Rabu, 30 Januari 2013

Peguam Negara “hanya ikut kemahuan tuannya”: Guan Eng

 Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Sikap bermuka-muka Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terhadap Perkasa yang menyeru untuk membakar Bible dan kegagalannya menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) menunjukkan Abdul Gani tidak boleh dipercayai termasuk rentetan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Abdul Gani pilih kasih dan membidas sikap Peguam Negara itu yang takut untuk bertindak terhadap pemimpin BN, kroni atau penyokong mereka.

“Contoh yang paling jelas, Abdul Gani takut mengambil tindakan terhadap Perkasa dan memberi alasan yang tidak masuk akal bahawa belum ada Bible yang dibakar, dan hanya akan bertindak setelah ada Bible yang dibakar!

“Pada masa yang sama, beliau tidak teragak-agak untuk bertindak ke atas Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh atas dakwaan hasutan,” jelas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Bukan setakat itu, Abdul Gani juga membuktikan kegagalannya apabila gagal menyelesaikan kes kematian ngeri pengawal keselamatan, C Sugumaran dalam keadaan tangan digari,” katanya.

Kematian itu, menurut Guan Eng, bukan yang pertama, malahan banyak kes kematian dalam tahanan yang dipandang sebelah mata termasuk Chang Ching Te di Subang, A Kugan dan remaja berusia 16 tahun, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis.

“Jaminan Abdul Gani bahawa beliau akan bertindak sekiranya ada kesalahan jenayah sekadar janji kosong yang memanifestasikan sindrom penafian kerajaan BN,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru, Guan Eng meminta Peguam Negara itu digugur kerana tindakannya bersifat politik dan tidak berfungsi melainkan kerana memenuhi keperluan tuannya.

“Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai Peguam Negara yang bertanggungjawab, profesional dan tidak berat sebelah mengikut undang-undang tanpa rasa takut atau memihak.

“Selagi juak-juak kroni dan pimpinan BN mempunyai imuniti undang-undang, selagi itu rakyat yang tidak bersalah dihukum hanya kerana berbeza pendapat atau menentang BN dan tidak ada keadilan untuk semua,” ujar Guan Eng.-Roketkini.com

Tiada ulasan: