Rabu, 23 Januari 2013

Tabur pengundi baru taktik BN untuk tawan Selangor – Zuraida

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Kemunculan pengundi baru yang mendadak di Selangor dengan sejumlah besarnya tidak dapat dikesan, membuktikan komplot Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan Umno BN akan berterusan bagi merampas negeri itu.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, taktik lapuk SPR itu akan dipatahkan dengan kerjasama rakyat yang mahukan pilihan raya bersih dan adil.



“Sehingga kini, kita masih menggunakan Sistem Menang Pilihan Raya (Sismep) untuk mengesan pengundi hantu. Proses culaan tetap berjalan hingga ke hari ini bagi memastikan senarai pengundi dapat dikesan,” kata Ketua Wanita KEADILAN itu.

“Rakyat diperlukan untuk bersama-sama menjadi sukarela sebagai pemerhati pada hari mengundi. Kalau ramai yang berkawal, SPR dan polis atau pihak bersekongkol dengan Umno BN takut untuk menipu,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan peningkatan luar biasa jumlah pengundi baru di Selangor mencecah 450,000, manakala 130,000 pula tidak dapat dikesan berdasarkan alamat yang didaftarkan.

Ekoran itu, Anwar yakin SPR akan mengulangi penipuan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang memberi contoh kes di kawasannya.

“Masalah itu akan tetap berlaku walaupun SPR menafikan. Sebab itu kami di Ampang ada kumpulan ‘ghostbuster’ bagi mengenal pasti pengundi hantu.

“Di Ampang ada 15,000 pengundi baru, tapi setakat ini ada lebih 1,000 pemilih yang kita tidak dapat kesan. Usaha mencari masih diteruskan sehingga pilihan raya,” jelasnya.

Tiada ulasan: