Sabtu, 16 Februari 2013

Jurulatih Kelantan kecewa

SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI dan NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

Aksi pemain Kelantan dan Selangor
Aksi pemain Kelantan dan Selangor pada pertemuan malam tadi. Kelantan tewas 0-2 kepada Selangor. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
Bojan Hodak
Bojan Hodak memerhatian prestasi pemainnya malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
PENGENDALI pasukan Kelantan, Bojan Hodak ternyata kecewa dengan kekalahan 0-2 kepada Selangor dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi.

"Bagi saya persembahan kali ini tidak begitu memuaskan dan tidak cukup pantas," katanya ketika ditemui di Stadium Shah Alam.

Beliau mahu melupakan kekalahan itu dan memberi fokus ke atas pusingan seterusnya demi memperbaiki kedudukan dalam liga musim ini.

"Kita harus menang perlawanan seterusnya untuk meraih tiga mata penuh untuk berada di kedudukan yang selesa," katanya lagi.

Apabila ditanya mengenai prestasi keseluruhan anak buahnya dan kekalahan tersebut, beliau berkata, "kesilapan yang dilakukan pemain Kelantan mengundang bahaya dan telah membuka ruang, peluang kepada anak buah Irfan untuk menjaringkan gol."

Dalam pada itu, beliau memuji bahagian pertahanan Selangor yang beraksi dengan cemerlang dan mampu mengawal serangan Kelantan.

"Tidak dinafikan pertahanan lawan berada di tahap yang baik," jelasnya.

Sementara itu, prestasi penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex pada malam tadi agak hambar.

Beliau menyifatkan itu bukan prestasi sebenarnya.

"Saya tahu, dia (Apex) boleh buat yang lebih baik dari ini dan saya sendiri tidak pasti apa puncanya."

Kini Kelantan menduduki tangga kelapan dalam liga dengan mencatat satu kemenangan, tiga seri dan dua kalah.

Dalam saingan pusingan ketujuh Liga Super, Kelantan dan Terengganu akan bertemu pada Selasa depan.

Tiada ulasan: