramai pula orang Pakistan membanjiri Sabah sehingga menyebabkan banyak masaalah sosial kerana ramai wanita-wanita termasuk isteri-isteri orang pun naik syok dengan lelaki Pakistan ini yang mancung hidungnya dan “barangnya” pun dikatakan lebih hebat dari lelaki tempatan.
Apabila saya pulang ke Sabah, allahyarham Tun Mustapa mengarahkan saya untuk merangka cadangan “grand design” operasi khas ini untuk beliau halusi.
Selepas dua hari di London, saya menalefon isteri saya di Kota Kinabalu untuk bertanyakan khabar anak-anak yang masih kecil. Saya terkejut bila isteri saya memaklumkan saya bahawa saya diarah pulang segera oleh ibu pejabat BPMB di Kuala Lumpur untuk menghadapi tindakan tatatertib kerana meninggalkan pejabat tanpa sebab dan bukannya pula kerana tugas rasmi.
Saya memaklumkan allahyarham Tun Mustapa mengenai dilema saya. Allahyarham Tun Mustafa mengarahkan saya segera menghubungi Ampong Puyon dan saudara Abu Bakar Abbas (Datuk), Setiausaha Agong DPBS untuk memaklumkan Ampong Puyon (Tan Sri) untuk segera menelefon allahyarham Tun Mustafa di London. Allahyarham Tun mengarahkan Ampong Puyon (Tan Sri) untuk segera berjumpa dengan Tan Sri Abdul Samad Idris, pengerusi BPMB untuk menyelesaikan tindakan tatatertib BPMB terhadap saya.
Sekembalinya saya ke pejabat selepas hampir seminggu menghilangkan diri di London, surat tindakan tatatertib sudah terpapar diatas meja saya. Bagaimanapun walaupun perkara tersebut telah diselesaikan oleh kepimpinan tertinggi USNO dengan pengurusan BPMB, ianya tetap merupakan titik hitam dalam kareer banking saya.
Tidak lama kemudian saya menerima pula arahan untuk kembali ke Kuala Lumpur dengan segera. Saya naik bingung sedangkan anak-anak saya baru mula bersekolah di Kota Kinabalu dan pertukaran sekolah dipertengahan penggal akan menimbulkan banyak masaalah kepada pelajaran anak-anak saya.
Sekali lagi saya terpaksa memaklumkan allahyarham Tun Mustapa yang naik berang dengan tindakan BPMB sedangkan kerja-kerja “part time” saya membantu perjuangan USNO semakin rancak dan semakin mendapat sokongan pegawai-pegawai dan kakitangan Melayu / Bumiputera Islam Kerajaan Negeri dan Pusat, golongan generasi muda terpelajar dan ahli-ahli DPBS.
Allahyarham Tun Mustapa dan Ampong Puyon (Tan Sri) terpaksa berjumpa sekali lagi dengan pengurusan tertinggi BPMB untuk membolehkan saya dipinjamkan pula ke DPBS sebagai penasihat eksekutif.
Akhirnya saya pun bertukar baju sebagai penasihat eksekutif DPBS dan dengan tanpa topi sebagai seorang banker, saya pun semakin laju menggunaka kedudukansaya di DPBS memperkuatkan lagi sokongan akar umbi kepimpinan allahyarham Tun Mustapa dan USNO. Ramai dikalangan usahawan-usahawan KDM yang menjadi ahli DPBS.
"Secondment” saya ke DPBS merupakan satu ujian yang getir kepada saya kerana BPMB tidak memberikan saya sebarang gaji, tetapi bayaran pinjaman perumahan dan kereta saya dibekukan buat sementara waktu. DPBS memberikan saya elaun sebanyak RM700 / bulan sedangkan gaji saya sebagai pengurus cawangan BPMB Sabah lebih dari RM5,000 / bulan pada masa itu dengan semua kemudahan yang lain.
Hidup anak-anak isteri saya yang terpaksa ikat perut memang merupakan satu ujian dalam hidup saya, tetapi demi perjuangan, maruah dan martabat ugama, bangsa dan negara, saya sanggup melalui detik-detik esusahan itu selama lebih dari setahun.
Namun, dengan semangat yang berkobar-kobar untuk memastikan kemenangan mudah USNO dalam pilihanraya negeri yang akan datang, semua perasaan kesusahan tidak berapa dirasai. Tambahan pula ramai penyokong-penyokong dari pantai timur Sabah dan dari daerah-daerah lain datang membawa udang, ketam, sotong dan lain-lain makanan laut tanpa putus sehinggakan tidak cukup tempat dalam peti sejuk saya.
Tidak kurang pula yang datang memberikan daging payau, kijang, tambadau dan pelandok disamping saya sendiri yang kerap masuk hutan dengan kawan-kawan saya.
Saya kembali ke Semananjung pada hujung tahun 1988 apabila tamat tempoh “secondment” saya ke DPBS. Sahabat-sahabat setia seperjuangan saya seperti Yahya Husin, Shafie Apdal, Mustapa Kula, Abu Bakar Abas, Mohd. Nor, Bahari Aship, Mohd. Yunus Tahir, Sabdin Ghani, Karim Bujang dan ramai lagi menghantar saya ke terminal Feri Malaysia.
Kami berpelukan sambil mengalirkan air mata sebelum saya masuk ke feri di dini hari, kalau tidak silap jam 0100 pagi. Semasa dalam kabin feri, air mata mengalir tanpa saya sedari sehinggakan isteri saya yang sibuk menidurkan anak-anak yang masih kecil memujuk saya supaya bertenang dan bersabar. Terbayangkan segala keseronokan perjuangan untuk mengembalikan pemerintahan Melayu dan Islam di Sabah sejak saya ditugaskan di Sabah. Terkenang segala pertemuan dan perbicangan dengan kawan-kawan seperjuangan boleh dikatakan hampir setiap malam dirumah saya di Taman Berhwemin, Kepayan.
Terkenang pesan kawan-kawan seperjuangan supaya saya terus berjuang dari KL. Terkenang keseronokan mencari payau dengan kawan-kawan yang sering kali disertai oleh Prof. Ustaz Dato’ Harun Din.
Bila "Projek IC" ini dimulakan?
Seminggu selepas saya berpindah balik ke KL, allahyarham Tun Mustapa memanggil saya ke rumah allahyarham di Petaling Jaya. Beliau merujuk kembali kepada racangan “grand design” yang sudah persetujui itu dan mengarahkan saya segera menubuhkan pusat gerakan.
Saya segera meminta kebenaran Datu Abdul Salam, adik allahyarham Tun Mustapa untuk menggunakan dan mengubahsuai pent house Hotel Dashrun beliau untuk bilik gerakan ini dan beliau terus mempersetujuinya. Dengan sumbangan dana dari allahyarham Tun Datu Mustapa, saya membeli tiga buah komputer dan dua buah printer dot matrix yang besar dan berkelajuan tinggi.
Saya dibantu oleh beberapa rakan yang pernah bertugas dengan BTN dan mereka ini adalah anak didik Aziz Samsudin. Untuk memasukkan data kedalam komputer, saya dibantu oleh beberapa orang operator sambilan.
Allahyarham Tun Mustapa juga memaklumkan saya bahawa akan berjumpa dengan Nur Misuari diluar negara untuk memastikan bahawa rakyat Filipina Islam yang diberikan kad pengenalan biru menyokong dan mengundi USNO dan tidak terpikat dengan umpanan PBS.
Saya diarahkan bertemu dengan adik Nur Misuari serta beberapa orang komander Moro di Lapangan Terbang Subang dimana mereka singgah sebentar (transit) dalam perjalanan mereka ke Libya. Beberapa orang anggota cawangan khas termasuk saudara susu saya yang ditugaskan mengawasi kumpulan komander Moro ini terkejut besar bila mereka melihat saya berjumpa dan berbincang dengan mereka.
Apa yang diarah Tun Mustafa untuk tindakan segera dalam "Projek IC" ini?
Tun Mustafa mengarahkan saya...
• Menyediakan teks "talking points" beliau dengan Dr. Mahathir Mohamad dan Megat Junid Megat Ayub.
• Membuat temujanji dengan Tengku Ahmad Rithaudeen, Menteri Pertahanan dan "talking points" dengan YBM Tengku.
• Menghubungi Ibu Pejabat SPR.
• Membuat analisa keputusan pilihanraya negeri 1985 dan 1986 dan seterusnya membuat analisa keperluan tambahan undi yang diperlukan disemua kawasan-kawasan yang harus Usno menang kembali tetapi jatuh ketangan PBS dalam tahun 1986 serta membiarkan kawasan majoriti KDM seperti Tambunan, Moyog, Kinabalu dan Penampang. Tambahan undi pula dikawasan-kawasan tumpuan untuk kemenangan lebih dari 2/3 mestilah komposisinya dari berbagai lapisan pengundi dan tidak hanya dari satu golongan sahaja. Misalnya undi tentera jangan dilonggokkan di satu kawasan, pecah-pecahkan kebeberapa kawasan dan kekurangannya mesti diambil dari guru-guru Semenanjong dan sebagainya.
Kerja ini amat rumit kerana saya terpaksa melakukannya sendiri tanpa dibantu oleh orang lain supaya rahsia besar ini tetap rahsia.
• Mengenalpasti bakal-bakal calon terutamanya daripada generasi muda terpelajar untuk tapisan cawangan khas.
• Merangka keperluan dana.
Tugas saya teramat berat, siangnya kerja di BPMB, lepas jam 1700 bergegas pula ke Dashrun Hotel memerah otak dibilik khas yang tidak boleh dimasuki oleh orang lain selain dari Datu Abdul Salam.
Apa hasi pertemuan Tun Mustafa dengan Tengku Ahmad Rithaudeen?
Ringkas cerita, hasil pertemuan dengan Tengku Ahmad Rithaudeen, empat orang pegawai tinggi dari Kementerian Pertahanan datang berjumpa saya dengan Datu Abdul Salam di Hotel Dashrun. Seorang major ditugaskan khas untuk bekerjasama dengan saya. Pegawai tersebut amat baik, amat aktif dan komited dalam tugasnya. Kami berjumpa bila-bila sahaja diperlukan untuk memutuskan sesuatu yang diperlukan, tidak kira masa. Di Sabah saya berhubung dengan Panglima ATM di Kem Lokawi.
Di Ibu Pejabat Kontingen Polis Sabah saya berhubung dengan Commissioner Maulana Babje dan kemudiannya kalau tidak silap dengan Commissioner (Tan Sri) Rahim Noor yang menumbuk Anwar Ibrahim. Saya bekerjasama rapat dengan OCPD KK Supt. Ishak Awadan.
Saya diperkenalkan kepada Setiausaha SPR (Tan Sri) Abdul Rashid Abdul Rahman oleh “childhood family friend” saya saudara Zahid Hamidi.
Bila saudara mula kenal dengan Megat Junid?
Saya berjumpa dengan Megat Junid Megat Ayob buat pertama kalinya dirumah Tun Mustapa di Petaling Jaya, hanya perbincangan enam mata sambil makan tengah hari. Kali kedua saya berjumpa dan berbincang dengan allahyarham Megat Junid di rumah allahyarham Tun Mustapa di Petaling Jaya bersama Osu Sukam (Timbalan Menteri Kerjaraya pada masa itu) dan Datu Abdul Salam Datu Harun, pun sambil sarapan tengah hari.
Kali ketiga saya dipanggil seorangdiri berjumpa allahyarham Megat Junid di pejabat beliau di Bukit Perdana. Saya sanjung komitmen beliau. Orangnya berani, amat disayangi oleh allahyarham Tun Mustapa.
Apa tindakan saudara untuk menjayakan "Projek IC" ini?
Saya berulang alik dari KL ke KK boleh dikatakan setiap minggu membawa berkotak-kotak borang kuning SPR dengan penerbangan akhir supaya tidak kelihatan oleh umum bila kotak-kotak SPR itu diturunkan oleh Yahya Hussin dan anggota-anggota cawangan khasnya dan dibawa terus kerumah saya di Taman Berhwemin, Kepayan.
Sahabat-sahabat seperjuangan setia saya seperti Shafie Hj Apdal, Sapawi Ahmad, Karim Bujang, Datuk Dr. Hasbullah, Utuh Usbah, Mohd. Yunus Tahir, Abu Bakar Abas, Bahari Aship dan ramai lagi membantu saya mengagihkan borang-borang SPR ini kepada pembantu-pembantu USNO untuk merekodkan nama-nama pengundi baru.
Operasi ini dijalankan di rumah saudara?
Rumah saya di Kepayan menjadi intipan agen-agen PBS. Saya terpaksa tidur dengan senjata api, pun tidak nenyak tidur. Malah kalau mandi pun barang tu saya bawa sama. Memang membebankan, tapi seronok pula kerana peluang untuk berbakti kepada ugama, bangsa dan negara bukannya datang selalu. Lagi pun bukannya semua orang yang Allah SWT berikan peluang untuk berjihad seperti ini. Bagi saya itu semuanya adalah peluang dan pengalaman sekali sahaja dalam seumur hidup.
Siapa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terbabit?
Saya bekerjasama dengan amat baik sekali dengan saudara Abdul Rauf Sani (Dato), pengarah JPN Sabah pada masa itu. Peranan beliau amat penting sekali. Kerana saya bekerja sepenuh masa di BPMB, saya tidak ada masa langsung untuk terlibat dalam mengenalpasti orang-orang yang diberikan IC biru ini dan langsung tidak pernah terlibat dalam apa bentuk pun dengan operasi sulit JPN Sabah atau JPN Pusat.
Di pusat gerakan saya di Kuala Lumpur veteran-veteran USNO seperti Ahmad Awang dari Tawau, allahyarham Piting dan ramai lagi yang sudah meninggal dunia datang membawa ratusan keping setiap seorang salinan photostat kad pengenalan yang data-datanya saya suruh pembantu-pembantu saya masukkan kedalam komputer. Proses ini dilakukan sepanjang tahun 1989 sehingga bulan April 1990.
Kemudian apa yang saudara lakukan...
“Print-outs” senarai pengundi-pengundi baru ini saya kemukakan sendiri kepada ibu pejabat SPR yang kebetulan pula duduk di Bangunan BPMB. Jadi amat mudahlah saya berurusan dengan ibu pejabat SPR, khasnya dengan Abdul Rashid Abdul Rahman (Tan Sri). Saya tabikdiatas komitmen beliau.
Saya juga dapat menjalinkan hubungan sokongan yang amat baik dengan kumpulan gerakan Al-Ar’qam dan ketuanya yang bekerjasama dengan saya ialah Ustaz Halim, timbalan kepada allahyarham Ustaz Ashaari Muhammad. Saya memohon sokongan mereka untuk menyokong USNO. Pada mulanya mereka itu OK, tetapi lama kelamaan mereka juga memohon menjadi calon.
Berapa jumlah pengundi yang berjaya dibuat mellaui "Projek IC" ini?
Seingat saya, lebih kurang 20,000 pengundi tambahan dapat disenaraikan dan diagih-agihkan kekawasan-kawasan yang jadi tumpuan USNO. Allahyarham Tun Mustapa amat ceria dengan perkembangan "Projek IC" biru ini. Isu projek IC biru ini akhirnya terbongkar dan disebut dalam sidang DUN Sabah.
Moral ahli-ahli dan penyokong-penyokong USNO semakin tinggi. Hotel Dashrun semakin sibuk dengan ahli-ahli dan penyokong-penyokong USNO. Disitulah tempatnya pegawai-pegawai berbagai agensi Kerajaan Pusat berkumpul berjumpa dengan saya serta dengan Datu Abdul Salam. Semakin ramai yang datang melobi untuk menjadi calon menjelang awal tahun 1990 kerana pilihanraya negeri akan diadakan pada tahun tersebut.
Tidak kurang yang datang mengganggu saya di BPMB. Jemputan untuk makan malam tidak putus-putus saya terima. Bekalan ikan kering, udang, sotong kering dan macam-macam lagi tidak putus-putus saya terima dari Sabah.
Allahyarham Ahmad Ali Lope (orang Ipoh teman tu) datang berjumpa saya di pejabat saya di BPMB bagi pihak Musa Aman untuk menyatakan hajatnya untuk menjadi calon USNO. Saya dan Datu Abdul Salam ditengking oleh allahyarham Tun Mustapa bila kami menyampaikan hajat Musa Aman. Ringkas cerita, kerana pulus Musa Aman kuat, akhirnya Musa Aman diterima oleh allahyarham Tun Mustapa sebagai calon USNO, kalau tidak di Sibuga.
Kemudian apa terjadi dengan "Projek IC" ini?
Malang menimpa diri saya bila satu hari Abdul Rashid Abdul Rahman (Tan Sri) memanggil saya turun kepejabatnya. Saya pun turun dan dibawa terus kebilik khas dimana saorang pegawai IT nya membuka senarai pemilih baru. Apabila satu nombor KP itu di klik, saya terkejut besar bila lebih 20 nama keluar yang menggunakan nombor KP yang sama!
Klik satu nombor KP, begitu juga dan apabila sudah kali jadi seperti ini, Abdul Rashid dengan nada yang kecewa bertanya kepada saya - “Now, tell me Mat, which one is genuine? I can’t do this type of stupid job. It’s tiring and embarassing. If this is the case, I am going to cancell all”. Saya tekedu, malu dan tidak tahu apa yang saya nak jawab. Sia-sia segala pengorbanan dan penat lelah saya selama ini!
Tindakan saudara...
Saya pun terus berjumpa dengan Datu Abdul Salam. Saya menghantar nota bertulis kepada allahyarham Tun Mustapa menyatakan kekecewaan saya. Saya dipanggil datang kerumah allahyarham Tun sekali lagi di Petaling Jaya. Beliau memaklumkan saya supaya bersabar kerana beliau mahu membicangkangnya dengan allahyarham Megat Junid dan untuk menyelesaikannya.
Apa yang berlaku di sebalik satu no IC digunakan ramai orang itu?
Saya membuat risikan sendiri dan akhirnya saya dapati orang-orang yang diberikan kepercayaan untuk mengenalpasti bakal pengundi baru menjadikannya sebagai jalan paling mudah untuk mencetak wang supaya cepat kaya. Rupa-rupanya satu nombor KP baru itu dijual kepada lebih 20 orang dengan bayaran diantara RM200 – RM500 saorang! Kalau kita andaikan hitung panjang RM300 dikutip daripada setiap orang, hasil kutipan dari 20,000 orang ialah RM6.0 juta!
Saya memaklumkan perkara ini kepada Ahmad Said (Dato Seri), pengarah BPR Sabah pada masa itu dan juga kepada pegawai-pegawai Bukit Aman. Akhirnya ramai yang ditangkap dibawah ISA.
Saya memutuskan untuk terus meninggalkan operasi "Projek IC" biru ini dan bertekad untuk berehat ambil melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Syukur alhamdulillah, walaupun saya memohon lewat dan permohonan sudah pun ditutup, dengan rahmat Allah SWT saya diterima juga untuk melanjutkan pelajaran ke Asian Institue of Management (AIM) Manila, Philippines.
Professor yang menemuduga saya didatangkan khas dari Manila untuk menemuduga dan menjalankan ujian IQ saya saorang sahaja di sebuah hotel dan selesai kertas ujian saya berikan kepadanya dalam masa yang singkat, beliau berkata “most welcome to AIM, you are a potential distinction candidate”. Saya teramat bersyukur dan esok tiga hari kemudian apabila saya menerima surat tawaran ke AIM melalui fak, saya terus memohon kepada ketua eksekutif BPMB untuk cuti belajar dengan bantuan biasiswa dan gaji penuh.
Malang sekali lagi, saya terpaksa mengambil cuti belajar tanpa biasiswa dan tanpa gaji. Nasib baik saya dapat kelulusan segera dari MARA untuk melanjukan pelajaran ke AIM dengan bantuan tiket kapal terbang. Allahyarham Tun Mustapa memberikan saya USD1,000 yang saya tinggalkan dengan isteri pertama saya manakala Datu Haji Abdul Salam memberikan saya RM1,000 yang saya tinggalkan dengan isteri kedua saya. Anak-anak saya yang masih kecil terpaksa saya tinggalkan.
Saya tebang ke AIM pada bulan Jun 1990 denga hanya RM500 dalam poket, sedihnya hanya Allah SWT yang tahu. Zahid Hamidi menjanjikan bantuan tabung Pemuda UMNO kepada saya, tetapi sampai saya habis belajar habuk pun tak ada.
Saya menyerahkan semua fail-fail rahsia serta disk 3.5” kepada allahyarham Tun Mustapa dan juga kepada Datu Abdul Salam sebelum saya bertolak ke Manila.
Syukur alhamdulillah, apa pun beberapa orang generasi muda terpelajar seperti Yahya Husin, Dr. Yusuf Yakob, Karim Bujang, Datu Nasrun dan lain-lain lagi dipilih sebagai calon dalam pilihanraya negeri dalam bulan Oktober 1990. Ramai yang kalah kepada PBS.
Jadi apa peranan Tun Mahathir dalam "Projek IC" di Sabah itu?
Semuanya itu adalah agenda terselit Mahathir untuk menjatuhkan Tun Mustafa dan Usno agar Umno mudah dibawa masuk ke Sabah tanpa banyak rintangan daripada Tun Mustafa.
Ini terbukti Mahathir menghina Tun Mustafa dan tidak melantiknya Ketua Perhubungan Umno Sabah apabila Umno diizinkan masuk, sebaliknya Sakaran Dandai, pak sudara Shafie Apdal Mahathir pilih jadi Ketua Umno Sabah. Sedangkan Sakaran selama duduk dalam Usno hanyalah Timbalan Presiden Usno.
Bagi saya penghinaan terhadap Tun Mustafa sebagai Bapa Kemerdekaan Sabah yang sanggup bubarkan Usno dan bagi masuk Umno ke Sabah adalah penghinaan terhadap rakyat Sabah itu sendiri.
Oleh itu rakyat Sabah, wajib bangun kali ini menolak Umno-BN bulat-bulat. Sejak Umno bertapak di Sabah, keluarga Tun Mustafa dibiarkan jadi melukut di tepi gantang, lagi teruk di era Musa Aman. Yang hanya pentingkan orang Pakistannya. Tidak hairan sekarang, keluarga Tun Mustafa bangkit bersama Pakatan menolak Umno-BN "Ini kali lah".
Maknanya Umno-BN terus menghina orang Sabah?
Penghinaan UMNO-BN kepada rakyat Sabah bukannya hanya kepada pemimpin agungnya yang banyak berkorban untuk kemerdekaan Sabah iaitu allahyarham Tun Mustapa Datu Harun, tetapi diteruskan juga sehingga ke hari ini kepada warga Filipina yang UMNO jadikan "kuda tunggangan" untuk memenangkan UMNO apabila anak penakan Musa Aman yang bernama Kamal Samad dan menggunakan nama palsu Manuel Amalilio menipu lebih daripada 15,000 rakyat miskin Islam di Mindanao dengan skim pelaburan cepat kaya yang dipanggil "Ponzi Scheme".
Kamal ini anak saudara Musa Aman?
Ya. Kamal Samad, anak kepada sepupu Musa Aman lari ke Sabah dengan wang orang miskin Mindanao hampir RM900.0 juta. Oleh itu warga Filipino di Sabah wajib bersimpati dengan nasib saudara mara mereka di Mindanao yang menjadi mangsa penipuan anak penakan Musa Aman dengan menyokong dan mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU-13 ini agar keadilan dapat diberikan kepada warga Mindanao yang menjadi mangsa penipuan anak penakan Musa Aman apabila Pakatan Rakyat menguasai Kerajaan Negeri Sabah dan juga Putrajaya.
Apa sebab khusus Mahathir mahu jatuhkan PBS masa itu?
Diantara agenda Mahathir yang meminta allahyarham Tun Mustapa untuk menjatuhkan PBS dengan apa cara sekali pun ialah kerana Mahathir tercabar dengan ura-ura bahawa PBS mahu membawa Sabah keluar dari Malaysia. Buktinya "kambing hitam" PBS yang menjadi mangsa ura-ura ini ialah pengarah Institute of Development Studies (IDS) Sabah iaitu Datuk Dr. Jeffery Kitingan, adik kepada Datuk Pairin Kitingan ditahan dibawah ISA.
Mahathir pernah mengeluarkan amaran bahawa tiada jalan untuk sesiapa yang mahu membawa Sabah keluar dari Malaysia dan sesiapa sahaja yang mencetuskan cabaran ini akan ditahan di bawah ISA.
Kalau tidak silap lewat tahun 1994 semasa saya melawat allahyarham Tun Mustapa di hospital, allahyarham menangis sambil berkata kepada saya bahawa kalau direnung-renungkan balik semuanya apa yang beliau lakukan untuk "Projek IC" biru itu dulu dengan saya ialah agenda tersembunyi jangka panjang Mahathir Mohamad yang mahu membawa UMNO masuk tanpa ditentang daripada Tun Mustafa.
Apa sikap Tun Mustafa ?
Tun Mustafa dengan hati yang berat membubarkan USNO diatas pujukan Mahathir Mohamad dengan penuh harapan bahawa beliau akan dilantik secara otomatik sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah, tetapi sebaliknya apa yang Mahathir buat ialah melantik Datuk Sakaran Dandai (Tun), pakcik kepada Shafie Apdal sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah sedangkan selama ini sebelum UMNO bertapak di Sabah, Datuk Sakaran Dandai (Tun) ialah Timbalan Presiden USNO.
Dengan air mata yang mengalir dalam keadaan badan yang sakit, lemah semangat dan dengan nada perlahan yang terputus-putus, allahyarham Tun Mustapa mengatakan kepada saya bahawa seolah-olah UMNO meletakkan hujung pedang di atas kepalanya apabila Mahathir tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu melantik Datuk Sakaran Dandai (Tun) sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah sedangkan beliau masih lagi hidup.
Allahyarham Tun Mustafa menyifatkan penghinaan Kuala Lumpur ini terhadap beliau ini sudah keterlaluan saolah-olah beliau dipermainkan oleh Mahathir sebagai "budak suruhannya" dalam "Projek IC" biru dulu. Habis manis sepah dibuang. Rakyat Sabah tanpa mengira bangsa, keturunan dan fahaman politik wajib ingat bahawa tanpa kesediaan allahyarham Tun Mustapa membubarkan USNO pada tahun 1991, UMNO tidak mungkin dapat bertapak di Sabah sehingga ke saat ini.
Penghinaan UMNO ini terhadap allahyarham Tun Mustapa bukannya hanya merupakan penghinaan terhadap allahyarham Tun Mustafa sendiri, malah ianya adalah penghinaan kepada seluruh rakyat Sabah. UMNO Sabah sewajibnya memberikan penghormatan kepada keluarga besar allahyarham Tun Mustapa dalam menyatupadukan rakyat Sabah, khasnya dikalangan Bumiputera yang berbilang latar belakang itu, tetapi malangnya kerana terlalu rakus kuasa dan angkuh, keluarga allahyarham Tun Mustapa dibiarkan seperti melukut ditepi gantang.
Bagaimana dengan sikap pemimpin Usno yag lain...?
Shafie Apdal yang keluarganya memang orang kuat USNO dulu pun membiarkan keluarga allahyarham Tun Mustapa, apa lagi Musa Aman orang Pakistan yang tidak sedarkan diri yang dia dulu melalui allahyarham Datuk Mohd. Ali Lope menyusun jari 10 menyembah nak jadi calon USNO sedangkan dia dicop sebagai orang Berjaya sehinggakan saya dan Datu Abdul Salam kena marah oleh allahyarham Tun Mustapa kerana menyampaikan hajat Musa Aman ini.
Tidak hairanlah sekarang keluarga besar allahyarham Tun Mustapa menghidupkan kembali USNO baru walaupun permohonannya tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Saya tidak hairan langsung sekarang ini bila bekas ahli-ahli dan penyokong-penyokong USNO berbondong-bondong menyokong Datuk Lajim Ukim dan Pakatan untuk menolak UMNO dari bumi Sabah dalam PRU13 ini.
Dalam era Najib pula sekarang ini, saya melihat sendiri ratusan orang Indon di kumpulkan dekat flat PKNS di Balakong awal dini hari jam 0400 untuk diberikan sedikit taklimat sebelum mereka dibawa dengan beberapa buah bas kesatu tempat rahsia di Johor dengan bayaran RM200 / orang, katanya untuk menampung sewa bas.
Apakah "Projek IC" seperti di Sabah juga sedang berjalan di Semenanjung?
Di Johor mereka ditarbiah mengapa mereka diberikan kad pengenalan biru/kerakyatan Malaysia secara mudah kerana UMNO yang sedang nazak ini amat memerlukan sangat undi mereka ini untuk memastikan kemengan UMNO-BN dengan cara apa sekali pun sebab orang-orang UMNO ini mengakui kekuatan tentangan rakyat tempatan terhadap UMNO-BN pimpinan Najib-Muhyiddin Yasin.
Pemegang kad pengenalan biru baru ini ditakut-takutkan kalau UMNO kalah kepada Pakatan nanti kononnya kuasa politik orang Melayu akan hilang di bumi Malaysia dan orang Melayu akan dihina oleh orang Cina. Cerita "Tragedi 13 Mei 1969" ditimbulkan kembali untuk menakut-nakutkan pemegang kad pengenalan Malaysia dari Indon ini. Mereka juga diberikan amaran bahawa kalau mereka tidak mengundi UMNO-BN, SPR boleh kesan undi mereka dan akhirnya kerakyatan Malaysia mereka akan ditarik balik!
Yang teramat peliknya sokongan dan undi warga Indon ini ditagih, tetapi kebajikan mereka tetap dianaktirikan oleh UMNO-BN pimpinan Najib-Muhyiddin ini. Perniagaan mereka di Chow Kit, di Jalan Masjid India, di pasar tani, pasar malam, pasar borong dan di lain-lain tempat dizalimi dan barang-barang perniagaan mereka dirampas dan dirosakkan oleh DBKL.
Undi pemegang kad pengenalan "Projek IC" biru ini diperlukan oleh UMNO-BN, tetapi pelajaran anak-anak mereka kelahiran Malaysia dan bertaraf warganegara Malaysia tetap dianaktirikan oleh UMNO. Mereka tidak diberikan kemudahan pinjaman buku, tiada bantuan pelajaran apabila mendapat tempat di IPTA / IPTS!
Warga keturunan Indonesia yang baru mendapat kerakyatan Malaysia hasil "Projek IC" biru wajib sedar bahawa mereka ini diperkudakan dan diperbodohkan oleh UMNO. Mereka wajib menolak UMNO dalam PRU13 ini dan pastikan Pakatan menang besar untuk mengembalikan maruah, martabat dan harga diri rakyat Malaysia keturunan Indonesia ini.
Jadi apa persepsi saudara dengan Umno hari ini?
UMNO selepas era Tun Abdullah sudah hilang panduan, hilang pertimbangan, hilang arah tuju yang betul dan semakin terkeluar dari matlamat penubuhan dan perjuangan asal UMNO. Orang yang dan pencen pun semakin nyanyuk menjadi nahkoda kapal UMNO yang semakin bocor dan semakin terumbang ambing.
Sudah terlalu lama UMNO memimpin Kerajaan. UMNO semakin letih dan lesu. Saya tetap "sayangkan UMNO". Orang yang sayangkan kawannya yang letih mesti membantunya berehat secukupnya supaya orang yang cukup rehat boleh bangun kembali dan segar meneruskan tugasnya.
Oleh itu, saya yang "sayangkan UMNO" mahu semua rakyat Malaysia merehatkan UMNO dalam PRU13 ini supaya semua karat barat UMNO, semua penyakit kanser UMNO dan semua kuman UMNO dapat dibersihkan dan sambil berehat dalam ICU, UMNO boleh melihat bagaimana gabungan Kerajaan baru Pakatan Rakyat boleh mampu mentadbir negara dengan jauh lebih baik lagi tanpa rasuah, tanpa keangkuhan, tanpa salah guna kuasa, tanpa membazirkan wang rakyat, tanpa AES yang mengazlimi rakyat, tanpa PTPTN tetapi biasiswa, tanpa tol, tanpa harga bahan api yang tinggi, tanpa kadar bayaran letrik yang tinggi, tanpa bekalan air disabotag oleh UMNO seperti yang berlaku di Selangor dan tanpa "Imelda RM".
Kalau kita bandingkan keluarga Najib dengan Anwar Ibrahim jauh berbeza. Kak Wan (Azizah Wan Ismail) dan semua anak-anaknya menghidupkan budaya Melayu dan budaya orang bersopan dan beriman dengan memakai tudung. Apa pun orang kata pasal Anwar Ibrahim, dia mampu jadi imam, mampu bagi tazkirah. Bila taubatnya diterima Allah SWT, dia saolah-olah kain putih. Yang sorang lagi tu nak jadi bilal pun belum tentu.
Apa pun orang kata pasal Azmin Ali, dia dari keturunan orang yang berugama. Kesemua 6 orang anak-anak saya di Taman Melawati belajar membaca Al-Qur’an dengan allahyarham Pak Ali. Kesemua 6 orang anak-anak saya merasa rotan Pak Ali, tetapi syukur alhamdilillah semuanya menjadi orang. Allah SWT kurniakan UMNO dengan seorang ulama sebagai PM, UMNO tendang keluar, sebaliknya 'ularma-ularma' yang UMNO pilih sebagai pemimpin, sekarang ini habis semua orang kena belit! Cukuplah, "ini kali lah!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan