Ahad, 24 Februari 2013

“Huru-hara dan makan ubi kayu” cuma fantasi liar BN

 Oleh Hafiz Zainuddin

LENGGOK dan rentak pilihan raya umum makin memnas, daripada rentak inang sudah bertukar zapin. Hanya waktu yang menentukan bila rentak akan berubah kepada punk rock. Menang atau kalah parti yang bertanding adalah soal kedua, paling penting; apa dan bagaimana hala tuju negara ini selepas pilihan raya umum kelak.

Bagi Barisan Nasional (BN), negara akan huru-hara dan ekonomi akan tersembam jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah. Sehingga ada yang masih percaya, kita akan makan ubi kayu seperti zaman penjajahan Jepun di bawah kerajaan PR. Maka oleh itu, tidak kira samada pemimpin BN itu korup dan jahat sekalipun, parti itu perlu dikekalkan pemerintahannya sehingga kiamat.



Sama seperti tahun kegemilangan BN yang lampau, mitos sebegini terus dizikir saban hari biarpun tidak masuk akal waras. Maka, tidak hairanlah jika ada segelintir masyarakat kita yang lebih gemar membaca berita hantu penanggal tersangkut di tiang elektrik daripada membaca berita derita kemiskinan golongan terpinggir di Sabah dan Perak.

Akan tetapi, lain pula halnya dengan PR. Dengan pengalaman panjang melayan karenah birokrasi dan dizalimi pemerintah BN, ia tidak menjadikan gabungan oposisi ini lupa diri.

PR berpegang kepada prinsip meraikan kepelbagaian pendapat, gabungan oposisi ini percaya dan mahu masyarakat Malaysia dan negara dibebaskan daripada belenggu pembodohan, hegemoni kaum dan agama, rasuah dan salah guna kuasa yang dibudaya kerajaan BN selama ini.

PR mahu dasar ekonomi, kebajikan rakyat, kesihatan, keselamatan dan demokrasi diperbaiki. Maka, untuk itu, rakyat harus diyakinkan untuk melakukan tsunami kedua. Merubah pentadbiran Kerajaan Persekutuan BN kepada Kerajaan Persekutuan PR.

Jauh panggang daripada api: huru hara sekadar fantasi

Mahu atau tidak, mitos huru-hara dan makan ubi kayu yang diiya-iyakan BN itu memaksa kita untuk berfikir sejauh mana kebenaran dakwaan itu berdasarkan fakta.

Pertama, apabila PR berjaya membentuk kerajaan di lima negeri pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu, negeri itu terus ditadbir seperti biasa, tidak ada kakitangan kerajaan yang dipecat semata-mata kerana perbezaan fahaman politik. Orang yang sama juga sebagai kerani dan pegawai itulah sebagai PTD.

Kedua, negeri PR mencipta rekod pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan serta diperakui Jabatan Audit Negara sendiri. Pertumbuhan ekonomi negeri PR jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ketika ditadbir kerajaan BN. Paling penting, negeri semakin makmur malah hutang negeri semakin berkurang.

Ketiga, rakyat di negeri PR menerima lebih banyak manfaat seperti air percuma, peluang pekerjaan bertambah, bantuan masuk ke universiti, skim usia emas, khairat kematian, skim mikro kredit untuk peniaga kecil dan pelbagai lagi sehingga ia memaksa BN sendiri meniru dasar kebajikan negeri PR.

Langsung, ia memaksa kerajaan Persekutuan BN ‘mengorek tabung’ dan menambah lagi hutang negara untuk memberi insentif ekspress kepada rakyat seperti BR1M, tayar teksi, kedai murah, baucher buku dan lain-lain.

Hanya bersandarkan tiga fakta itu tanpa perlu dipanjanglebarkan lagi, kita tidak dapat melihat bagaimana mungkin huru-hara akan tercetus jika PR memerintah? Atau, sememangnya BN dikejar dosa silam yang mereka lakukan sehingga tercetusnya fantasi liar ini.

PR setia pada Malaysia, daulatkan Perlembagaan Persekutuan

Himpunan Mansuh ISA, Himpunan Hijau, Himpunan Bersih, Himpunan Kebangkitan Rakyat dan sebagainya bukanlah huru-hara seperti yang dimomok media kawalan BN. Ini adalah hak yang diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada rakyat Malaysia. Himpunan aman cuma menjadi kacau bilau apabila pihak keselamatan digunakan untuk kepentingan BN. Lihatlah dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 baru-baru ini, semuanya berjalan lancar jika tiada kanister yang berterbangan.

Melihat kembali sejarah negara, tukang buat kecoh, budaya samseng dan huru-hara dikepalai BN sendiri. Sebagai contoh mudah, lihatlah bagaimana BN meyalahguna kuasa melancarkan kudeta (rampasan kuasa) menggunakan Akta Darurat terhadap Kerajaan Kelantan yang baru dimenangi PAS pada 1978 dan kita juga takkan lupa dengan apa yang berlaku di Perak pada 2009.  Mujurlah di sini bukan Afghanistan. Rakyat Perak masih mampu bersabar dan tidak melancarkan ‘jihad’ ke atas BN.

Bagaimanapun, kita juga percaya, ahli biasa BN sendiri (UMNO-MCA-MIC dan lain-lain) dan seluruh rakyat Malaysia amnya mahu negara ini terus berada dalam keadaan aman dan damai, mengamalkan prinsip rukunegara, menjunjung Demokrasi Berperlembagaan dan menumpahkan taat setia ke bawah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.  Jadi, persoalan mudah telahpun dijawab, kalau bukan PR, gerangan siapa pula yang mahu mencetuskan huru-hara? Hantu susu? – Roketkini.com

Tiada ulasan: