Sabtu, 23 Februari 2013

KEADILAN bantu anak muda miliki rumah dengan harga rendah

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menawarkan Perumahan Strategik dalam Gagasan Anak Muda Malaysia atau ‘Dokumen Merah’ sebagai agenda khusus untuk membantu golongan belia segera memiliki rumah.

amk 2

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dalam gagasan ini, rumah mampu milik yang ditawar bagi rakyat berumur 21 hingga 35 tahun bernilai RM200,000 ke bawah.

Pendekatan ini katanya, akan membolehkan rakyat membuat lebih tabungan secara bulanan dan lebih ramai mampu memiliki rumah pada usia muda.

“Isu pemilikan rumah pada usia muda antara fokus utama KEADILAN dan diterjemahkan dalam lima Gagasan Anak Muda.

“AMK meletakkan gagasan ini fokus untuk menolong golongan belia segera memiliki aset rumah sebelum usia mencecah 40 tahun dan berkeluarga.

AMK 1

“Melalui skim ini, setiap negeri diwajibkan memperuntukkan tiga hingga empat kawasan perumahan mampu milik oleh anak muda yang berpendapatan RM2,000 ke bawah atau RM4,000 ke bawah bagi yang berkeluarga,” katanya pada Program AMK Bertemu Mahasiswa: Diskusi Anak Muda di Restoran Amjal, dekat Universiti Malaya (UM), Rabu lalu.

Pada 17 Februari lalu, AMK melancarkan Gagasan Anak Muda Malaysia yang mengandungi lima tawaran kepada anak muda Malaysia sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Penyanyi Yasin Sulaiman dilantik sebagai duta rasmi kempen pilihan raya AMK.

Empat lagi gagasan lain meliputi pemberdayaan pendidikan, kualiti hidup, kesaksamaan politik dan demokrasi dan gagasan merakyatkan kebudayaan dan sukan anak muda.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah, Chang Kim Loong berkata, keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah bawah RM6,000 sebulan berhadapan kesukaran memiliki rumah ekoran kenaikan harga rumah yang keterlaluan sehingga atas RM200,000 terutama di Lembah Klang.

Berikutan itu, Shamsul berkata, Pakatan Rakyat akan mengambil kaedah pemulihan ekonomi terbaik untuk mengembalikan kesejahteraan kepada rakyat selepas mengambil alih Putrajaya pada PRU 13.

Turut hadir pada diskusi itu, Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip serta pimpinan mahasiswa dari UM, Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Tiada ulasan: