Ahad, 27 Januari 2013

SPR: Syarat pengundian luar negara munasabah

KL TODAY

 

KUALA LUMPUR— Syarat kelayakan pengundi luar negara yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), antaranya mesti pernah kembali ke tanah air dalam tempoh lima tahun terakhir dan tinggal tidak kurang 30 hari, adalah munasabah.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, syarat itu cukup ringan dan sesuai kerana negara-negara Komanwel seperti Australia dan Kanada turut menetapkan syarat sama manakala di Singapura menetapkan syarat tiga bulan.

“Tiga puluh hari dalam tempoh lima tahun, bukan 30 hari sekali gus. Jadi, perkara ini adalah logik. Takkan lah rakyat Malaysia yang duduk di luar negara lupa langsung negara, tetapi bila tiba masa hendak mengundi, mereka hendak mengundi.

“Mengundi ini bukan saja hak tetapi juga tanggungjawab kepada negara. SPR turut melihat satu sudut menampakkan kecintaan kepada negara dengan mempunyai pertalian dengan tanah air,” katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam rancangan ‘Selamat Pagi Malaysia’ terbitan RTM di Wisma TV, Angkasapuri di sini hari ini.

Wan Ahmad turut menjelaskan syarat penetapan tempoh itu telah dikemukakan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya (PSC) dan telah dipersetujui.

Bagaimanapun, beliau berkata, penetapan tempoh lima tahun dan tinggal tidak kurang 30 hari itu ditetapkan oleh SPR di bawah peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya.

“Sebagai sebuah badan di bawah perlembagaan, SPR ada kuasa untuk tentukan syarat dan tatacara tertentu. Kita buat ini untuk kebaikan negara untuk pastikan rakyat ada bukti cintakan negara dan ada hubungan dengan tanah air,” katanya membidas tindakan segelintir pihak mempertikaikan syarat itu dan mendakwa ia tidak dibincangkan di peringkat PSC.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke dari DAP menggesa SPR mengkaji semula syarat itu dan membatalkannya memandangkan syarat itu adalah tidak adil dan menimbulkan kesulitan proses yang tidak sepatutnya.

Loke juga mempertikai tindakan SPR yang didakwa melengahkan pendaftaran pengundi luar negara hampir 13 bulan dari tarikh PSC yang menimbulkan keraguan terhadap kesediaan dan komitmen badan itu terhadap proses pilihan raya yang adil dan bersih.

Wan Ahmad ketika menjawab dakwaan itu berkata persiapan rapi perlu dijalankan kerana perlu diadakan perbincangan dengan Kementerian Luar berikutan pelaksanaan undi pengundi luar negara turut melibatkan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara sebagai wakil SPR.

Selain itu, beliau berkata kerjasama Jabatan Imigresen juga perlu untuk menyemak rekod kepulangan ke Malaysia di samping menyediakan program latihan kepada petugas yang akan menjalankan tugas itu nanti.

“SPR tidak mahu buat kerja lepas tangan. Kita kena rancang betul-betul termasuk menyediakan buku panduan serta CD latihan.

“Selepas yakin untuk laksanakan, barulah kita umum dan kita buat pengumuman pada masa tepat kerana tempoh masa yang kita berikan untuk membuat permohonan adalah sehingga tarikh Parlimen dibubarkan,” katanya.

Peraturan membenarkan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara untuk mengundi secara pos telah diwartakan pada 21 Januari lepas berdasarkan tiga syarat.

Syarat-syarat itu ialah mereka perlu menjadi pengundi berdaftar terlebih dahulu, pernah berada di Malaysia atau kembali ke negara ini tidak kurang 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuatkuasa; dan menetap di luar negara kecuali mereka yang tinggal di selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan.

Sebelum ini, hanya pelajar sepenuh masa dan penjawat awam dengan pasangan masing-masing (pengundi tidak hadir) dibenar mengundi secara pos.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata, sejak 21 Jan, SPR telah menerima 500 permohonan daripada rakyat Malaysia di luar negara yang ingin mengundi secara pos pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Beliau berkata, trend penghantaran borang permohonan kepada SPR melalui e-mel akan berterusan dan meningkat ekoran caranya yang mudah dan ringkas.

Selain itu, Wan Ahmad berkata, para pemohon boleh merujuk jawapan kepada soalan-soalan berkaitan yang sering ditanya (FAQ) sebagai kemudahan kepada pengundi untuk melengkapkan borang tersebut.
“Peluang untuk mengundi (secara pos) kepada rakyat Malaysia (di luar negara) adalah satu transformasi politik, proses demokrasi yang paling saya anggap sebagai bersejarah dan satu lonjakan paling bermakna kepada rakyat.

Ini pertama kali dalam sejarah rakyat Malaysia di luar negara dapat mengundi secara pos. Jadi, kita (SPR) akan buat perkara yang terdaya dan sentiasa akan melakukan penambahbaikan,” katanya yang berharap rakyat Malaysia akan menggunakan peluang dan hak yang diberikan kepada mereka sebaik mungkin. — Bernama

Tiada ulasan: