Selasa, 12 Februari 2013

KEADILAN Sabah tubuh j/kuasa perjelas skandal Musa-Amalilio

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : KEADILAN Sabah menubuhkan jawatankuasa bergerak di negeri itu bagi memperjelas maklumat berhubung skandal melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan penjenayah dikehendaki, Manuel Karingal Amalilio.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, jawatankuasa tersebut akan diketuai Timbalan Setiausaha Agung, Darell Leiking yang sebelum ini turut menyertai misi ke Manila Khamis lalu untuk mendapatkan penjelasan pihak berkuasa di sana berkaitan skandal itu.

Tian

“Darell sudah mula menubuhkan jawatankuasa tersebut, dengan tujuan menyebarkan maklumat jelas mengenai skandal itu kepada penduduk Sabah,” kata Tian kepada Keadilan Daily.

“Sekarang pihak berkuasa Filipina sedang menyiasat secara mendalam kes ini. Bagi pihak kita di Malaysia, kita akan terus desak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan kerajaan Pusat untuk mengambil tindakan,” katanya.

Amalilio yang menggunakan nama Mohammad Kamal Sa’aid di Malaysia dikehendaki kerajaan Filipina kerana tuduhan menipu lebih 15,000 individu melibatkan 12 bilion peso (RM895 juta) dan turut dikaitkan sebagai anak saudara kepada Musa.

Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Mar Roxas pada 31 Januari lalu melalui laman berita Filipina, ABS-CBN mendedahkan, Musa menggunakan pengaruhnya untuk menghalang deportasi Amalilio ke negara itu.

“Kita ingin Musa jelaskan ke mana wang hampir RM1 bilion itu dibelanjakan? Maklumat kami perolehi, wang itu jelas tidak ada di mana-mana akaun bank di Filipina. Adakah wang itu dimiliki Musa atau untuk dana pilihan raya?” soal Ahli Parlimen Batu itu.

Musa sebelum ini dikaitkan dengan skandal RM40 juta ekoran penangkapan adik angkatnya, Michael Chia di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong ketika membawa wang berkenaan ke Malaysia pada 2009.

“Ini bukan kali pertama Musa terpalit skandal wang. Sebelum ini isu ICAC (Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong) pun beliau tidak jelaskan apa-apa,” kata Tian lagi.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan serius isu ini.
“Perdana Menteri tak boleh berdiam diri dan abaikan tuntutan diplomatik dari kerajaan Filipina,” katanya.

Tiada ulasan: