Isnin, 18 Februari 2013

4 hari tinjau politik Johor; saingan sengit, semangat luar biasa


Oleh Ahmad Lutfi Othman

Mulanya saya bercadang ke Johor setakat dua hari. Bertolak pagi Jumaat, singgah sekejap di UKM, Bangi, berjumpa Dr Nidzam Sulaiman, menyiapkan wawancara sekitar isu-isu berkaitan PRU13 dari sudut pandang sarjana sains politik,  dan balik Kuala Lumpur esok petangnya.

Hari Ahad sudah dirancang program bersama keluarga. Dan terpaksa bertugas pada cuti Tahun Baru Cina pada Isnin dan Selasa. Bagaimanapun, Johor berjaya menambat kaki saya sehingga pagi 11 Februari.

Hasrat awal saya sekadar  bertemu dan berbincang dengan seorang dua pimpinan PAS Johor, khususnya Pesuruhjaya Negeri, Dato' Dr Mahfodz Mohamad. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, mudah diajak bersembang di pejabat Harakah, Jalan Pahang.

Selain mendapatkan sudut pandang langsung aktivis akar umbi, naluri saya terdorong untuk merasai debar dan getar suasana sebenar di lapangan. Johor, yang pernah menyaksikan kekalahan teruk sehingga hilang wang pertaruhan calon-calon PAS, kini menjadi tumpuan ramai pemerhati.

Apabila mengetahui saya turun Johor Bahru, empat lima rakan-rakan tidak sabar-sabar bertanya  soalan, hampir sama: "Pakatan boleh menang? Macamana mood rakyat Johor?" Seorang sahabat lebih prihatin dengan kecenderungan mengundi masyarakat Melayu -- yang dilihat sebagai faktor penentu siapa menerajui Nusajaya -- selepas kaum Tionghua "berpatah arang" dengan BN.    

Daripada sebuah negeri yang dikenali kubu terkuat Umno dan langsung tidak terusik kekuatannya walaupun ketika negara digoncang kuat gelombang reformasi pada 1998-99, Johor selepas PRU12 bertukar menjadi medan sengit buat BN dan Pakatan meraih sokongan rakyat.

Berbekalkan jumlah kerusi Parlimen yang agak besar, iaitu 26, yang semuanya sekarang dikuasai BN kecuali satu, maka perubahan sokongan pengundi Cina, kelas pertengahan dan generasi muda dilihat satu kelebihan besar buat Pakatan dalam "roadmap" ke Putrajaya, selain memastikan Nusajaya (pusat pentadbiran negeri) juga bertukar tangan.

Setiausaha Perhubungan PAS Johor, Onn Jaafar menyambut saya, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob dan jurufoto Wan Zahari Wan Salleh, di bilik gerakan PRU13 Parlimen Pulai, Taman Munshi Ibrahim, Johor Bahru. Salahuddin menunggu kami di bilik atas.

Salahuddin yang dijangka bertanding Parlimen Pulai dan Dun Nusa Jaya kelihatan menyimpan keyakinannya. Bicaranya tenang, menjelaskan kerencaman politik Johor dan harapan tinggi rakyat untuk melihat perubahan.

Beliau mahu saya menyelami isu-isu kritikal yang menyentuh sekali gus menekan kehidupan seharian bukan saja penduduk sekitar JB tetapi juga seluruh negeri. Sepintas lalu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyentuh persoalan kenaikan harga barangan, masalah pemilikan tanah, saingan hebat daripada orang luar, gejala sosial termasuk isu keselamatan.

Ketika mengiringinya -- setakat dua tiga kedai sahaja kerana keletihan -- untuk mengagihkan buah limau di Taman Universiti, Skudai, saya dapat mengesan reaksi positif masyarakat Cina terhadap Salahuddin.

"Sambutan lebih hebat diberikan kepada Salahuddin dalam majlis-majlis makan malam sebelum ini," kata Onn. "Saya sendiri saksikan orang Cina meraikannya bagaikan seorang MB baru. Mereka ternyata menaruh harapan dan keyakinan begitu tinggi kepada Salahuddin. Apa pun, fokus kita di Johor masih pengundi Melayu, bukan saja di Felda dan kampung tradisi, malah di kawasan bandaraya seperti JB ini, terutama kawasan terpinggir," tambahnya.

Esoknya, Sabtu, kami ke Pejabat PAS Kawasan Simpang Renggam. Onn memberitahu, ada pertemuan Dewan Harian PAS Johor dan kami boleh mengadakan wawancara dengan Dr Mahfodz seusai  mesyuarat.
Dijangkakan ia berakhir sekitar jam 12 tengahari tetapi terlajak menjelang Zuhur.

Sementara menunggu selesai mesyuarat, saya berbual-bual dengan dua aktivis parti setempat. Rupanya mereka cukup mengambil berat perkembangan Harakah dan nampak seronok memberi komentar bagaimana kami seharusnya menyorot sesuatu isu.

Saya tertarik dengan pandangan tajam "di luar kotak" seorang penggerak PAS kawasan, seorang pesara kerajaan, yang pernah bertugas selama 23 tahun di Kelantan. "Saya mungkin berbeda dengan orang lain, tapi yang penting PAS di Johor ini, perlu pendekatan lebih segar,  lebih berani, proaktif,  jangan malu-malu lagi, biarlah kalau orang nak kata kurang ajar pun," tambahnya, dengan nada penuh yakin.

Ditanya persepsinya mengenai sambutan rakyat Johor terhadap PAS, beliau berkata: "Saya tak pandai mentafsir. Cuma, kepada petugas parti, tidak ada segan silu berlebihan macam dulu. Kami seronok buat kerja, yakin dengan diri sendiri. Suasana meriah, sama-sama pasang poster, sediakan tempat ceramah.

"Kalau dulu kita takut-takut berkempen, sekarang tidak lagi. Ibarat pasukan bola, kita bersedia berlawan dengan siapa saja. Sebaliknya, penyakit kita dulu, yang segan-segan dan malu-malu untuk ke depan, sudah beralih kepada orang Umno. Kita bukan dikongkong psikologi orang kalah lagi, Alhamdulillah. Harapnya Harakah dapat menyiarkan bahan-bahan yang mampu menyemarakkan semangat petugas-petugas parti."

Kami kemudian diajak ke majlis kenduri penyokong PAS, Daud Ithnin. Rumahnya tidak jauh. Kami menumpang kereta Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda Negeri, yang dijangka bertanding Parlimen Simpang Renggam. Kata Suhaizan, hari itu saja dia mendapat enam undangan majlis kahwin. 

Wawancara dengan Pesuruhjaya Dr Mahfodz cukup menarik. Naib Ketua Dewan Ulama Pusat, yang juga Ahli Majlis Syuara ini bersuara perlahan dan teratur tetapi penuh yakin.

Beliau menitipkan pesanan kepada anggota parti agar lebih gigih berusaha, menyusun gerakerja dan jangan tunggu sehingga Parlimen dibubarkan. Dr Mahfodz berkongsi harapan; daripada 29 Dun yang ditandingi, sasarannya 17 kerusi.

Bekas tokoh akademik, yang kini menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), begitu teliti untuk menzahirkan keyakinannya terhadap kemenangan Pakatan di Johor.

"Asas sokongan kita masih orang Melayu, kita perlu mendekati mereka dengan ikhlas," ujarnya.
Jam 3 petang, kami bergegas ke Parit Yaani, Batu Pahat, menjenguk kawasan yang bakal ditandingi Timbalan Pesuruhjaya I, Aminolhuda Hassan. Hujan lebat menyambut kami.

Pertemuan diatur dengan penduduk Kg Mohd Noor, yang berdepan dengan "projek sampah" Bukit Payong. Asalnya mereka penyokong tegar Umno. Sejak merdeka, parti pembangkang tiada ruang di sini.

Kesetiaan terhadap Umno tidak dihargai. Bantahan penduduk tidak dipeduli. Malah, wakil rakyat yang diberi kepercayaan bertindak menghina mereka.

Abang Utuh atau nama sebenar Abd Samad Saharan belum balik daripada rawatan dialisis ketika kami sampai. Bendera PAS dan KeADILan berkibar sepanjang lorong ke rumahnya.

Anak beliau, Mohd Nazreen, mesra mempersilakan kami masuk. Nazreen, yang lebih dikenali sebagai Black masih Timbalan Ketua Pemuda Cawangan Umno kampungnya, tetapi bertindak nekad menyuarakan keresahan penduduk, termasuk di atas pentas Pakatan.

Abd Samad menjelaskan sebab penentangan terhadap pfojek pelupusan sampah Bukit Payong, yang bakal menyumbangkan bau busuk dan pencemaran udara, selain masalah lalulintas daripada lori berulang ali membawa lebih 600 tan sampah setiap hari.

"Kalau diteruskan juga projek sampah ini, mungkin akan bermula Arab Spring di Batu Pahat ini," katanya. Walaupun kami ketawa mendengarnya, saya yakin Abang Utuh mahu menunjukkan beliau dan penduduk serius mempertahankan hak.

"Kalau Mohamad Sabu dapat datang ke sini, cukup baik sekali. Kita gotong-royong buat kenduri. Lebih baik kalau Anwar Ibrahim turut sama, sekurang-kurangnya dapat makan tengahari di rumah saya," harapnya ikhlas.

Abd Samad pernah menjadi Ketua Cawangan Umno selama 25 tahun, dan timbalan ketua, 9 tahun. Beliau menubuhkan Umno cawangan Kg Mohd Noor pada 1974. Dilantik ketua kampung daripada tahun 2004-2009.

Saya perhatikan mereka dua beranak begitu menghormati Aminolhuda, seolah-olah sudah kenal lama. Sebelum pulang, saya hadiahkan buku Detik Utopia buat mereka, di samping memberi  jaminan untuk sama-sama menyokong bantahan penduduk.

Pagi Ahad, hari pertama Tahun Baru Cina, dari JB, kami bertolak ke Kulai, bilik gerakan PRU13 Dun Bukit Permai. Mazlan Aliman, Yang Dipertua PAS kawasan, Hisham Zin dan hampir 20 petugas parti sedia untuk bersarapan sekali.

Tidak boleh menunggu lama, walaupun teruja untuk menyelami pengalaman aktivis akar umbi, kami memburu masa ke Pengerang, ditemani Mazlan.

Lokasi paling selatan di timur Johor itu memang mendamaikan terutama dalam keadaan hujan renyai. Pekan Sungai Rengit memikat hati saya, apatah lagi apabila menyusuri jalan pantai ke Tanjung Pengelih. Pemandangan cukup cantik.

Apa pun saya tidak dapat melupakan hati budi dan keramahan Bendahari Gabungan NGO Pengerang (GNP), Chua Peng San atau lebih popular dengan panggilan Ah Chai.

Dari tengahari ke malam, pada hari raya Cina -- dan beberapa tetamunya terpaksa pulang hampa --  dia mengiringi kami ke tempat strategi, dari kubu tentera Jepun ke perkuburan Islam yang dipindahkan, meninjau jirat Cina yang masih dapat dipertahankan, melihat keunikan hubungan muhibbah di antara penduduk Melayu dan Tionghua yang bukan saja berjiran tetapi saling menumpang tanah.

Cukup serasi sekali hubungan anak gadis lulusan UTM,  Anis Afida Azli, yang juga Pengerusi GNP, yang dianggap seperti anak angkat keluarga Ah Chai.

Saya akan merakamkan pengalaman seharian bersama Ah Chai dan Anis di bumi Pengerang yang kini menangis, dalam keluaran Harakah akan datang. 

Tiada ulasan: